PERLUKAN ANTIBIOTIK DAN UBAT TAHAN SAKIT SELEPAS PEMBEDAHAN BUANG BESI
“Assalam mu alaikum doktor. Saya berumur 13 tahun dan akan menjalani pembedahan untuk “buang besi dalam tulang” Selepas pembedahan itu, perlukah saya makan ubat antibiotik dan ubat tahan sakit ? sekian terima kasih”
WA ALAIKUM MUS SALAM.
Pembedahan mengeluarkan semula bendasing logam yang berupa plate, skru, pin dan sebagainya dari tulang selepas tulang telah bercantum semula adalah pembedahan yang biasa dilakukan di Jabatan Orthopaedic (Tulang).
Bergantung kepada tulang terlibat, pembedahan mengeluarkan semula logam ini ada yang dilakukan dengan bius pengsan (general anesthesia) dan ada yang dilakukan dengan bius suntikan setempat (local anaestesia).
Keperluan memberikan antibiotic dan ubat tahan sakit bergantung kepada banyak perkara.
Kebanyakan ubat antibiotic yang diberikan adalah merupakan langkah mencegah jangkitan kuman. Sementara ubat tahan sakit diberikan kerana pada amnya pembedahan yang melibatkan tulang selalunya akan menyebabkan rasa sakit untuk beberapa hari.
Mengapa antibiotic diberikan?
Jangkitan kuman pada tempat pembedahan adalah merupakan komplikasi pembedahan yang biasa berlaku akibat dari jangkitan kuman yang berpunca dari persekitara hospital.
Hospital bukanlah tempat yang paling bersih tetapi tempat yang banyak kuman yang boleh menjangkiti mana-mana luka pembedahan yang tidak dijaga kebersihannya atau apabila pesakit mengalami daya tahan yang kurang.
Jangkitan kuman pada luka pembedahan akan menyebabkan pesakit akan tinggal lebih lama di hospital dan ini akan melibatkan peningkatan kos yang terpaksa di bayar, terutama jika pembedahan ini dilakukan di hospital swasta.
Selain itu pesakit juga mungkin dimasukkan semula ke hospital, setelah dibenarkan pulang dan berehat beberapa hari di rumah.
Bagi pembedahan yang melibatkan anggota tubuh atau tulang yang besar, sudah boleh menyebabkan jangkitan kuman yang tidak terkawal, sehingga menyebabkan kematian.
Rujuk: Wong ES. Surgical site infection. In: Mayhall DG, editor. Hospital epidemiology and infection control. 2nd ed. Philadelphia: Lippincott; 1999. pp. 189-210.
Oleh itu doctor akan memberikan ubat antibiotic sebagai langkah pencegahan jangkitan kuman yang biasa berlaku padapembedahan tulang , lebih-lebih lagi jika doctor merasakan bahawa pesakit itu mengalami risiko jangkitan yang tinggi. Langkah ini akan mengurangkan risiko jangkitan kuman yang mungkin terjadi.
Rujuk: Pavel A, Smith RL, Bakkard A, Larsen AJ. Prophylactic antibiotics in clean orthopaedic surgery. J Bone Joint Surg 1974; 56A: 777-782.
Walau bagaimana pun tidak semua kes pembedahan perlu diberikan ubat antibiotic, kerana jika tidak berhati-hati boleh menyebabkan wujudnya kuman-kuman yang kebal terhadap antibiotic, meninggikan risiko terhadap kesan sampingan ubat, dan memberikan ubat antibiotic juga akan meninggikan kos yang terpaksa belanjakan.
Oleh itu jika tiada risiko yang tinggi, ubat antibiotic hanya diberikan dalam masa satu atau dua jam sebelum pembedahan dilakukan.
Rujuk: Classen DC, Evans RS, Pestotnik SL, et al. The timing of prophylactic administration of antibiotics and the risk of surgical wound infection. N Engl J Med 1992;326:281-286.
Walau bagaimana pun tiada ubat antibiotic diberi selepas 24 jam pembedahan. Jadi tiada lagi ubat antibiotic yang sepatutnya dibawa pulang untuk dimakan selepas keluar dari hospital, kecuali doctor mengesan jangkitan kuman pada luka. Pesakit hanya perlu membersihkan luka pembedahan saja menggunakan cecair normal saline saja.
Rujuk: Nelson CL, Green TG, Porter RA, Warren RD. One day versus seven days of preventative antibiotic therapy in orthopaedic surgery. Clin Orthop 1983;176:258-263.
Bagi ubat tahan sakit, boleh gunakan jika rasa sakit di luka pembedahan. Jika tidak rasa sakit, tidak perlulah ubat tahan sakit itu.
Wallahu a’lam