Batu karang dan darah dalam air kencing

“ASSALAMUALAIKUM, Saya mengalami penyakit batu karang sejak empat tahun lalu. Saya sudah menjalani pembedahan membuang batu dari buah pinggang tahun lepas. Tetapi penyakit itu kembali dan saya selalu mengalami kesakitan hingga ke hari ini.Kadang-kala keluar darah semasa saya buang air kecil. Adakah keadaan ini berbahaya, doctor? Mohon pencerahan”

 

WA ALAIKUM MUS SALAM

 

Batu karang kerap berlaku di kalangan lelaki berumur antara 20 hingga 40 tahun. Namun, ada juga wanita yang mengalami masalah batu karang.

 

Sakit yang dialami biasanya teruk dan tidak hairan jika lelaki dewasa boleh menangis bila sakit batu karang menyerang.

 

Batu karang merupakan butir-butir pepejal keras yang terbentuk di dalam air kencing. Ia boleh terbentuk di mana-mana organ badan yang berkait dengan proses pembentukan dan pembuangan air kencing seperti buah pinggang, pundi kencing dan saluran ureter (saluran menghubungkan buah pinggang dan pundi kencing).

 

Batu karang terbentuk apabila kandungan bahan seperti kalsium, oxalate, cysteine atau asid urik di dalam air kencing pada kadar yang tinggi. Batu boleh terbentuk jika bahan tersebut pada kuantiti biasa tetapi jumlah air kencing sangat rendah.

 

Bahan tersebut akan membentuk kristal halus yang kemudian melekat pada dinding buah pinggang dan membesar hingga menjadi batu karang. Biasanya, batu karang akan bergerak melalui saluran air kencing dan keluar dari badan apabila kita membuang air kecil. Batu karang akan menyebabkan rasa sakit jika saiznya besar dan tersekat di saluran air kencing.

 

Punca Pakar perubatan percaya pembentukannya dipengaruhi genetik, persekitaran, diet dan jangkitan kuman di saluran kencing. Oleh itu, sukar untuk menjangka siapa mendapatnya. Jika ada ahli keluarga pernah mendapat batu karang, maka anda mungkin boleh dapatnya. Mereka yang pernah dijangkiti kuman di saluran kencing mudah mendapatnya.

 

Simptom Simptom utama adalah rasa sakit teramat sangat di belakang atau pinggang, digambarkan lebih teruk daripada sakit bersalin.

 

Apabila sakit menyerang, ia berlanjutan selama 20 hingga 60 minit dan dalam tempoh itu, sakit akan datang dan pergi. Hampir semua pesakit batu karang ada kesan darah di dalam air kencing atau hematuria.

 

Ramai pesakit turut rasa sakit atau panas apabila kencing dan boleh nampak butiran pasir halus di dalam air kencing. Ada mengadu demam, menggigil, rasa loya dan muntah.

 

Namun, ramai pesakit yang tidak mempunyai sebarang simptom. Mereka hanya tahu mengenai batu karang melalui pemeriksaan kesihatan bertujuan mengesan penyakit lain.

 

Rawatan moden Rawatan bergantung pada saiz dan lokasi, kadar kesakitan dan keupayaan pesakit untuk minum. Jika doktor merasakan batu karang boleh keluar melalui air kencing kerana pesakit boleh tahan sakit, makan minum seperti biasa, mereka boleh berehat di rumah dan menunggu batu karang keluar sendiri.

 

Jika pesakit mengalami kesakitan teruk atau loya, doktor akan menahannya di hospital dan memberi ubat tahan sakit dan memasukkan air melalui saluran darah anda (IV fluids).

 

Jika pesakit mengalami demam dan sakit teruk, mereka akan ditahan di hospital untuk rawatan dan mengelak jangkitan kuman lebih serius.

 

Jika batu karang tidak dapat keluar sendiri melalui air kencing, doktor mungkin mengesyorkan pembedahan kecil atau prosedur perubatan lain antaranya proses Lithotripsy yang sesuai untuk batu karang bersaiz kurang 1 cm.

 

Pengambilan air yang banyak membantu mencegah kristal halus bercantum dan membentuk batu karang lebih besar. Ia juga memudahkan badan membuang batu karang yang bersaiz sangat kecil.

 

Pemakanan memainkan peranan mencegah pembentukan batu karang. Antara makanan yang menyebabkan pembentukan batu karang jika diambil berlebihan, daging, organ dalaman haiwan, garam, kacang, bayam, coklat, keledek, supplemen kalsium dan supplemen vitamin C berlebihan.

 

Wallahu a’lam.

 

Leave a Reply

error: Content is protected !!