“Assalamu alaikum doctor. Saya menghadapi masalah gastrik yang kronik. Perut saya sering merasa sakit, rasa loya di tekak, muntah-muntah dan berat badan menurun sebanyak 5 kg dalam masa dua bulan. Saya sudah banyak kali berulang-alik hospital untuk rawatan gastrik, tetapi belum reda. Bolehkah doctor memberikan pandangan?”
Wa alaikum mus salam. Saya bersimpati dengan masalah yang tuan hadapi. Apabila umur kita semakin meningkat, seluruh anggota dan organ badan kita tidak seperti dulu.
Antara masalah yang dihadapi oleh orang yang memasuki umur 50an ialah masalah penghadaman atau sering disebut gastrik.
Jadi jangan memandang remeh penyakit gastrik yang berlaku walaupun di peringkat permulaan. Ini kerana jika dibiarkan tanpa rawatan, pesakit boleh menghidapi penyakit gastrik kronik dan menyebabkan berlaku pendarahan dalam perut.
Sentisa berusaha dengan menjaga pemakanan. Jangan berputus asa berikhtiar dan berdoa sepenuh hati untuk penyembuhan. Setiap penyakit merupakan satu ujian Allah yang beriman.
Firman ALLAH dalam surah al-Furqan ayat 75, “Mereka itu akan dibalas dengan tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima di dalam syurga itu ucapan selamat di dalamnya.”
Penyakit Gastrik adalah istilah yang biasa digunakan oleh masyarakat awam yang merujuk kepada keradangan pada lapisan dinding dalam perut. Lapisan ini terhakis sehingga mendedahkan saraf perasa yang menyebabkan seorang pesakit berasa pedih.
Cara terbaik ialah dengan membuat pemeriksaan OGDS dan doctor akan mengambil sampel tisu untuk menentukan sama ada terdapat jangkitan kuman atau tidak.
Jika terdapat luka, sampel tisu juga dimabil untuk menentukan jika terdapat risiko luka itu menjadi kanser.
Jangkitan kuman yang biasa berlaku dalam perut ialah jangkitan kuman bakteria H. pylori yang melemahkan struktur lapisan perut.
Apabila pencetus radang seperti pengambilan ubat-ubatan penahan sakit NSAID (non-steroidal anti-inflammatory), rokok, dan minuman yang banyak caffeine menyebabkan lapisan ini mudah menipis dan semakin kuat mengalami keradangan. Jika ia tidak dirawat ia akan menyebabkan luka perut dan pendarahan.
Oleh itu untuk sembuh, pesakit harus mengelakkan pengambilan makanan yang pedas, masam dan berkafein selain menghentikan amalan merokok dan penggunaan ubat penahan sakit NSAID.
Selain itu doctor akan memberikan ubat gastik yang meneutralkan asid seperti antacid dan ubat menghentikan pengeluaran asid seperti Omeprazole dan Famotidine.
Jika terdapat bukti jangkitan kuman H.pylori, doctor akan memberikan ubat antibiotik untuk melawan jangkitan kuman tersebut.
Mengamalkan pembacaan al-Quran sangat membantu pesakit dan memberikan banyak manfaat. Ia akan memberikan ketenteraman hati dalam pesakit, selain membentuk rasa sabar dalam hati pesakit.
Seperti di dalam surah al-Mukminun ayat 111, Allah swt berfirman; “Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang yang berjaya.“
Pesakit harus ingat bahawa apa-apa penyembuhan hanya dengan izin Allah. Oleh itu, kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah. Berusahalah dengan cara yang betul.
Wallahu a’lam.
KONSULTASI BERSAMA DR ZUBAIDI
Jika berminat mendapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi, boleh klik di link :
DR sy nk tnya, adakah normal perut saya berdegup degup? ianya terjadi selepas sy turun berat badan akibat diet. mohon pencerahan dr pihak Dr. terima kasih