ADAKAH PENING BERKAITAN DENGAN MASALAH TELINGA?
Ya, kebanyakan masalah pening (atau kita sebut sebagai vertigo) ini berpunca dari masalah dalam telinga. Apa yang saya maksudkan ‘dalam telinga’ ialah struktur di belakang gegendang telinga, yang hampir dengan otak. Lokasi ini disebut sebagai ‘inner ear’.
Bahagian ini sangat berkaitan dengan sistem perimbangan dan sistem pendengaran kita. Jika sistem ini tergangu, ia menyebabkan kita tidak boleh mendengar dengan baik dan kita rasa tidak seimbang. Ini menyebabkan kita rasa persekitaran kita berputar, dan kita rasa mahu rebah.
Bahagian ‘inner ear’ ini mengandungi satu struktur tulang yang bentuknya seperti siput (dinamakan cochlear) dan di hujungnya berbentuk semibulatan (dinamakan vestibular). Cochlear bertanggungjawab dalam sistem pendengaran. Vestibular pula mempunyai 3 struktur yang penting iaitu anterior, posterior dan lateral semicircular canal yang bertanggungjawab dalam menjaga keseimbangan tubuh.
Oleh kerana dua struktur ini (vestibular dan cochlear) saling berhubungan dan sangat rapat, apabila satu struktur mengalami masalah ia akan akan melibat kedua-dua struktur ini.