AIR KENCING SAYA BERBUIH
“Salam doctor, baru-baru ini saya perasan bahawa air kencing saya berbuih di mangkuk tandas. Ia ada sedikit berbau dan warnanya agak pekat. Adakah ia tanda berbahaya? Untuk pengetahuan doctor saya kerap ke Gymansium dan sekarang mengamalkan suplemen minuman berprotein tinggi. Mohon pencerahan”
WA ALAIKUM MUS SALAM.
Air kencing terhasil dari proses yang berlaku dalam ginjal, di mana air akan ditapis dari saluran darah yang melalui ginjal dan kemudiannya dikumpulkan ke dalam ruang takungan di dalamnya. Semasa penapisan ini, banyak bahan-bahan toksik yang dibuang.
Jika kandungan toksik dalam air kencing terlalu banyak, ia akan menyebabkan perubahan pada fizikal air kencing. Antaranya terdapat buih pada air kencing yang kelihatan apabila seseorang itu mengeluarkannya pada takungan atau mangkuk tandas.
Buih dalam air kencing boleh jadi normal dan ada kalanya ia menandakan ada sesuatu yang tidak normal dalam tubuh seorang individu.
BUIH DALAM AIR KENCING YANG NORMAL
Kehadiran buih dalam air kencing tidak semestinya menandakan seseorang itu mengalami masalah kesihatan.
Ada kalanya, situasi begini adalah normal. Antaranya:
1. Ketika hamil
Semasa hamil, sesetengah wanita mengalami pembesaran saiz saluran darah. Ini menyebabkan lebih banyak protein yang selalunya tidak dapat melepasi penapisan, telah berjaya keluar masuk ke dalam air kencing. Namun begitu kandungan protein dalam air kencing bagi wanita hamil sangat minima. Jika terdapat banyak protein dalam air kencing, ia mungkin menandakan wanita hamil itu mengalami komplikasi kehamilan. Protein dalam air kencing boleh menyebabkan air kencing berbuih.
2. Ketika dehidrasi
Semasa dehidrasi, air kencing menjadi lebih pekat dan mudah berbuih.
3. Mengambil minuman/makanan berprotein tinggi.
Proteinuria bermakna terdapat protein dalam air kencing. Ia boleh berlaku apabila seorang individu mengambil sejumlah besar protein yang terdapat dalam minuman berprotein tinggi untuk membesarkan otot atau meningkatkan berat badan. Apabila beliau tidak mengambil lagi minuman atau makanan tambahan berprotein tinggi itu, air kencing tidak lagi mengandungi protein.
AIR KENCING BERBUIH YANG TIDAK NORMAL
Ada kalanya buih dalam air kencing menunjukkan seseorang individu itu mengalami masalah kesihatan atau penyakit yang mungkin beliau tidak sedari.
Apabila terdapat protein dalam air kencing, boleh disebabkan oleh dua perkara:
Pertama, pengambilan protein secara berlebihan sama ada dari suplemen minuman/makanan berprotein tinggi atau terlalu banyak mengambil daging dan produk tenusu dalam makanan. Apabila protein diambil dalam jumlah yang berlebihan, buah pinggang tidak mampu menyekat protein yang keluar masuk ke dalam air kencing. Ini menyebabkan terdapat pretein dalam air kencing. Selalu kuantitinya minima dan air kencing bebas dari protein apabila pengambilan protein yang berlebihan ini dihentikan.
Kedua, individu tersebut mula mengalami masalah buah pinggang. Biasanya, apabila darah melalui buah pinggang individu yang sihat, semua bahan toksin dan bahan buangan dikeluarkan ke dalam air kencing.
Walau bagaimanapun, pada individu yang mempunyai penyakit buah pinggang atau fungsi buah pinggang yang tidak normal, proses penapisan tidak dapat dilakukan dengan sempurna, menyebabkan protein dari darah, dapat melepasi penapisan dan masukkan ke dalam untuk air kencing.
Oleh itu buih dalam air kencing adalah sesuatu yang agak agak serius jika individu itu bukan wanita hamil, tidak dalam keadaan dehidrasi, tidak mengambil suplemen minuman/makanan berprotein tinggi atau tidak memakan makanan yang mempunyai banyak daging atau produk tenusu.
AIR KENCING BERBUIH BAGI BAGI INDIVIDU YANG ADA MASALAH KESIHATAN
Selain dari tanda kerosakan buah pinggang, buih dalam air kencing juga boleh menandakan beberapa penyakit lain. Antaranya:
1. Jangkitan Saluran Kencing
Jangkitan kuman pada pundi dan saluran kencing (dikenali sebagai kencing kotor) juga boleh menyebabkan menyebabkan air kencing berbuih. Ini kerana kuman yang berada ke dalam pundi dan saluran kencing, melepaskan gas, yang menyebabkan buih.
Antara tanda kencing kotor adalah air kencing berbuih semasa membuang air kecil, dengan sakit atau pedih terbakar. Pemeriksaan air kencing akan memastikan sama ada ia disebabkan oleh jangkitan kuman atau disebabkan oleh masalah penyakit lain.
2. Vesicocolic Fistula
Fistula adalah sambungan antara dua organ yang tidak normal. Antara fistula yang biasa berlaku di kalangan lelaki adalah vesicocolic fistula, iaitu sambungan antara pundi kencing dan usus besar. Ia akan menyebabkan najis dan udara dari usus besar masuk ke dalam pundi kencing, dan apabila ia dikeluar sebagai air kencing, ia akan berbuih.
Kesimpulan
Jika seorang individu itu melihat buih dalam air kencing dalam masa atau keadaan tertentu, atau ia berlaku hanya sesekali, maka tiada apa yang perlu dibimbangkan.
Walau bagaimanapun, jika melihat air kencing kerap buih atau setiap kali kencing, akan melihat buih dalam takungan tandas bersama air kencing, saya mencadangkan agar melakukan pemeriksaan yang lebih lanjut.
Ia mungkin menandakan beliau mula mengalami masalah kerosakan buah pinggang (ginjal).
Wallahu a’lam
KONSULTASI BERSAMA DR ZUBAIDI
Jika berminat mendapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi, boleh klik di link :
One comment
Pingback: lebih bagus madu diet atau madu langsing badan | SiapLangsing.website