Selamatkah Vaksin Untuk Bayi Kita?

Saya menyedari ramai ibubapa yang agak khuatir untuk memberikan suntikan vaksin kepada bayi mereka. Ini kerana mereka membaca berita-berita dari internet mengenai bahaya vaksin, padahal berita-berita ini diberitahu oleh orang yang tidak ada ilmu perubatan dan kebanyakan hujah yang diberikan adalah tidak benar.

Malah ada di kalangan kita yang menuduh bahawa program vaksin yang diberikan adalah konspirasi jahat untuk melemahkan umat Islam di seluruh dunia. Kononnya dengan pemberian vaksin ini akan menyebabkan umat Islam menjadi mudah diserang penyakit.

Saya sebenarnya tidak faham bagaimana teori konspirasi ini telah diterima oleh sebahagian dari kita. Pada hal dengan tidak memberikan vaksin, kita sebenarnya mendedahkan diri anak-anak kita dengan kemungkinan-kemungkinan dijangkiti penyakit berbahaya ini.

Hanya orang-orang kita sahaja yang agak skeptikal terhadap program immunisasi ini, sedangkan orang-orang lain berlumba-lumba untuk menyiapkan diri mereka dengan perllindungan immunisasi agar tidak dijangkiti oleh oleh virus-virus berbahaya.

Seterusnya secara tidak langsung, boleh saya simpulkan ialah dengan tidak memberikan vaksin, di kala kebanyakan penduduk dunia lain telah diberikan vaksin, kita telah melemahkan diri kita.

 

Mengapa immunisasi penting?

Immunisasi melindungi bayi dan kanak-kanak daripada penyakit-penyakit yang boleh menyebabkan sawan, kerosakan otak, kebutaan dan kematian.

Pengalaman saya bekerja di hospital awam, dapat melihat setiap hari ada saja kemasukan bayi ke dalam wad, akibat jangkitan virus. Virus-virus ini menjangkiti bayi-bayi ini kerana mereka tidak dilindungi program immunisasi dengan vaksin virus-virus tersebut.

Di Malaysia penyakit-penyakit seperti measles, tuberculosis, Hepatitis B, meningitis, batus kokol jarang dilihat kerana program immunisasi telah berjaya diberikan kepda kira-kira 95% bayi bawah umur setahun.

Kadar kematian bayi yang berumur satu tahun ke bawah juga sangat berkurangan, iaitu 3 dalam 1000 bayi yang dilahirkan dan hidup, setaraf dengan United Kingdom (UK).

Sebagai perbandingan, saya tunjukkan kaitan antara bilangan kematian bayi berusia kurang setahun akibat jangkitan kuman dan virus dengan peratusan suntikan vaksin yang diberikan kepada bayi yang berumur kurang dari setahun di negara maju (UK), negara jiran (Indonesia), negara ramai penduduk (India) dan negara Afrika (Nigeria).

Negara

Peratusan suntikan vaksin yang telah diberikan kepada kanak-kanak berusia satu tahun ke bawah

Jumlah bayi berumur satu tahun ke bawah yang mati akibat jangkitan kuman (dalam 1000 kelahiran yang hidup)
United Kingdom (UK) 95% 3
Malaysia 93% 3
Indonesia 82% 15
India 70% 22
Nigeria 42% 39

Sumber: http://www.who.int/whosis/whostat/EN_WHS2011_Full.pdf

 

Sebagai kesimpulannya, jika penduduk sesebuah negara tidak diberikan suntikan vaksin, semakin tinggilah kebarangkalian untuk ramai bayi yang berumur satu tahun ke bawah meninggal dunia.

Walaupun dalam negara kita kebanyakan anak-anak kita telah disuntik dengan vaksin (95%), dan boleh dikatakan bahawa ‘hampir mustahil’ anak-anak kita dijangkiti virus ini, tetapi penyebaran semula penyakit-penyakit ini di Malaysia telah mula berlaku akibat kebanjiran pendatang asing yang membawa penyakit-penyakit itu tanpa disedari oleh sesiapa. Mereka ini boleh sahaja menjangkitkan anak kita yang tidak dilindungi oleh vaksin.

