“Salam doctor. Saya ingin bertanya, bilakah masa yang sesuai untuk saya melakukan pemeriksaan pap smear. Saya berusia 24 tahun telah berkahwin. Ibu saya penghidap kanser pangkal rahem. Mohon pencerahan, terima kasih”
WA ALAIKUM MUS SALAM
Pap smear adalah kaedah ujian saringan bagi mengesan sel-sel kanser di pangkal rahem. Selain itu ia dapat mengesan jenis kuman yang menyebabkan jangkitan kuman pada faraj.
American Congress of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) mencadangkan pemeriksaan pada usia 21 tahun, sementara di Malaysia pada usia 30 tahun (setelah berkahwin).
Di Malaysia pap smear biasanya dilakukan pada wanita yang usia 30 tahun ke atas. Sementara di beberapa negara barat, ia digalakkan pada wanita seawall umur 21 tahun.
Ini kerana pemeriksaan pap smear akan menyebabkan kecederaan selaput dara. Di Malaysia kebiasaannya wanita berusia 30 tahun telah pun berkahwin. Oleh itu pap smear dilakukan pada usia 30 tahun. Bagi mereka yang telah berkahwin, ia boleh dilakukan segera pada sebarang umur.
Begitu juga dengan wanita yang aktif dalam hubungan seksual di usia yang lebih muda, pemeriksaan pap smear perlu dilakukan lebih awal.
Kebanyakan wanita di negara-negara barat telah mula melakukan hubungan seksual yang aktif pada usia 18 tahun. Jadi risiko jangkitan kuman dan kanser pada pangkal rahem lebih tinggi di kalangan mereka berbanding dengan wanita di Malaysia.
Secara umumnya, doktor mengesyorkan pemeriksaan pap smear setiap setiap tiga tahun, atau setiap lima tahun sekali. Bagi wanita yang lebih tinggi risikonya, pemeriksaan yang lebih kerap (setahun sekali) harus dilakukan.
Antara faktor itu adalah:
1. Pemeriksaan pap smear sebelum ini yang menunjukkan terdapat sel-sel prakanser atau sel-sel yang tidak normal.
2. Pernah terdedah pada bahan ‘dietilstilbestrol’ (DES) ketika ibu sedang hamil
3. Mengalami jangkitan HIV
4. Sistem imun yang lemah akibat pemindahan organ, rawatan kemoterapi atau penggunaan kortikosteroid (steroid) yang lama.
5. Mempunyai sejarah keluarga (ibu, saudara perempuan) menghidap penyakit kanser pangkal rahem
Berbincanglah dengan doktor yang biasa merawat puan mengenai manfaat dan risiko pap smear bagi menentukan masa terbaik untuk melakukan pemeriksaan pap smear.
Wallahu a’lam.
KONSULTASI BERSAMA DR ZUBAIDI
Jika berminat mendapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi, boleh klik di link ini
MODUL KELAS PEMAKANAN PESAKIT KANSER
Pelajari dan ketahui pemakanan yang baik dan tidak baik kepada pesakit kanser melalui Modul Kelas Kanser dan Pemakanan oleh Dr Zubaidi