Penyakit Tibi berjangkit?

PENYAKIT TB BOLEH BERJANGKIT DENGAN SENTUHAN?

TB

“Assalamualaikum Dr. Saya ingin bertanya mengenai penyakit tibi. Minggu lepas kakak saya disahkan menghidap penyakit tibi dan dikuanrintin kan selama seminggu di hospital. Sekrang sudah kluar dan telah dibawa ke kg untuk mak saya jaga…jadi slma dia berada dgn kami perlukah ahli keluarga yg lain menjalani ujian darah untuk semakan samada kami skluarga turut berjangkit atau tidak.

Dan satu lagi adakah dengan bersalam/bersentuhan dan dekati dia dgn rapat akan ada keberangkalian penyakit tibi tu merebak ke kita walaupun dia pakai mask. Mohon pencerahan daripada doktor. Terima kasih”

 

WA ALAIKUM MUS SALAM

 

Penyakit Tibi atau Tuberculosis merupakan penyakit berjangkit tertua di dunia yang disebabkan oleh bakteria Mycobactarium Tuberculosis yang disebarkan melalui udara.

 

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menganggarkan sejumlah 9 juta kes baru Tibi di seluruh dunia dan 1.5 juta kematian disebabkan oleh penyakit ini pada tahun 2013.

 

Pada tahun tersebut juga dianggarkan kes baru penyakit Tibi di kalangan kanak-kanak adalah 550,000 kes dan jumlah kematian kanak-kanak adalah 80,000 kes.

 

Di Malaysia, kes Tibi yang dilaporkan pada tahun 2014 adalah sejumlah 24,711 kes iaitu peningkatan sebanyak 2.7% berbanding 24,071 kes yang dilaporkan pada tahun sebelumnya (2013).

 

Sepanjang tahun 2014, sejumlah 543,146 pesakit yang mempunyai tanda dan gejala Tibi telah disaring. Hasil daripada saringan tersebut didapati seramai 15,232 pesakit
adalah positif Tibi melalui ujian kahak. Manakala sejumlah 9,479 kes positif Tibi dikesan melalui ujian x-ray dada dan ujian pengesahan Tibi yang lain.

 

Penyakit Tibi juga merupakan penyebab utama kematian di kalangan penyakit berjangkit di Malaysia. Sejumlah 1,603 kes kematian Tibi dilaporkan pada tahun 2014 berbanding 1,597 kes kematian Tibi pada tahun 2013.

 

Penyakit Tibi disebarkan melalui udara apabila seseorang pesakit yang telah dijangkiti; batuk atau bersin. Tibi bukanlah semudah itu untuk dicegah dan dirawat. Tibi disebabkan sejenis bakteria yang mempunyai tempoh inkubasi yang panjang dan rawatannya akan mengambil tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan.

 

Batuk berpanjangan melebihi 2 minggu, demam dan berpeluh di waktu malam, kurang selera makan dan batuk berdarah adalah tanda-tanda utama yang sering terlepas pandang oleh pesakit.

 

Malahan ada yang leka dan beranggapan bahawa batuk tersebut adalah “batuk biasa” yang bakal hilang dengan sendirinya. Anggapan seperti inilah menjadikan Tibi merebak di udara dan mudah menjangkiti individu yang lain. Oleh itu, pengesahan dan rawatan awal kes adalah penting kepada penyelesaian permasalahan Tibi di negara kita.

 

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan. jika pesakit Tibi (kakak puan) tinggal bersama puan selama ini, saya mencadangkan seisi rumah harus dilakukan pemeriksaan Tibi. Terutama jika dalam keluarga ada yang mempunyai penyakit diabetis, penyakit autoimmune (yang menyebabkan beliau menerima rawatan steroid), wargatua. wanita hamil dan kanak-kanak. Mereka mempunyai dayatahan yang agak rendah berbanding dengan kebanyakan orang lain.

 

Cuma masalahnya ialah pada peringkat permulaan, penyakit TB agak sukar dikesan walaupun dengan pemeriksaan darah dan xray dada. Amat sukar untuk mendiagnosa seseorang itu mempunyai penyakit Tibi kecuali jika terdapat bukti kuman tersebut dalam sampel kahak, atau perubahan dalam xray dada atau pernah tinggal bersama pesakit Tibi dan sekarang mengalami demam panas yang berulang-ulang dan batuk yang berpanjangan.

 

Jika seorang individu itu tiada tanda tersebut, apa yang boleh saya nasihatkan ialah mengambil suplemen antioksida dan mengamalkan pemakanan yang sihat. Ini akan meningkatkan daya tahan dalam tubuh.

 

Bersalaman dan bersentuhan tidak akan menyebarkan kuman Tibi, sekiranya pesakit mengambil langkah dengan sentiasa menutup mulut dan hidung menggunakan penutup mulut (surgical mask) yang boleh boleh dibeli di farmasi dan sentiasa mencuci tangan.

 

wallahu a’lam.

Leave a Reply

error: Content is protected !!