Fenomena ‘ibubapa enggan memberikan suntikan vaksin kepada anak-anak mereka di klinik-klinik’ adalah amat membimbangkan. Perbuatan ini bukan sahaja berbahaya kepada bayi mereka tetapi boleh mengujudkan kelompok-kelompok yang bakal menjadi punca epidemik bagi jangkitan penyakit-penyakit itu.

Sebagai contoh, anak kita berumur 8 tahun tidak pernah  disuntik vaksin penyakit batuk kokol (pertussis) bermain di padang permainan.  Pada masa yang sama seorang pendatang asing yang kebetulan menghidap penyakit tersebut sedang berehat di situ. Sudah tentu kebarangkalian untuk anak kita dijangkiti kuman pertussis sangat tinggi, tanpa disedari.

Apabila anak kita balik ke rumah dan bermain dengan adiknya berumur 8 bulan yang tidak disuntik vaksin yang sama, kebarangkalian untuk menyebarkan kepada bayi yang lemah ini amat tinggi. Ada kemungkinan bayi yang berumur 8 bulan ini bakal mengalami batuk yang tidak pernah sembuh, akhirnya dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia.

 

Apakah immunisasi selamat?

Soalan yang sering ditanyakan kepada doktor, ‘adakah suntikan vaksin ini selamat?’ Ini kerana pelbagai tuduhan yang dikeluarkan dalam internet mengenai kesan sampingan suntikan vaksin ini.

Vaksin mengandungi antigen, sama ada terdiri dari virus hidup, virus yang telah dilemahkan, virus atau bakteria yang tidak lagi aktif akan menghasilkan antibodi melawan penyakit  tanpa menyebabkan seseorang yang disuntik mengalami penyakit tersebut.

Teknologi yang digunakan untuk menghasilkan vaksin semakin hari bertambah baik dan telah menghasilkan vaksin yang lebih selamat.

Selain itu, vaksin-vaksin ini disimpan dalam vial yang mengandungi bahan-bahan untuk menghalang pencemaran dan meningkatkan keberkesanannya. Bahan-bahan ini adalah selamat terhadap kesihatan manusia kerana jumlah kuantitinya adalah sangat sedikit berbanding dengan kuantitinya yang berada dalam alam sekitar secara semula jadi, dalam makanan atau air.

Oleh itu tiada asas bagi tuduhan yang mengatakan bahawa terdapat hubungan antara penyakit autism dengan thimerosal, iaitu bahan preservative yang digunakan dalam vaksin.

Malah thimerosal telah pun dikeluarkan dari vaksin yang digunakan untuk bayi dan kanak-kanak semenjak 2001, tetapi kadar peningkatan autism masih lagi meningkat, menunjukkan bahawa thimerosal bukanlah penyebab penyakit autism.

(rujuk: Budzyn D, et al. ‘Studies looking at measles, mumps and rubella (MMR) vaccine: Lack of Association Between Measles-Mumps-Rubella Vaccination and Autism in Children: A Case-Control Study’ The Pediatric Infectious Disease Journal. Vol. 29, No. 5, May 2010)

Isu keselamatan vaksin bukanlah satu isu yang diambil mudah oleh masyarakat perubatan. Sebelum suatu vaksin diluluskan, banyak kajian telah dilakukan melibatkan ribuan bayi dan kanak-kanak untuk memastikan suatu vaksin itu selamat.

Pengawasan dan pemantau terus dilakukan bagi memastikan setiap vaksin selamat digunakan. Tugas ini dijalankan oleh satu jawatankuasa khas bagi memastikan suatu tindakan yang drastik diambil jika terdapat kesan sampingan yang jarang berlaku pada suatu vaksin.

