BAHAYA TIDUR DENGAN BAYI

Ramai ibu bapa beranggapan tidur bersama bayi dengan berkongsi katil atau tilam adalah cara paling selamat untuk melindungi si kecil, di samping dapat mengeratkan lagi ikatan antara kedua-dua pihak.

Memang benar tidur bersama bayi membolehkan ibu bapa lebih rapat dengan si kecil kerana langkah itu memberi ibu bapa masa tambahan bersama bayi.

Tidur dengan bayi juga membolehkan ibu bapa segera bertindak jika si kecil mula batuk atau menangis pada waktu malam.

Malah, bayi yang tidur berkongsi katil dengan ibu mereka dikatakan cenderung untuk menyusu lebih kerap dan tempoh lebih lama berbanding bayi yang tidur bersendirian.

Bayi yang tidur dengan ibu bapa juga dikatakan tidak kerap terbangun pada waktu malam dan berjaga dalam tempoh masa lebih pendek serta kurang menangis.

Namun, amalan tidur bersama jika tidak dilakukan dengan kaedah yang betul dan selamat boleh membahayakan nyawa bayi kerana meningkatkan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS).

Amalan tidur bersama bayi (terutama berumur enam bulan ke bawah) harus dilakukan dengan kaedah yang betul, jika tidak ia berbahaya kepada bayi.

Kematian bayi yang mengejut (Sudden Infant Death Syndrome, SIDS) berlaku dalam kalangan bayi berusia kurang setahun dan kematian bayi ini biasanya berlaku semasa tidur. Ia juga dikenali sebagai maut di tempat tidur (crib death).

Kombinasi masalah fizikal dan faktor persekitaran di tempat tidur boleh menyebabkan bayi mudah menjadi mangsa SIDS.

Antara faktor fizikal yang dikaitkan dengan SIDS ialah masalah dalam otak (akibat belum matang) yang mengawal pernafasan dan bangun tidur bayi tersebut, atau dilahirkan secara tidak cukup bulan, atau dilahirkan tidak cukup berat dan otak bayi yang tidak matang sepenuhnya menyebabkan tidak dapat mengawal proses bernafas yang betul dan degup jantung tidak menentu. Jangkitan kuman pada saluran pernafasan dan paru-paru juga penyebab SIDS.

Antara faktor tempat tidur yang dikaitkan dengan SIDS ialah bantal, selimut dan anak patung yang diletakkan di tempat tidur, yang menyebabkan bayi ‘ditimbus’ dan tidak bernafas, dan posisi bayi tidur (tidur tertiarap).

Bayi yang tidur bersama ibu bapa atau adik-beradik juga mengalami SIDS kerana tertindih secara tidak sengaja.

Amalan di barat, tidak menggalakkan ibu tidur sekatil dengan bayi yang dilahirkan secara pramatang, dan mengalami kurang berat badan dan bayi berusia kurang enam bulan.

Mereka lebih selamat ditidurkan berhampiran ibu tetapi katil yang berlainan.

Bayi boleh mati lemas tidak bernafas kerana berkongsi selimut de­ngan ibu. Ibu bapa yang terlalu letih juga tidak digalakkan tidur bersama bayi kerana mungkin akan menghempap bayi dan tidak sedar apabila bayi terjaga dan menangis.

Ibu atau bapa yang merokok juga tidak digalakkan tisur bersama bayi kerana ia mendedahkan bayi kepada bahan toksik asap rokok yang dikeluarkan dari paru-paru semasa tidur.

Ibu yang menyusukan bayi dan tidur bersama, harus berwaspada kerana ibu mungkin kepenatan dan wajah bayi mungkin tertangkup pada payudara ibu yang tidur kepenatan.

TIPS UNTUK TIDUR DENGAN BAYI

1. Pastikan bayi tidur terlentang, tidak telangkup/tertiarap.

2. Tempatkan bayi di samping ibu, bukan di antara ibu dan ayah.

3. Jangan gunakan water bed atau tempat tidur yang terlalu empuk. Jangan gunakan terlalu banyak bantal, kerana bayi boleh ‘tertimbus’ di dalam timbunan bantal dan mengalami sukar bernafas.

3. Pastikan jarak antara tempat tidur dan dinding cukup rapat untuk menghindari kemungkinan bayi terjatuh di antara dinding dgn katil.

3. Pastikan saiz tilam sama ukurannya dengan katil untuk menghindari bayi tersepit di antara tempat tidur dan katil.

4. Tempatkan bantal atau tilam kecil di sekeliling katil agar kalaupun bayi jatuh, tidak jatuh terus ke lantai yg keras.

5. Pastikan selimut tidak mudah terlepas, bimbang bayi tertutup di vawah selimut dan tak boleh bernafas.

6. Gunakan pakaian yang ringkas ketika tidur. Baju yang bertali panjang atau gaun tidur yang lebar boleh menyebabkan bayi terjerat.

Allah lebih mengetahui.

Diadaptasi dari harian metro.

Leave a Reply

error: Content is protected !!