makan durian dengan selamat

MAKAN DURIAN DALAM KUANTITI KECIL
Artikel di bawah adalah temubual wartawan Harian Kosmo bersama saya.
 
 
PESAKIT kronik seperti jantung dan ginjal disarankan makan durian dalam kuantiti satu atau dua sudu kecil sahaja.
 
MUSIM durian merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh Hartini @ Khaslin Dolah Mok Sim, 35, kerana ia merupakan buah kegemarannya sejak kecil.
 
Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Zubaidi Ahmad berkata, durian mempunyai kandungan karbohidrat (gula) yang tinggi.
 
Dua ulas biji durian mengandungi 60 hingga 80 kcal kalori yang bersamaan dengan setengah cawan nasi putih.
 
Kalori tersebut bergantung kepada jenis baka durian itu.
 
Baka berkualiti tinggi seperti D24 dan Musang King lebih sedap, rasa berlemak dan kandungan karbohidratnya juga tinggi.
 
“Durian mengandungi vitamin C dan B serta mineral potassium.
 
“Kadar kesemua vitamin dan mineral ini berbeza mengikut berapa lama disimpan, adakah ia masak di pokok atau dipetik lebih awal, tempat ditanam serta baja yang digunakan,” jelasnya.
 
Jika buah durian tersebut dipetik lebih awal dan disimpan, ia akan mengurangkan vitamin serta mineral berbanding masak secara semula jadi di atas pokok.
 
Beliau menasihatkan agar durian diambil secara bersederhana iaitu dua hingga tiga ulas.
 
Karbohidrat
 
Tambahnya, pengambilan melebihi lima ulas sudah dikira terlalu banyak jika pada masa yang sama kita mengambil sumber karbohidrat lain.
 
Disebabkan kandungan karbohidrat (gula) serta potassium yang tinggi, durian tidak sesuai untuk dimakan oleh pesakit kronik seperti masalah jantung dan ginjal.
 
“Sekiranya ingin merasa keenakan buah tersebut, pesakit disarankan agar mengambil dalam satu atau dua sudu kecil.
 
“Ini kerana, kandungan mineral potassium boleh mengganggu fungsi jantung dan ginjal sehingga menyebabkan pesakit pengsan,” terangnya.
 
Begitu juga pesakit diabetes dan wanita hamil dinasihatkan agar makan durian dalam kuantiti yang sedikit.
 
Mengulas mengenai larangan dan mitos makan durian bersama beberapa makanan yang dikatakan bakal mengundang masalah kesihatan, Zubaidi berkata, ia adalah berdasarkan pengalaman orang lama.
 
Sebagai contoh makan durian bersama alkohol atau air berkarbonat boleh menyebabkan seseorang itu pengsan.
 
“Durian mempunyai karbohidrat yang tinggi, selalunya seseorang itu mengambil beberapa ulas untuk sekali makan.
 
“Oleh itu, pengambilan minuman atau makanan yang tinggi karbohidrat akan menyebabkan gula terlalu tinggi,” ujarnya.
 
Apatah lagi jika tidak disertai dengan pengambilan air kosong sehingga menyebabkan dehidrasi.
 
Tuturnya lagi, pesakit kronik lebih berisiko untuk mengalami masalah kesihatan apabila makan durian yang banyak dan diambil bersama dengan alkohol, air bergas, kopi atau apa-apa minuman serta makanan merangsangkan degupan jantung untuk lebih bertenaga.
 
Sehubungan itu, orang dulu-dulu menggalakkan seseorang yang makan durian meminum air dalam pangsa durian bagi mengelakkan panas badan (akibat metabolisme gula yang tinggi).
 
Sebenarnya ia lebih kepada mengelakkan dehidrasi selepas makan durian dan mengelakkan kesan sampingan ketika dehidrasi.
 

Leave a Reply

error: Content is protected !!