Baru-baru ini seorang ibu membawa anak perempuannya ke klinik berjumpa saya. Apa yang merisaukan beliau adalah perut anak beliau yang berusia 9 tahun itu kelihatan membuncit.
Ibunya mendesak saya lakukan pemeriksaan ultrasound, kerana bimbang anaknya hamil. Saya berfikir panjang. Namun saya hanya mengikuti kehendak ibu kanak-kanak ini memandang beliau sangat runsing.
Ini kali ketiga beliau membawa anaknya ke klinik. Sebelum ini pergi ke satu klinik swasta, tetapi oleh kerana tiada kemudahan ultrasound, doctor merujukkan ke pusat kesihatan kerajaan.
Di pusat kesihatan kerajaan pula doctor yang bertugas tidak mahu melakukan pemeriksaan ultrasound kerana tidak percaya kanak-kanak perempuan itu hamil.
Saya melakukannya, mulanya agak sukar kerana saiz tubuhnya yang kecil, apatah lagi saiz rahemnya yang kecil. Tiada sebarang janin kelihatan. Saya minta ibunya membawa anaknya ke bilik air untuk mengumpulkan air kencing. Pemeriksaan UPT juga negative.
Barulah si ibu puashati yang anaknya tidak hamil. Sudah seminggu siibu susah hati mengenangkan perut anaknya yang membuncit. Tetapi dia kelihatan lega.
KEKEMBUNGAN AKIBAT KECACINGAN
Perut kembung di kalangan kanak-kanak memang merisaukan. Malah ada yang bimbang jika anak mereka mengalami kecacingan.
Pada masa sekarang saya jarang melihat anak-anak yang kecacingan. Semasa saya belajar di India dulu, memang kecacingan adalah masalah utama yang dialami oleh kanak-kanak di sana kerana faktor kebersihan. Ia sangat mudah berjangkit kerana mereka tinggal di persekitaran yang kotor dan pemakanan yang disediakan pun juga kurang bersih.
Air sangat sukar diperolehi di sesetengah kawasan, menyebabkan kanak-kanak di sana sukar untuk mendapat air bersih untuk membasuh tangan dan membersihkan peralatan makan dengan sempurna. Kanak-kanak di situ juga tidak kisah mengambil dan memakan semula makanan yang telah jatuh di tanah.
Tidak semua kanak-kanak di sana mengalami masalah ini, namun sebahagian besarnya mengalami masalah yang sama.
Di Malaysia, saya boleh mengatakan risiko anak-anak kecacingan amat rendah. Keadaan ini hanya berlaku jika kanak-kanak ini bermain di luar rumah tanpa memakai selipar.
Sebenarnya perut yang membuncit bukanlah petanda utama kanak-kanak itu mengalami kecacingan.
Selalunya tanda-tanda yang biasa yang diadukan oleh ibubapa ialah:
- Anak kurang bertenaga dan kelihatan mudah letih.
- Mukanya kelihatan pucat
- Kurang selera untuk makan.
- Berat badan semakin menyusut
- Anak mengadu rasa gatal di lubang dubur
- Terdapat cacing pada najis di mangkuk tandas.
Jika kanak-kanak menunjukkan tanda seperti no 6 di atas, ia adalah tanda nyata (confirmatory) yang anak mengalami kecacingan.
Tanda-tanda lain( no 1-5) adalah tanda yang mungkin disebabkan oleh kecacingan, tetapi ia juga mungkin disebabkan oleh masalah kesihatan yang lain.
Oleh itu selalunya doctor berikan ubat cacing walaupun tiada tanda yang nyata kanak-kanak itu kecacingan, dengan niat untuk mencegah masalah ini di peringkat awal.
Saya belum pernah masalah kecacingan ini sehingga menyebabkan komplikasi lain. Namun ia boleh menyebabkan masalah kekurangan darah merah yang teruk, kerosakan usus dan mungkin otak.
wallahu a’lam.