“Salam. Bolehkah pengambilan pil asid folik dimulakan sebelum wanita itu hamil? Sekiranya boleh dan jika wanita itu tidak hamil misalnya dalam tempoh tiga hingga empat bulan kemudian, adakah dia patut menghentikan pengambilannya? Apakah dos yang sewajarnya diambil oleh wanita yang merancang untuk hamil? Adakah pil ini mempunyai kesan sampingan? Mohon pencerahan”
WA ALAIKUM MUS SALAM
Folik asid ialah sejenis vitamin B. Ia bersifat larut air, maka berlebihan dos lazimnya dikeluarkan ke dalam air kencing. Jadi selagi ginjal masih sihat dan dapat mengeluarkan lebihan folik asid, ia tidak memberikan kesan sampingan.
Asid folik sangat penting dalam pembentukan otak dan sistem saraf tunjang kita. Kecacatan contohnya anencephaly (ketiadaan tempurung kepala), spina bifida (penyakit saraf tunjang) boleh diturunkan risikonya dengan pengambilan asid folik seawal sebulan sebelum hamil.
Ini bermakna mana-mana wanita yang sudah bersedia untuk hamil disarankan mengambil pil asid folik ini. Malah, wanita yang pernah melahirkan anak dengan kecacatan di atas disarankan memulakan pengambilan pil asid folik ini tiga bulan sebelum hamil. Ia hendaklah diteruskan sehingga kehamilan berusia tiga bulan.
Selepas itu, memandangkan pembentukan otak dan sistem saraf sudah selesai, asid folik tidak lagi memberikan kesan pencegahan kecacatan ini.
Bagaimanapun, tidak salah jika wanita itu ingin meneruskannya kerana ada kajian yang melaporkan pengambilan asid folik oleh orang dewasa dapat membantu mengurangkan risiko nyanyuk. Harganya pula tidaklah mahal berbanding vitamin lain.
Dos yang disarankan adalah sekurang-kurangnya 400 mcg. Terdapat dua jenis persediaan iaitu dos 400 mcg dan dos 5,000 mcg (5 mg).
Sumber: Harian Metro