Salam doktor. Saya ada pertanyaan. Saya baru melahirkan seorang bayi perempuan pada pertengahan tahun ini, akan tetapi usianya tidak panjang meninggal selepas empat hari pembedahan jantung. Doktor mengesahkan anak saya mempunyai sindrom VACTERL. Boleh doktor terangkan lebih lanjut apa punca VACTERL? Adakah kemungkinan berlaku lagi pada kelahiran seterusnya?
Terima kasih.
Wa alaikum mus salam.
Semoga ALLAh berikan kekuatan dan kesabaran kepada puan dalam menghadapi ujian ALLAH. Saya doakan agar ALLAH mengampunkan semua dosa-dosa puan dan saya.
Saya tersentuh membaca ketabahan puan menghadapi semua ujianNYA. Saya percaya ALLAH ‘menyimpan’ anak puan dalam lindunganNya dan berada dalam syurga ALLAh menunggu puan.
Sebenarnya masalah yang dihadapi anak puan lebih disebut sebagai VACTERL association, bukan VACERL syndrome.
VACTERL association adalah kecacatan bayi yang dilahirkan yang melibatkan banyak organ dalam tubuh. Ia berlaku satu dalam 10,000 hingga 40,000 kelahiran.
VACTERL sendiri adalah singkatan kepada kecacatan yang melibatan Vertebral defects (kecacatan tulang belakang), Anal atresia (lubang dubur yang tidak dibentuk sempurna), Cardiac defects (kecacatan jantung), Tracheo-esophageal fistula (terdapat sambungan antara saluran pernafasan dan saluran makan), Renal anomalies (kecacatan ginjal), dan Limb abnormalities (kecacatan pada tangan dan kaki).
Bayi yang didiagnosa dengan VACTERL association selalunya mempunyai sekurang-kurang tiga ciri yang disebutkan tadi.
Kecacatan pada tulang belakang (spinal vertebrae) terdapat pada kebanyakan bayi yang didiagnosa sebagai VACTERL association. Kecacatan ini melibatkan sama ada bengkokan tulang yang tidak normal, tulang belakang bercantum, kehilangan atau penambahan tulang belakang).
Kecacatan pada lubang dubur menyebabkan bayi mempunyai lubang dubur yang sempit atau tiada lubang langsung (anal atresia). Anal atresia selalunya bersama-sama dengan kecacatan pada alat kelamin dan saluran kencing.
Kecacatan pada jantung pula selalunya sangat teruk dan boleh menyebabkan kematian sehingga memerlukan pembedahan.
Selain itu, mereka mempunyai “tracheo-esophageal fistula”, iaitu kecacatan apabila saluran yang menghubungkan saluran pemakanan dengan saluran pernafasan. Keadaan ini boleh menyebabkan bayi mengalami sukar bernafas, dan susu yang diminum boleh tersedak memasuki paru-paru.
Kecacatan ginjal pula boleh berlaku sama ada bayi itu hanya memiliki hanya satu ginjal, atau tidak mempunyai ginjal langsung.
Merekaz mempunyai kecacatan yang jelas berlaku pada bahagian tangan dan kaki, sama ada ia tidak dibentuk dengan baik, seperti tiada jari atau lengan.
Ada bayi yang dilakukan dengan masalah VACTERL association tidak dapat dikesan sehingga menjadi dewasa, dan memerlukan rawatan yang agak rumit.
Punca masalah ini tidak diketahui dengan tepat. Ia adalah masalah yang kompleks dan puncanya disebabkan oleh pelbagai faktor, setiap orang mempunyai punca berlainan. Ahli saintis menyimpulkan bahawa ia berlaku apabila terdapat interaksi antara faktor gentik yang lemah dan faktor persekitaran yang berbahaya.
Oleh kerana kecacatan ini berlaku semasa bayi dalam rahem lagi, ketika proses awal pembentukan fizikal bayi, ia menyebabkan kecacatan yang kompleks melibatkan banyak organ dalam tubuh.
Tidak semestinya ibubapa yang pernah melahirkan anak seperti ini akan melahirkan anak yang sama pada kehamilan akan dating.
Ia berlaku secara rawak dan rambang, bermakna ia berlaku bukan disebabkan oleh masalah keturunan.
Saya percaya bahawa ia adalah TAKDIR yang berpunca dari pelbagai factor yang harus diterima oleh ibubapa dengan perasaan redha.
Wallahu a’lam.