Sebagai contohnya pada tahun 1999 vaksin rotavirus telah dikaitkan dengan masalah penyumbatan usus bayi dan kanak-kanak pada kira-kira 100 orang kanak-kanak. Vaksin telah digantikan dengan vaksin rotavirus yang lebih baik dan selamat. Hari ini vaksin Rotavirus didapati lebih selamat dan memberikan manfaat pada jutaan bayi dan kanak-kanak.

 

Memberikan suntikan vaksin adalah tawakal

Ramai ibubapa yang cuai terhadap jadual suntikan vaksin anak-anak mereka. Mereka melambatkan malah ada yang mengelakkan diri dari diri membawa anak-anak mereka ke klinik dan hospital bagi tujuan suntikan vaksin.

Ini bukanlah suatu tindakan yang baik kerana telah mengabaikan kebajikan dan perlindungan kesihatan anak-anak mereka daripada penyakit yang bahaya yang mungkin menjangkiti pada anak-anak mereka.

Ibubapa seperti ini telah meninggalkan usaha tawakal, seperti mana tidak mengikat unta tunggangan mereka pada tambatan, dan berserah pada takdir ALLAH SWT. Seharusnya mereka berusaha dahulu melindungi anak mereka dan kemudian bertawakal dengan apa saja takdir ALLAH SWT yang akan berlaku.

Ini kerana jika seorang bayi dan kanak-kanak ditimpa dengan penyakit berjangkit itu, mereka lebih sukar untuk sembuh dan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.

Dalam surah At-Talaq ayat 3 Allah berfirman,

“Sesiapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah mencukupkan keperluannya.”

 

Mereka yang bertawakal akan mendapat keuntungan yang besar. Tawakal memerlukan usaha. Kebanyakan ulama memberitahu bahawa “Ketahuilah tempat bagi tawakal ialah di hati. Adapun pergerakan zahir (iaitu usaha), ia tidak membatalkan tawakal yang di hati kerana si hamba telah meyakini bahawa apa yang akan berlaku adalah mengikut ketetapan Allah. Jika dipermudahkan usahanya maka ia berlaku dengan kehendak Allah demikianlah juga sebaliknya.”

Kita harus berusaha sebelum meletakkan segala-galanya kepada ALLAH. Rasulullah SAW telah menegur seorang Arab Badwi yang membiarkan untanya merayau-rayau dengan berkata, “Ikatlah ia dan kemudian hendaklah kamu bertawakal.”   (sanadnya tidak diketahui)

Al Qur’an dan Sunnah telah memberikan panduan yang jelas mengenai konsep mempromosikan kesihatan fiikal manusia. Islam menggalakkan Muslimin untuk mengambil langkah yang lengkap dan sempurna untuk mengelakkan diri dari penyakit dan mempastikan diri tetap kekal sihat dan kuat.

Rasulullah SAW   bersabda “Allah telah menurunkn penyakit dan ubatnya, maka setiap penyakit mempunyai ubatnya. Cari dan ambillah ubat dan jangan menggunakan barang yang haram sebagai ubat” (riwayat Abu-Dawud)

Dalam hal ini banyak fatwa ulamak yang membenarkan penggunaan suntikan vaksin sebagai usaha mencegh penyakit. Fatwa yang dikeluarkan oleh bekas Mufti Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Ibn Baz iaitu :

Tiada salah memberikan rawatan pencegahan jika dibimbangi suatu penyakit akan berlaku akibat berlakunya epidemic atau wabak yang boleh menyebab terjadinya suautu penyakit.

Dan tidak salah memberikan ubat untuk mengelakkan suatu penyakit yang ditakuti kerana Bahwa Rasulullah saw. pernah bersabda: Barang siapa makan tujuh buah kurma di antara dua tanah tak berpasir Madinah pada waktu pagi, maka racun tidak akan membahayakannya sampai ke petang hari. (Shahih Muslim No.3813)

Langkah pencegahan ini adalah untuk mengelakkan sebelum suatu masalah atau musibah berlaku. Jadi jika bimbang akan suatu penyakit dan seseorang itu mendapat suntikan vaksin terhadap suatu jenis penyakit, ia tidaklah salah kerana ia adalah sebahagian usaha melindungi”

 

Berkaitan dengan kesan sampingan yang mungkin berlaku pabila seseorang mendapatkan suntikan vaksin, seperti demam untuk beberapa hari, ia mestilah dilihat dan diukur berbanding dengan kemudaratan yang mungkin menimpa apabila seseorang tidak mendapatkan suntikan vaksin itu, yang mana boleh menyebabkan kematian atau boleh menjejaskan kesihatan seseorang.

