Tanpa kita sedari banyak pencemaran toksik merbahaya berada di dalam rumah kita. Paling membimbangkan ialah bayi-bayi kita terdedah secara langsung kepada pencemaran ini.
Sebelum ini saya ada menulis tentang bahaya pencemaran sejenis bahan kimia yang dikenali sebagai BPA yang terdapat pada botol susu plastik. Kini saya cuba membawa beberapa kerisauan badan-badan bukan kerajaan tentang beberapa bahan-bahan kimia merbahaya lain yang ‘dekat’ dengan bayi kita.
Belum banyak kajian saintifik mengenai kesan buruk pencemaran bahan kimia ini jika terdedah pada jangkamasa yang panjang. Malah bahan-bahan kimia ini menyebabkan banyak ‘penyakit-penyakit misteri’, telah dikategorikan sebagai “penyakit yang tidak diketahui sebabnya” atau unknown caused disease.
Para doktor sibuk mencari ‘apakah bakteria dan virus’ yang menjadi punca penyakit bayi di wad, hingga terlupa akan punca penyakit sebenarnya adalah pencemaran kimia berbahaya. Lalu akhirnya bayi itu dihantar pulang ke rumah dan dilabelkan sebagai “anak awak tidak mengalami sakit apa-apa”. Mungkin juga perlu dirawat oleh bomoh.
Keadaan yang sama tentu berbeza di negara-negara maju apabila doktor tidak hanya memikirkan ‘kuman virus dan bakteria’ sahaja tetapi juga memikirkan tentang kemaraan pelbagai bahan pencemaran kimia toksik yang semakin hebat dan mungkin telah masuk ke dalam rumah.
NGO-NGO di sana mempunyai saintis mereka sendiri dan melakukan analisa terhadap produk yang meragukan. Counter-balanced seperti ini amat dialu-alukan oleh pengguna agar kepentingan mereka terjaga.
Sebagai contoh, sebuah NGO yang aktif, California Public Interest Research Group dalam kajiannya memberitahu, walaupun di Amerika telah banyak undang-undang penguatkuasaan, namun produk permainan kanak-kanak dan bayi masih lagi mempunyai bahan kimia toksik yang merbahaya.
Ini belum lagi aspek keselamatan iaitu ‘bahaya yang mencederakan’ yang menyebabkan kes tercekik kerana saiz yang begitu kecil, kes terjerut kerana produk permainan yang mempunyai tali atau kes kecederaan luka akibat sisi produk yang tajam.
Satu laporan yang dikeluarkan oleh NGO “Trouble in Toyland” yang dikeluarkan pada tahun 2010 memberitahu kebanyakan produk permainan kanak-kanak mengandungi 0.1 peratus unsur phthalates yang telah diharamkan. Malah ada produk yang mengandungi sehingga 30 peratus bahan itu.
Phthalates adalah bahan kimia yang banyak digunakan untuk membuat produk permainan kanak-kanak dan produk rumah termasuk polyvinyl chloride, atau PVC.
Bahan-bahan kimia berbahaya ini digunakan dalam pembuatan produk permainan kanak-kanak, botol susu plastik dan tilam kanak-kanak.
Oleh itu, ibu bapa hendaklah berhati-hati ketika membeli produk mainan bagi anak-anak mereka. Perhatikan pada label produk itu, sama ada ia mengandungi bahan kimia yang merbahaya atau tidak.
Antara kumpulan bahan-bahan kimia yang merbahaya ialah :
- Phthalates. Bahan kimia yang digunakan untuk melembutkan plastic PCV dan banyak terdapat pada produk mainan kanak-kanak seperti patung dan pelembut gusi (teething rings). Kajian mendapati bahawa phthalates boleh berkumpul dalam badan dan menyebabkan kerosakan perkembangan organ pembiakan (FSA 2005). Kesatuan Eropah telah mengharamkan penggunaannya dalam produk mainan kanak-kanak (EU 2005)
- Organotin compounds. Bahan kimia ini digunakan sebagai penstabil dalam PCV dan digunakan untuk mengeraskan bahan plastik dalam produk permainan kanak-kanak. Ia menyebabkan perubahan hormon pada haiwan ujikaji di makmal (Grote et al 2004).
- Bisphenol A (BPA). Bahan kimia ini digunakan dalam pembuatan botol susu plastik yang menyebabkan botol plastic menjadi lutsinar dan tidak mudah pecah. Bahan ini boleh menyebabkan masalah ketidakseimbangan hormon, kanser, sakit jantung dan diabetes. (Lang et al 2008).
- Brominated flame retardants. Bahan kimia ini mengandungi bahan kimia yang digunakan untuk pakaian, perabot dan tilam agar tidak mudah terbakar. Kajian menunjukkan bahan ini boleh terurai, diserap oleh badan dan berkumpul dalam darah dan susu ibu (Meironyte 1999). Ia mengganggu fungsi hormone dan menyebabkan masalah pembelajaran, kanser, keguguran dan kerendahan daya tahan terhadap penyakit. (Eriksson et al 2006, Legler at al 2003, Main et al 2007).
Produk kanak-kanak yang bebas dari bahan-bahan kimia biasanya akan mencatatkannya pada label. Bagi produk yang mengandungi bahan kimia toksik ini, selalunya tidak memberikan apa-apa notis.
Setakat ini hanya Kesatuan Eropah sahaja yang memperkenalkan undang-undang pada tahun 2007, iaitu Pendaftaran, Penilaian dan Pengiktirafan atau Registration, Evaluation and Authorisation of Chemicals (Reach). Undang-undang ini akan memastikan produk-produk yang mengandungi bahan kimia merbahaya tidak dijual di kedai-kedai.
Wallahu a’lam.
Susunan Dr Zubaidi b Hj Ahmad (290311)