“Salam doctor, isteri saya sedang hamil. Beliau mengadu ada sedikit pendarahan berlaku. Adakah ianya berbahaya? Mohon pencerahan. Terima kasih”
WA ALAIKUM MUS SALAM
Saya sukar menjawab soalan yang sauadara kemukakan kerana saya tidak mendapat keterangan dengan lebih lanjut.
Pendarahan ketika hamil, selalunya menandakan ada sesuatu yang tidak baik berlaku ketika hamil. Namun punca pendarahan itu bergantung kepada usia kehamilan dan pemeriksaan yang dijalankan.
Jika pendarahan berlaku di awal kehamilan, berkemungkinan disebabkan oleh “Pendarahan Implantasi”, di mana pendarahan berlaku apabila telur wanita ovum yang telah disenyawakan dengan sperma, bergerak menuju ke rahem dan menanamkan dirinya ke dinding dalam rahem.
Maka berlaku sedikit pendarahan, dan kebanyakkannya berwarna coklat atau merah jambu dan berlaku selama 1-3 hari sahaja.
Selain itu, jika seorang wanita telah disahkan hamil dan mengalami pendarahan, berkemungkinan ia tanda proses keguguran. Ini bermakna tidak semestinya wanita yang hamil akan gugur. Ada masanya proses ini dapat dihentikan dan kehamilan dapat diteruskan.
Pendarahan akibat keguguran ini boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang 12 minggu pertama. Ramai yang tidak menyangka tisu seperti daging keluar dari faraj, sebenarnya adalah janin dari dalam rahem yang telah keluar tanpa disedari.
Kebanyakkan keguguran di awal kehamilan adalah tidak dapat dielakkan. Ia adalah cara semulajadi untuk tubuh mengelakkan kehamilan janin yang cacat.
Kehamilan di luar rahim (ectopic pregnancy) juga boleh menyebabkan pendarahan. Kehamilan di luar Rahim adalah kehamilan yang tidak berlaku di dalam rahem, sebaliknya ia berlaku pada salur fallopian, yang mungkin akan pecah dan boleh membahayakan nyawa.
“Kehamilan Anggur” juga boleh menyebabkan pendarahan. Ia disebabkan oleh ketumbuhan tisu tidak normal selepas proses persenyawan, yang membesar dengan cepat di dalam rahim. Dalam kehamilan ini, wanita itu sebenarnya mempunyai tisu yang berbahaya dalam rahemnya, dan tiada janin di dalam kehamilan ini.
Ketumbuhan pada pangkal rahem (polyp) ketika hamil juga boleh menyebabkan pendarahan.
Selain itu perpisahan uri dari dinding dalam rahem (Placental Abruption) juga boleh menyebabkan pendarahan ketika hamil. Ia selalunya berlaku pada semester kedua atau ketiga dalam tempuh kehamilan dan selalunya disertai dengan rasa sakit perut.
Uri pada kedudukan bawah rahem atau “Placenta Previa” yang menutupi sebahagian dari lubang pangkal rahim juga boleh menyebabkan pendarahan pada semester kedua dan ketiga kehamilan.
Yang terakhir, pendarahan ketika hamil pada akhir kehamilan mungkin menandakan tanda-tanda mahu melahirkan anak . Selalunya ia disertai dengan mucus yang pekat dan disertai dengan sakit perut.
Jika sakit perut ini berulang-ulang dan semakin kuat, segeralah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.
KONSULTASI BERSAMA DR ZUBAIDI
Jika berminat mendapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi, boleh klik di link
https://needsvenue.onpay.my/order/form/20mindrz