Prinsip am Syarie berkaitan dengan masalah kesan sampingan vaksin ini ialah jika terpaksa memilih dua keburukan, makan pilihlah yang kurang buruk bagi mengelakkan keburukan yang lebih besar.

Jika sesuatu vaksin telah dibuktikan secara saintifik bahawa kesan sampingannya melebihi manfaatnya, maka ia tidak dibenarkan.

 

Vaksin MMR dan Autism

Ramai ibubapa yang membaca dan mendengar serta mempercayai pelbagai hujah dan cerita mengenai bahaya vaksin. Malah ramai yang keliru dan tidak tahu mempercayai yang mana, sama ada hujah yang menyokong atau hujah yang menentang vaksin.

Lebih-lebih lagi di internet terdapat seorang penentang vaksin bernama Dr. Andrew Wakefield, yang juga penulis artikel yang sangat kontroversi dalam journal perubatan terkenal Lancet pada tahun 1998 yang mengaitkan suntikan vaksin MMR dan autism.

Artikel dalam journal perubatan British Lancet, ini telah dikeluarkan dari penerbitan pada February 2010. Majlis Perubatan Britain juga telah menarik balik lesen pengamalan perubatan Wakefield pada bulan May 2010. Ini bermakna beliau bukan lagi doktor yang diiktiraf di British dan tidak boleh mempraktiskan kemahirannya.

Jurnal perubatan terkenal, BMJ juga telah menerbitkan satu artikel bahawa dakwaan Wakefield sebenarnya palsu dan diada-adakan.

(rujuk: ‘Wakefield’s article linking MMR vaccine and autism was fraudulent’ BMJ 2011; 342 doi: 10.1136/bmj.c7452 (Published 6 January 2011) Cite this as: BMJ 2011;342:c7452)

Wakefield telah dikritik hebat oleh ahli-ahli saintis lain dalam masyarakat perubatan, dan beliau tidak dapat menjawab kririkan itu.

Rakan-rakan beliau yang sama-sama menjalankan ‘kajian’ yang dipertikaikan itu kemudiannya menarik diri dari senarai ahli sintis yang terlibat pada tahun 2004 setelah mengetahui bahawa sebenarnya Wakefield telah dibayar oleh satu syarikat guaman yang berniat untuk menyaman salah sebuah pengeluar vaksin. Dana yang diterima merupakan satu konflik kepentingan dan kajian yang dilakukan oleh beliau menjadi berat sebelah.

Menurut laporan BMJ itu sebanyaklebih 435,000 pounds (US$674,000) telah beliau terima dari syarikat guaman itu.

BMJ juga membuktikan dari 12 kes autism yang dikaji oleh Wakefield, lima darinya telah mengalami masalah perkembangan fizikal dan mental. Sementara tiga yang lain tidak mempunyai autism langsung.

(rujuk: Deer B. Secrets of the MMR scare: how the case against the MMR vaccine was fixed. BMJ2011;342:c5347)

Jadi sebagai kesimpulannya, saya percaya bahawa semua ibubapa mahu melakukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Secara peribadi saya percaya bahawa ibubapa harus memberikan suntikan vaksin kepada anak-anak mereka sebagai perlindungan kepada pelbagai jenis penyakit berjangkit.

Kementerian Kesihatan telah merangka program suntikan vaksin yang wajib diberikan kepada setiap bayi di Malaysia dan ibubapa haruslah membawa anak mereka untuk suntikan itu.

