“Assalamu alaikum, doctor. Saya mempunyai seorang anak yang berumur 4 bulan dan dilahirkan secara pramatang pada usia kehamilan 34 minggu. Ketika usianya mencecah 3 bulan, saya mendapat pandangan matanya tidak selari. Adakah anak saya juling?”
Wa alaikum mus salam.
Terima kasih kerana bertanya. Saya menasihati puan agar jangan risau terhadap pemandangan mata anak puan yang tidak selari itu, kecuali jika anak puan telah berusia 6 bulan.
Masalah penglihatan yang tidak selari ini tiada kena mengena dengan kelahiran pramatang. Ia berlaku hampir pada semua bayi yang lahir berumur 6 bulan ke bawah, sama ada cukup tempuh hamil atau lahir pra-matang.
Ketika dilahirkan, secara normal pemandangan mata bayi tidak selari dan tidak fokus.Pergerakan bola matanya menjadi tidak menentu.
Setelah bayi berusia 3-4 bulan, mereka mula mengawal otot-otot mata dengan lebih baik. Pada umur 6 bulan, kebanyakan bayi telah dapat mengawal dengan lebih baik untuk pemandangan jauh dan dekat.
Berikan sedikit masa untuk anak puan menguasai kawalan bola mata mereka. Puan boleh melatih pergerakan bola mata mereka dengan bermain barang permainan di depan muka mereka. Dekatkan secara perlahan-lahan ke muka mereka dan kemudian dengan cepat menjauhkan dari muka mereka. Buat beberapa kali.
Puan juga menggerakkan alat permainan itu ke kanan dan ke kiri bagi melatih pergerakan bola mata anak puan.
Masalah mata juling yang sebenar jarang berlaku pada bayi yang sihat. Ia dapat dikesan selepas usia anak puan melebihi 6 bulan dan masih tidak dapat mengawal pergerakan bola mata mereka.
Dalam hal ini, ia berlaku tanpa sebab yang jelas. Namun ada ketikanya ia disebabkan oleh masalah rabun jauh, rabun dekat atau astigmatism (rabun silau).
Kanak-kanak istimewa seperti Down syndrome, Noonan’s syndrome, dan ‘cerebral palsy’ juga mengalami masalah rabun.
Jika tidak dikesan dengan cepat dan tidak dirawat, anak puan boleh mengalami kecacatan juling yang kekal.
Kanak-kanak yang juling tidak dapat mengawal pergerakan bola mata mereka untuk melihat sesuatu dengan pemandangan yang selari.
Setiap bola mata akan berada paksi yang tidak selari dan melihat imej yang berlainan. Otak yang membaca mesej imej yang dilihat akan tidak menghiraukan imej dari bola mata yang lebih lemah untuk mengelakkan kekeliruan.
Penglihatan mata yang lemah ini lama kelamaan akan diabaikan terus oleh otak dan menyebabkannya menjadi ‘buta’.
Ini bermakna walaupun anak puan mempunyai satu mata saja yang berfungsi. Melihat satu objek dengan satu mata saja mempunyai banyak kelemahan.
Oleh itu saya mencadangkan agar puan melakukan pemeriksaan mata pada usia enam bulan jika puan mengesyaki mata anak puan juling.
Wa allahu a’lam.