Wanita tanpa rahem

“Assalammualaikum doktor, saya ada kemusykilan. Adakah seorang wanita yg menghidap sindrom MRKH (Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser syndrome) yang tidak mempunyai organ reproduktif dari bahagian serviks ke atas (maksudnya hanya blind vaginal), berkemungkinan untuk hamil?

Di malaysia ada tidak pembedahan pemindahan rahim? Sekiranya ada berapa anggaran kos? Syukran doktor. Jazakallahu khairan kasira.”

 

WA ALAIKUM MUS SALAM

Individu yang mempunyai masalah Sindrom Mayer – Rokitansky – Küster – Hauser ( MRKH  Syndrome) adalah individu yang istimewa, yang ALLAH pilih.

Saya percaya jika dia redha dan bersabar dengan keadaannya, pasti ALLAH memberikannya syurga.

MRKH Syndrome ini adalah masalah genetik yang menyebabkan seorang wanita sama ada tidak mempunyai faraj dan rahem atau tidak mempunyai rahem sahaja. Ini kerana pembentukan organ reproduktif ini tidak berlaku akibat masalah gangguan genetik ketika masih berada dalam rahem.

Wanita yang terlibat biasanya tidak pernah mengalami pendarahan haid kerana tiada organ rahem. Begitu juga beliau tidak dapat hamil kerana ketiadaan rahem.

Biasanya seorang itu yang tidak mengalami haid pada umur 16 dan pemeriksaan dilakukan beliau mempunyai kromosom perempuan ( 46, XX) dan mempunyai sifat wanita kerana kelenjar ovarinya berfungsi dengan baik.

Oleh kerana ovary masih mengeluarkan hormone wanita, individu ini juga mempunyai payudara seperti wanita biasa yang lain. Cuma kemaluan mereka mungkin berbeza sama ada tiada faraj dan rahem atau tiada rahem sahaja.

Apa yang lebih merisaukan, individu ini mungkin mempunyai keganjilan pada bahagian-bahagian yang lain pada badannya.

Antaranya, buah pinggangnya mungkin mempunyai bentuk yang abnormal atau posisinya yang agak berlianan.

Selain itu mungkin mengalami masalah tulang belakang yang tidak normal,masalah kehilangan pendengaran atau masalah kecacatan jantung.

Di Malaysia belum ada lagi proses pemindahan rahem, malah dunia perubatan moden secara globalnya juga belum sepakat tentang pemindahan ini.

Saya hanya mengharapkan puan bersabar dan redha dengan ketentuan ALLAH dan mengharapkan syurga yang lebih baik dari segala yang ada di dunia ini.

WALLAHU A’LAM.

Leave a Reply

error: Content is protected !!