Perbezaan antara sakit kepala dan pening kepala

APA BEZA ANTARA SAKIT KEPALA DAN PENING?

 

 

Pening

 

“Salam doktor. saya ingin bertanya jika ada perbezaan antara pening dan sakit kepala? Terima kasih”

 

Ramai orang yang sering menggunakan perkataan ‘pening’ apabila mengalami rasa tidak selesa pada bahagian kepala. Kadang kala istilah itu mengelirukan, bukan saja doctor yang merawat tetapi juga orang yang mendengar.

 

Sebagai contoh ramai yang mengatakan bahawa mereka pening apabila mereka sebenarnya sakit kepala. “Saya peninglah melihat telatah awak” Apa yang cuba dimaksudkan ialah sakit kepala melihat telatah kawan dia yang mungkin menyakitkan hatinya.

 

Sakit kepala sebenarnya rasa sakit pada bahagian kepala, sama ada rasa sakit berdenyut-denyut, rasa seperti ditekan atau dihempap kepala atau rasa menyucuk-nyusuk di dalam kepala.

 

Rasa pening pula adalah rasa seperti kita duduk di atas kerusi dan rakan kita memutarkan kerusi itu. Atau pun kita duduk di kerusi, seluruh bilik berputar mengelilingi kita.

 

Ada juga yang menggunakan istilah pening apabila rasa seperti mahu pitam kerana tiba-tiba rasa kepalanya ringgan atau rasa dirinya mahu terbang dari atas tanah. Seolah-olah beliau rasa ditarik ke atas udara secara tiba-tiba. Pesakit ini mungkin rasa tidak stabil dan mahu jatuh. Sebenarnya beliau lebih rasa tidak seimbang lalu mahu jatuh. Ini adalah tanda yang lebih bahaya. Dalam bahasa mediknya disebut sebagai “presyncope”. Ini berlaku apabila kepekatan oksigen yang sampai ke otak tidak mencukupi. Ia mungkin tanda stroke, serangan sakit jantung dan sebagainya.

 

Rasa pening juga boleh terjadi apabila seseorang itu bernafas terlalu laju, atau kita sebut sebagai ‘hyperventilation’. Selalunya disebabkan oleh perasaan terlalu risau. Ini pula berlaku apabila terlalu banyak oksigen sementara terlalu sedikit kepekatan karbon dioksida yang sampai sampai ke dalam otak. Perlu ada keseimbangan antara kepekatan oksigen dan karbon dioksida yang kita hirup dari udara.

 

Jadi sangat penting bagi seorang doctor mengetahui sama ada seseorang itu benar-benar ‘pening’ atau mengalami masalah lain seolah-olah pening. Ini kerana punca, pemeriksaan dan rawatan bagi pening berbeza dengan masalah yang lain.

 

Tetapi apabila selalunya jika seseorang pesakit mengadu pening, selalunya ia merujuk kepada masalah vertigo. Namun sebagai doctor harus memastikan perkara ini dengan bertanyakan beberapa soalan.

 

Antara soalan yang biasa tanyakan ialah “Puan rasa seluruh bilik ini berpusing atau puan rasa sakit kepala seperti berdenyut-denyut?” Ini dapat membezakan antara dua simtom atau gejala yang berbeza.

 

Semoga bermanfaat.

Leave a Reply

error: Content is protected !!