Bagi suntikan vaksin yang tidak ada dalam senarai program vaksinasi ini seperti vaksin rotavirus, fluvirus, chickeo pox virus, terserahlah kepada mereka untuk memilih sama ada mahu memberikannya atau tidak.

Wallahu a’lam.

7 comments

  1. Salam doktor. saya pernah dengar tentang perkara ni. Ada kenalan yang alim agama enggan memberikan anaknya vaksin atas alasan ia mengandungi kandungan yang diragui status halalnya, contohnya : ekstrak binatang yg tidak disembelih, atau ekstrak dari babi.

    • Saya amat tertarik dengan artikel kesihatan tulisan dr.Berkenaan dengan suntikan vaksin,saya amat bersetuju dengan konsep tawakkal yg dr tulis,namun demikian,kaedah moden bukanlah satu-satu perubatan yg ada di dunia ini.Sebagaimana manusia mempunyai pelbagai alternatif pilihan transport unt sampai ke suatu destinasi,begitu juga dgn hal berubat dan mencegah penyakit.tidak semua orang yg tidak mengambil vaksin semata-mata berserah bulat-bulat kepada Allah,ada di antara mereka memilih pelbagai kaedah mengikut keilmuan yang ada dalam pelbagai bidang untuk mencegah penyakit seperti mengamalkan madu,aiz zam-zam,batu-batuan dsbnya.Sesungguhnya ilmu Allah itu amat luas,umpama lautan,yg kita tahu hanyalah sedikit.wallua’lam.Terimakasih atas informasi kesihatan yg telah memberikan sya banyak faedah

    • Konsep tawakal yang saya bentangkan adalah jonsep yang diterangkan oleh bekas Mufti Arab Saudi,dan saya rasa beliau adalah orang yang berautoriti dan pandangan beliau selari dgn ulama Salaf di Arab Saudi.

      ‘Bertawakal dgn apa saja’ adalah tidak selari dengan pandangan ulama salaf di sana. Buktinya ulama di sama mengiktiraf langkah kerajaan Arab saudi mewajibkan suntikan vaksin Meninggiococcal sebelum haji dan umrah.

      Saya tidak peduli jika ada pandangan lain, kerana saya percaya dengan pandangan ulama yang saya pegang. Lagi pun tiada paksaan dalam memberikan suntikan vaksin di Msia.

  2. salam doc..saya setuju dengan pendapat doc..saya mohon pendapat doc tentang artikel di link yg saya attached ini..kerana artikel tersebut buat saya keliru..thanks doc.

    –> http://mindaahad.wordpress.com/2011/01/30/bahaya-suntikan-vaksin-dan-imunisasi/

  3. muhaini cheremli

    as salam doc….

    saya ada terbaca banyak artikel di internet mengenai bahayanya vaksin terhadap bayi…. ini membuatkan saya 50/50…..
    setakat ini sy telah menberi vaksin yg terkandung di dlm buku kedihatan bayi, dan juga roktavirus dan pneumucoccal…. bayi sudah berusia 6m 2w… artikel yg terlalu byk menceritakan keburukan vaksin membuat sy ragu2….betul2 keliru dgn pendapat pakar tentang baik dan buruk vaksin….thnks doc…

    • As salam doc, saya ada terbaca banyak artikel di internet mengenai bahayanya vaksin terhadap bayi…. ini membuatkan saya 50/50. ini sy telah menberi vaksin yg terkandung di dlm buku kedihatan bayi, dan juga roktavirus dan pneumucoccal…. bayi sudah berusia 6m 2w… artikel yg terlalu byk menceritakan keburukan vaksin membuat sy ragu2….betul2 keliru dgn pendapat pakar tentang baik dan buruk vaksin….thnks doc…

      Dr Zubaidi: Wa alaikum mus salam. Saya berdoa agar puan diberikan ketenangan dalam membuat keputusan yang tepat untuk kebaikan anak-anak di masa depan.

Leave a Reply

error: Content is protected !!