Berpuasa Memanjangkan Umur

BERPUASA DAN PANJANG UMUR
 
 
 
 
Kajian awal secara saintifik tentang puasa hanya dilakukan pada tahun 1945.  Itu pun menggunakan tikus dalam makmal sebagai sampel ujikaji. Ini menunjukkan bahawa sains barat agak lambat dalam membukti kebaikan amalan berpuasa, sedangkan amalan ini telah lama dilakukan dan memberikan manfaat berkurun-kurun lamanya.
 
Ini adalah suatu yang tidak dapat dielakkan kerana selama ini sains barat memisahkan antara agama dan kehidupan. Mereka menyanggah kebaikan amalan beragama, padahal mereka tidak melakukan kajian tentang amalan beragama ini yang banyak memberikan manfaat pada generasi sebelum mereka.
 
Kembali kepada kajian yang dilakukan pada tahun 1945 dan diterbitkan dalam sebuah jurnal terkemuka, Journal of Nutrition. Di akhir ujikaji itu menunjukkan bahawa tikus yang diberikan makanan pada waktu-waktu tertentu (pada jarak masa yang agak panjang atau menggunakan kaedah intermittent fasting) hidup lebih lama berbanding dengan tikus yang diberikan makan dalam jangka masa yang pendek (dalam ayat yang lebih mudah ialah tikus yang sentiasa diberikan makanan).
 
rujuk: A. J. Carlson and F. Hoelzel, Department of Physiology, University of Chicago, “Apparent prolongation of the life span of rats by intermittent fasting,” Journal of Nutrition (1945).
 
Semenjak itu, banyak kajian (yang menggunakan tikus dalam makmal) menunjukkan bahawa puasa bukan saja dapat memanjangkan umur, tetapi juga dapat mengelakkan dari penyakit kronik yang selalu berkaitan dengan peningaktan umur. Postmortems terhadap tikus-tikus ini menunjukkan mereka tidak mempunyai tanda-tanda penyakit kanser, jantung atau saraf (neurodegeneration).
 
Terdapat sejenis tikus bertubuh kecil, yang dikenali sebagai tikus Laron. Ia hidup lama dan kekal sihat sepanjang kehidupannya. Tikus-tikus ini selalunya mati kerana faktor usia. Apabila autopsy dilakukan, sukar bagi menentukan punca kematian tikus-tikus ini. Selalunya tikus-tikus ini hanya dapat hidup dalam tempuh dua tahun, tetapi tikus-tikus ini apabila dikawal pemakanan (dengan tidak memberikan makan secara kerap) dapat hidup selama empat tahun, iaitu dua kali ganda dari panjang hayat sebenar. Jika dibandingkan pada manusia, ia seolah-olah mencapai 170 tahun (dengan mengambil purata hayat seorang individu itu ialah 85 tahun).
 
Pengkaji mendapati tikus ini berbadan kecil kerana secara genetiknya mereka tidak bertindak balas kepada hormon yang dikenali sebagai “insulin-like growth factor 1, (IGF-1)”.
 
Hormon ini bertanggungjawab terhadap perkembangan dalam setiap sel dalam tubuh kita. Dalam ayat yang mudah, hormon ini akan menyebabkan sel-sel kita akan sentiasa aktif.  Kita memerlukan tahap hormon IGF-1 dan hormon lain yang mencukupi untuk kita berkembang secara fizikal dan mental, ketika kita muda.
 
Apabila kita tua, tahap hormon ini akan berkurangan. Namun jika pada usia dewasa, tubuh kita masih mengeluarkan hormon ini dengan banyak, ia akan mempercepatkan proses penuaan dan kita mendapat penyakit yang berkaitan dengan penuaan seperti penyakit diabetes, tekanan darah tinggi, kanser dan lainnya. Ia ibarat kita memandu sebuah kereta dan kita sentiasa memecut. Semakin selalu kita memecut, semakin cepat kereta kita mengalami kerosakan.
 
Yang menariknya, apabila kita berpuasa, ia akan menyebabkan tubuh kita kurang mengeluarkan hormon IGF-1.
 
 
Di sebuah kampung di Ecuador terdapat penduduk di sini yang mengalami masalah genetik yang dikenali sebagai “Laron Syndrome“. Ia sangat jarang berlaku dan hanya melibatkan seramai kira-kira 350 orang saja di seluruh dunia.
 
Penduduk yang mengalami “Laron Syndrome” ini bertubuh kecil, kebanyakannya mempunyai ketinggian kurang dari empat kaki. Namun mereka tidak pernah mengalami penyakit kronik seperti diabetes dan kanser sepanjang hidup mereka.
 
Mereka mengalami mutasi pada sel-sel mereka, sehingga tidak dapat bertindakbalas kepada hormon Growth Hormone (GH). Oleh itu mereka mengeluarkan hormon IGF-1 yang sedikit. Secara genetik, tikus-tikus Laron ini mempunyai kecacatan yang serupa.
 
Secara kesimpulannya, semasa kecil kita memerlukan hormon IGF-1 untuk membesar. Tetapi  apabila dewasa, tubuh kita hanya mengeluarkan hormon IGF-1 yang sedikit. Jika kita terus mengeluarkan hormon ini pada tahap yang tinggi, ia akan menyebabkan kita mengalami penyakit yang berkaitan dengan penuaan seperti diabetes, dan kanser. Tahap hormon yang rendah ini hanya dapat diperolehi apabila kita kerap berpuasa.
 
Untuk panjang umur dan sihat, banyakkan berpuasa.
 
 
 
Semoga bermanfaat.
 

Leave a Reply

error: Content is protected !!