Manfaat tidur tengah hari

Tidur di tengah hari, atau qailulah (dalam bahasa Arab) atau napping (dalam bahasa Inggeris) adalah amalan para sahabat yang dibenarkan oleh rasululllah SAW.

Dalam satu riwayat, terdapat beberapa orang Quraysh yang duduk depan pintu rumah Abdullah ibn Masoud. Apabila matahari mula menampakkan bayang, beliau berkata “Apa yang tinggal adalah untuk Syaitan”

Dalam hal ini Ibnu Abbas menerangkan, mereka diminta untuk pulang ke rumah setelah solat Zohor agar dapat berehat dan mengelakkan diri dari duduk beramai-ramai dan bercakap-cakap kosong.

Begitu juga dalam satu sumber dari Pejabat Mufti Perlis, hukum Qailulah (tidur sebentar waktu tengah hari ini) adalah Sunat. Dalam satu hadis Rasulullah SAW:

Maknanya: “Berqailulahlah kamu semua, kerana sesungguhnya syaitan tidak berqailulah.” (Abu Nu’aim di dalam al-Tibb)

Dalam hal ini, Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani menghukumnya sebagai HASAN di dalam Sahih al-Jami’ dan al-Silsilah al-Sahihah.

Dalam artikel ini, saya akan bincangkan hal yang berkaitan dengan panjang masa yang sesuai untuk berqailulah, kebaikannya dan penerangan saintifik.

Al-Qailulah adalah tidur sebentar pada pertengahan siang, bahkan ia juga boleh dilakukan dengan hanya berbaring atau merehatkan diri sebantar pada pertengahan siang. Satu pandangan yang lebih kuat, mengatakan bahawa al-Qailulah dilakukan selepas tergelincir matahari, (selepas solat waktu Zohor).

Ini berdasarkan riwayat dari al-Bukhari dan Muslim daripada Sahl bin Sa’ad RA yang berkata:

Maknanya: “Tidaklah kami berqailulah dan makan tengahari melainkan selepas menunaikan Jumaat (di zaman Nabi SAW)” (Lafaz Muslim)

Walau bagaimana pun bagi orang yang bekerja makan gaji, tidur atau rehat sehingga melebihi waktu rehat yang dibenarkan semata-mata untuk tidur sebentar, adalah tidak dibenarkan (haram) kerana ia melanggar kontrak masa yang telah dipersetujui antara majikan dan pekerja.

Selain itu seorang pekaerja tidak boleh melakukan sesuatu perkara yang tidak ada kena mengena dengan dengan kepentingan kerjanya, termasuklah tidur sebentar. Lagi pun tidur dan rehat di tengah hari selepas zohor hukumnya hanya sunat.

Tidur sebentar pada waktu tengah hari adalah pelengkap tidur di malam hari, terutama jika seseorang itu merasa terlalu mengantuk di siang hari.

Namun begitu, bagi orang yang tidak bekerja, tidur selepas zohor haruslah dilakukan pada waktu yang pendek dan bukanlah pengganti waktu tidur pada waktu malam selama 6 hingga 8 jam. Jika seseorang yang tidur pada waktu tengah hari dalam kadar yang lama, ia akan mengganggu waktu tidurnya pada waktu malam. Berkemungkinan besar dia akan mengalami masalah tidur di waktu malam dan mengganggu kesihatannya.

Oleh itu tidur di siang hari tidak digalakkan kepada orang yang mengalami susah tidur di waktu malam (insomnia) dan orang yang kemurungan (depression) kerana kedua-dua golongan ini sudah pun mengalami masalah untuk tidur malam dan tidur di siang hari akan terus mengganggu waktu tidur mereka di waktu malam.

Tidur sebentar selepas zohor, harus dilakukan dalam kadar yang tidak lama. Saintis mengaku bahawa manfaat besar akan diperolehi apabila seseorang tidur selama kira-kira 20 minit.  Selepas 20 minit, kita akan memasuki  fasa deep slow-wave sleep (SWS) dalam kitaran tidur yang menyebabkan kita akan tidur yang lebih nyenyak. Apabila bangun dan terjaga secara tiba-tiba akan akan menyebabkan kita rasa pening, keliru dan lebih mengantuk. Oleh itu untuk mendapat manfaat untuk tidur sebentar di waktu tengah hari, saintis mencadangkan agar tidur antara 15-25 minit.

Saintis juga mendapati al-Qailulah memberikan manfaat secara fisiologi dan psikologi bagi seorang pekerja. Ia menyegarkan minda, memperbaiki rasa bertenaga, meningkatkan mood dan meningkatkan produktiviti.

Selain itu, ia juga memberikan manfaat kepada jantung. Satu kajian yang dilakukan di Greeece menunjukkan orang yang mengamalkan tidur sebentar di tengah hari sekurang-kurangnya 3 kali seminggu mempunyai kebarangkalian 37% lebih rendah untuk mendapat serangan sakit jantung.

Al-Qailulah juga akan mengurang sakit kepala dan migraine. Prof Dr David F. Dinges, professor di Universiti Pennsylvania, mendapati bahawa tidur sebentar pada waktu tengah hari akan meningkatkan daya ingatan.

(rujuk : “The effects of a 20-min nap before post-lunch dip” Psychiatry and Clinical Neurosciences .Volume 52, Issue 2, pages 203–204, April 1998)

Jadi kesimpulannya, tidur atau rehat sebentar (al-qailulah) akan memberikan manfaat asalkan dilakukan dalam tempuh masa yang pendek. Jangan pula kita menggunakan alasan untuk mendapatkan manfaat ini dengan mengambil masa yang lama untuk berehat sehingga mengganggu tugas dan menjejaskan khidmat kita sebagai pekerja.

Wallahu a’lam.

Leave a Reply

error: Content is protected !!