SAKIT DI TENGKUK
“Assalamualaikum Dr Zubaidi. Saya nak minta sedikit nasihat doktor utk panduan. Saya mengalami kesakitan sejak mlm tadi, macam tersalah urat. Sakitnya rasa pada tengkuk sebelah kiri hingga ke bahagian belakang badan sebelah kiri dan sakitnya berdenyut2. Rasa sakit sangat setiap kali bergerak. Kalau ke klinik biasa dr akan bg ubat apa dan kalau berurut, boleh ker… Risau sbb melibatkan tengkuk… Terima kasih dr.”
WA ALAIKUM MUS SALAM
Banyak punca sakit di bahagian tengkuk, bergantung kepada umur, berapa lama sudah alami, pekerjaan puan dan pelbagai lagi.
Secara mudahnya doktor akan mencari punca sakit tengkuk dengan bertanyakan keadaan sakit puan, sama ada ia berkaitan dengan kecederaan trauma atau masalah penyakit kronik. Sakit tengkuk yang disebabkan oleh kecederaan trauma adalah lebih teruk dan perlukan pemeriksaan doktor yang segera.
Jadi rasa sakit bahagian tengkuk boleh melibatkan:
1. Tulang dan sendi pada tulang servikal di leher.
2. Tulang rawan (disc) di antara tulang servikal.
3. Otot dan ligamen yang ‘mengikat’ tulang-tulang ini agar stabil.
Jika rasa sakit tidak kuat, boleh tuamkan secara bergilir-gilir dengan tuala yang direndam dalam ais dan air suam bagi mendapatkan kelegaan sementara.
Boleh berurut asalkan tidak terlalu kuat. Gunakan ruas kuku untuk berurut bagi melancarkan peredaran darah di tengkuk. Jika mahu berurut dan menggerakkan tulang tengkuk dengan kuat, pastikan ia dilakukan oleh orang yang professional. Dibimbangi akan mendatangkan kecederaan yang lebih serius.
Saya mencadangkan puan berjumpa doktor dan buat pemeriksaan xray dan darah bagi mengetahui punca sebenar rasa sakit tersebut.
wallahu a’lam