MASALAH MATA ANAK BERAIR SEPERTI MENANGIS
Pada keluaran kali ini, saya ingi berkongsi jawaban pada pertanyaan yang ditanyakan oleh seorang ibu yang risau terhadap keadaan mata nakanya yang berumur lapan bulan.
Pertanyaan beliau seperti berikut:
“Assalamu’alaikum. Dr. maaf saya mengganggu. Pertamanya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi menjawab pertanyaan ini. Saya merupakan seorang ibu pada seorang anak perempuan. Alhamdulillah sekarang umur anak saya hampir mencecah 8 bulan.
Saya ada satu soalan yang ingin ditanya kepada doktor. Sudilah sekiranya doktor berkongsi pengetahuan bagi soalan saya. Untuk pengetahuan doktor, mata anak saya sering mengeluarkan cecair seperti (menangis). Ia berlaku sejak dari kecil iaitu selepas kelahiran. Pada mulanya saya fikir ia hanya perkara biasa dek kerana cuaca sejuk di Jordan ketika itu. Sehingga kini ia masih lagi berair walaupun umurnya sudah hampir 8 bulan.
Sebagai seorang ibu, sudah pasti ia menjadi satu kebimbangan buat saya. Saya sudah berkali tanya kepada beberapa orang doktor berkaitan perkara ini. Jawapan yang saya terima adalah kerana saluran air mata anak saya kecil menyebabkan airmata tidak dapat mengalir dengan baik lalu keluar menjadi titisan air mata.
Saya juga ada terbaca artikel doktor berkaitan perkara ini. Alhamdulillah saya berasa tenang. Cuma saya ingin tahu. Adakah saluran mata anak saya akan kembali normal seperti biasa seiring pertambahan umurnya? Bagaimana dengan penyakit retinoblastoma? Adakah ia boleh dikesan dari awal?
Terima kasih kerana sudi membaca massage saya. Besarlah harapan saya jika doktor dapat membalasnya. Semoga Allah membalas segala kebaikan doktor yang banyak membantu masyarakat awam seperti saya. Terima kasih doktor.
Jawaban:
WA ALAIKUM MUS SALAM
Terima kasih kerana puan menulis kepada saya. Saya memahami kerisauan puan. Semoga dengan penerangan saya dapat membantu meredakan kerisauan puan.
Sebagai seorang ibu sudah tentu masalah pada anak menyebabkan hati menjadi risau. Apatah lagi mungkin masalah ini mungkin disebabkan oleh sesuatu yang lebih bahaya, seperti kanser yang selalunya boleh meragut nyawa.
Namun walau bagaimana pun, saya ingin memaklumkan bahawa mata anak puan yang sering mengeluarkan cecair seperti menangis itu, berkemungkinan besar hanya disebabkan oleh sumbatan pada saluran air mata beliau. Ia bukanlah sesuatu masalah yang serius. Ia berlaku pada sebilangan kecil bayi dan keadaannya akan bertambah baik apabila mereka semakin membesar.
Untuk pengetahuan puan, mata kita sentiasa dibasahi oleh cecair bagi mengelakkan ia menjadi kering. Cecair yang banyak dan melimpah, terutama apabila kita bersedih atau kesakitan, disebut sebagai airmata.
Pada kebiasaannya air mata akan mengalir masuk ke dalam saluran airmata (lacrimal duct atau tear duct), selepas ia dikeluarkan dari kelenjar airmata (tear gland). Ia akan masuk melalui dua bukaan (puncta) yang berada di kelopak mata sebelah atas dan kelopak mata sebelah bawah, berhampiran dengan hidung.
Bukaan ini menghubungkan dengan saluran airmata melalui saluran yang kecil, dinamakan canaliculi. Jika berlaku sumbatan sama ada pada puncta, atau canaliculi atau tear duct, air mata tidak dapat disalurkan keluar ke dalam hidung, menyebabkan ia melimpah sebagai airmata.
Selain dari sumbatan pada saluran airmata, limpahan tersebut mungkin disebabkan oleh:
- Kecacatan pada sistem saliran air mata, sama bukaan (puncta ), canaliculi, atau saluran airmata. Kebiasaannya kecacatan berlaku apabila tiada bukaan, sama ada pada kelopak mata yang atas atau kelopak mata yang bawah atau kedua-duannya.
- Jangkitan kuman pada saluran airmata.
- Lebihan tulang yang menghalang saluran air mata akibat kecederaan trauma
Selalunya ia bukanlan sesuatu yang membimbangkan kerana kebanyakan bayi yang mengalami masalah ini akan sembuh selepas berumur setahun. Tiada lagi limpahan air mata kerana apabila mereka membesar, saluran air mata tersebut itu juga akan membesar, memudahkan air mata mengalir masuk ke dalam saluran tersebut.
Bagi sesetengah kanak-kanak, limphan air mata adalah minima, tetapi ada juga limpahan airmata terlalu banyak sehingga membasahi bulu mata, dan pipi. Ia dapat dilihat terutamanya apabila bayi itu baru dilahirkan sehingga umurnya berusia sebulan.
