Penjagaan Gigi Semasa Hamil

“Doktor, saya sedang hamil. Saya mendengar dari kawan-kawan, bahawa pemeriksaan gigi tidak boleh dilakukan semasa hamil. Saya bimbang dengan ubat bius dan ubat penahan sakit yang diberikan. Harap doktor dapat memberikan komen”

Saya sering mendapat pertanyaan-pertanyaan sebegini. Banyak informasi yang salah dan ada kalanya mengelirukan kerana mendengar kata kawan-kawan.

Saya cuba menjernihkan kekeliruan ini dengan memberikan penerangan dalam blog ini, semoga ianya bermanfaat.

Ramai wanita yang hamil mempunyai masalah gusi dan gigi kerana gusi mereka mudah menjadi bengkak, mudah berdarah dan makanan yang dimakan mudah terselit di antara gigi dan gusi. Ini semua disebabkan oleh perubahan hormon ketika hamil. Oleh itu lakukanlah pembersihan gigi dan pemeriksaan dental setiap tahun walaupun sedang hamil. Ia selamat, malah digalakkan.

Ada beberapa kajian yang mengaitkan jangkitan di dalam mulut dan gusi pada wanita hamil dengan kelahiran pramatang.

“Bagaimana pula dengan menampal gigi. Tak merbahayakah bahan yang digunakan pada bayi?”

Yayasan Kesihatan Dental British menasihatkan pada wanita hamil supaya mengurangkan prosedur-prosedur yang agresif ketika pemeriksaan gigi. Beritahu doktor bahawa anda sedang hamil, dan umur kehamilan. Prosedur-prosedur yang agresif haruslah diminimakan ketika tempoh kehamilan. Ini termasuk menampal (filling) menggunakan amalgam.

Penggunaan amalgam juga telah banyak diperdebatkan. Persatuan-persatuan pengguna mendakwa amalgam membahayakan pesakit dengan memberikan kesan sampingan jangka panjang. Bagaimana pula dengan wanita hamil? Adakah amalgam akan memberi kesan pada anak yang berada dalam rahem?

Saya berpendapat prosedur menampal gigi menggunakan amalgam haruslah dielakkan ketika berada dalam fasa trimester pertama. Belum banyak kajian tentang kesan amalgam pada bayi dalam rahem. Ini tidak bermakna amalgam selamat digunakan oleh wanita hamil. Oleh itu elok tangguhkan prosedur agresif itu kecuali ianya amat perlu dilakukan seperti kes mencabut gigi yang sudah rosak teruk (a root canal atau tooth extraction).

Jika perlu menampal gigi untuk mengurangkan risiko mendapat jangkitan kuman pada gigi, seelok-eloknya dilakukan selepas umur kehamilan mencapai fasa trimester kedua.

Apabila telah memasuki fasa trimester ketiga, wanita hamil tidak lagi selesa untuk berbaring di atas kerusi dental kerana berat bayi akan memberi tekanan pada abdomen. Jika boleh, tangguhkan sehingga melahirkan bayi.

Prosedur seperti pemutihan gigi haruslah ditangguhkan sehingga melahirkan anak. Ini akan mengurangkan apa jua risiko kepada bayi.

Wanita hamil juga boleh mengunakan ubat kumur yang mengandungi chorhexidine iaitu antiseptic yang boleh digunakan jika gusi terlalu bengkak dan sensitif hingga mengeluarkan darah ketika memberus gigi.

“Saya bimbang dengan ubat bius yang diberikan. Bolehkah saya memakan antibiotic ketika hamil?”

Inilah perlunya wanita hamil memberitahu doctor tentang kehamilannya. Beberapa ubat antibiotik yang digunakan adalah selamat. Antibiotik yang diberikan oleh doktor biasanya dalam kategori B yang selamat digunakan semasa hamil.

Begitu juga dengan ubat bius, sebagai contoh Lidocaine yang digunakan sebagai pelali tidak menjejaskan bayi dalam rahem kerana jumlahnya sedikit.

Malah suntikan ke gusi hanya menyebabkan rasa kebas pada tempat yang disuntik, bukannya ke seluruh badan.

Selalunya doktor akan memberikan pada dos yang minima. Setakat ini belum ada lagi bukti kajian santifik yang menunjukkan bius yang disuntikkan di gusi ketika prosedur dental memberikan kesan negatif pada bayi.

Walaupun dos yang diberikan minima, pesakit haruslah berasa selesa ketika rawatan diberikan. Jangan menahan sakit kerana akan memberikan ‘tekanan’ (stress) pada pesakit dan bayi. Mintalah ditambahkan ubat bius jika perlu.

“Bagaimana dengan sinaran xray yang diberikan pada wanita yang hamil ? Setahu saya wanita hamil tidak boleh di’x-ray’?

Pemeriksaan x ray jarang dilakukan di klinik-klinik dental. Ia perlu dielakkan pada wanita hamil terutama pada fasa trimester pertama kerana pembentukan organ janin sedang berlaku. Tangguhkan sehingga melahirkan bayi kecuali jika ia benar-benar perlu.

Walaubagaimanapun menurut American College of Radiology, mengesahkan bahawa  satu dos sinaran x ray tidak memberikan kesan kepada bayi dalam rahem, apatah lagi jika bayi telah cukup sifatnya.Ini kerana kedudukan rahem adalah jauh dari gigi yang di xray. Kedua, penggunaan apron yang mengandungi pelindung akan menghalang sinaran xray sampai kepada bayi.

Nasihat-nasihat:

  • Untuk mengelakkan jangkitan pada mulut dan gusi, wanita hamil dinasihatkan agar memakan makanan yang seimbang, memberus gigi menggunakan ubat gigi fluoride yang dibenarkan dua kali sehari, serta gunakan floss setiap hari.
  • Lakukan pemeriksaan gigi dan gusi termasuk pembersihan walaupun ketika hamil
  • Beritahu tentang kehamilan anda pada doktor.
  • Tangguhkan pembedahan dental yang tidak emergency sehingga mencapai fasa trimester kedua atau selepas melahirkan
  • Pastikan peredaran darah bergerak lancar dengan tidak menyilangkan kaki ketika duduk di kerusi dental.
  • Baring di kerusi dental dengan keadaan tenang dan rehat. Jika tidak, ia akan menambahkan stress yang dirasai oleh bayi.

Wallahu a’lam.

 

 

[IKLAN]

Bagi wanita yang mengalami masalah kitaran haid yang tidak menentu, dan bagi wanita yang baru melahirkan anak, saya mencadangkan suplemen, selain dari vitamin C dan E. Boleh dapatkan produk Kacip Fatimah keluaran UTM di http://needsvenue.com.my

 

Untuk pembelian menggunakan kad kredit sila klik di bawah:

Warisan tradisi silam kini dalam tangan anda

2 comments

  1. Terima kasih doc atas informasi.

  2. sy dlm trimester kedua skrg.aritu ms buat pembersihan gigi,dentist ada britahu kena tampal lbh kurg 6 lubang sblm trimester ketiga.blh ke buat filling smua tu skaligus?tak menyakitkan ke doc?dentist cakap kalau x buat filling takut nanti gusi bengkak,bernanah.

Leave a Reply to erinCancel reply

error: Content is protected !!