Oleh itu saya mencadangkan agar puan membawa anak puan untuk pemeriksaan doctor pakar mata jika masalah ini berlangsung selepas berumur setahun. Ini bagi memastikan masalah ini bukan disebabkan oleh masalah yang lebih serius seperti masalah penyakit glaucoma yang lebih berbahaya.
Kadang-kala ia boleh menyebabkan jangkitan kuman, sehingga kelopak airmata menjadi merah dan melekat antara satu sama lain, sehingga terdapat lendiran berwarna kuning kehijauan. Keadaan ini dnamakan “dacryocystitis” apabila jangkitan kuman berlaku pada keseluruhan saluaran airmata.
Limpahan airmata ini boleh berlaku sesekali. Oleh itu ibubapa mengadu keadaan ini kadang-kala telah sembuh tetapi berulang-ulang. Selalunya ia disebabkan oleh jangkitan kuman saluran pernafsan seperti jangkitan kuman pada hidung dan tekak, yang menyebabkan lebih banyak lendiran yang keluar di dalam hidung, menghalangkan cecair dari mata masuk ke dalam hidung.
Banyak cara rawatan yang boleh membantu mengurangkan masalah ini, antaranya rawatan ‘mengurut saluran air mata’. Caranya ialah dengan menekan perlahan-lahan bahagian hidung bagi membantu saluran ini lebih membuka dan memudahkan aliran airmata.
Jika ia tidak berkesan, mungkin rawatan yang lebih agresif boleh dilakukan oleh doctor mata bagi membuka bukaan dan saluran airmata.
Selain dari masalah sistem saluran airmata, limpahan air mata boleh disebabkan oleh lagi masalah penyakit yang lebih serius iaitu penyakit glaucoma di kalangan kanak-kanak dan kanser mata (retinoblastoma).
Glaucoma adalah penyakit yang menyebabkan kerosakan saraf mata (optic nerve) apabila terdapat tekanan yang tinggi di dalam mata, menekan saraf mata sehingga menyebabkan tisu pada saraf mata menjadi rosak dan akhirnya menyebabkan kebutaan. Masalah glaucoma ini selalunya berlaku pada orang dewasa, namun ia boleh berlaku pada bayi dan kanak-kanak juga.
Galucoma juga menyebabkan bayi atau kanak-kanak mengalami ‘limpahan air mata’ sehingga kelihatan seperti menangis, tetapi jika tiada limphan air mata ini, tidak bermakna kanak-kanak itu tidak mengalami penyakit glaucoma. Maknanya ‘limpahan air mata’ bukanlah suatu ciri utama bagi penyakit ini. Selain dari itu kanak-kanak ini sangat sensitif terhadap pancaran cahaya dan mereka cuba mengelakkan diri dari melihat cahaya yang terang. Pada bahagian permukaan mata (cornea) juga kelihatan berwarna kelabu dan tidak seperti permukaan mata yang normal.
Selalunya doctor mata akan memeriksa tekanan pada dalam mata (intraocular pressure) dan tekanan ini sangat tinggi. Doktor juga akan memeriksa bahagian dalam mata untuk melihat masalah pada saraf mata (optic nerve). Selalunya dilakukan setelah bayi atau kanak-kanak ini diberikan bius pengsan (general anesthesia) agar mereka tidak berasa takut dan bergerak ketika pemeriksaan dlakukan.
Retinoblastoma pula adalah kanser mata yang berlaku pada permukaan retina. Ia bermula semasa dalam rahem lagi apabila berlaku proses mutasi pada DNA di sel-sel retina. Tanda-tanda awal bagi penyakit kanser ini ialah terdapat warna putih pada anak mata (seperti mata kucing) apabila disuluh dengan lampu suluh. Mata juga akan kelihatan seperti juling dan bila kanser semakin membesar, mata akan menjadi merah.
Jika retinoblastoma tidak dirawat, ia akan membesar dan memenuhi ruang dalam mata. Apabila ia menyumbat saluran cecair dalam mata, ia menyebabkan tekanan dalam mata (intraocular pressure) akan meningkat sehingga menyebabkan rasa sakit dan kebutaan.
Retinolastoma boleh merebak ke bahagian lain seperti kelopak mata, dan tulang mata. Malah ia boleh merebak jauh pada organ lain seperti paru-paru, hati dan tulang belakang. Namun retinoblastoma adalah penyakit kanser mata yang jarang berlaku pada bayi dan kanak-kanak.
Oleh itu saya mencadangkan puan membawa anak puan untuk pemeriksaan mata oleh doctor pakar mata setelah beliau berumur setahun, jika puan masih berasa risau dengan keadaan mata anak puan. Puan boleh terus membawa anak puan tanpa menunggu umurnya setahun jika puan mendapati keadaan mata anak puan bertambah teruk atau ada tanda-tanda seperti mana yang saya sebutkan tadi.
Wallahu a’lam