Salam doktor, saya seorang ibu muda berusia 19 tahun. Saya mempunyai persoalan yang memerlukan kepastian.
Saya kini sedang hamil dan semenjak hamil, tekanan darah saya semakin turun. Tekanan darah normal saya adalah 110/70 dan 110/60, tetapi telah mencecah kepada 90/53 dan kini 90/40. Adakah keadaan ini membahaya atau petanda yang tidak baik?
Malahan, berat saya juga menurun sebanyak 3.7 kg. dalam masa tujuh minggu. Saya pernah pitam dan menjadi seram sejuk dengan tiba-tiba. Saya juga selalu hampir pitam apabila ingin berdiri ketika sedang duduk atau baring.
Keadaan ini kerap berlaku. Mohon keterangan lanjut daripada yang pakar. Segala maklum balas, saya dahului dengan ucapan setinggi terima kasih. Selamat berpuasa.
WA ALAIKUM MUS SALAM
Tekanan darah adalah suatu pengukuran tekanan yang terdapat dalam saluran arteri ketika jantung sedang aktif mengepam darah dan dalam keadaan rehat seketika.
Tekanan darah mempunyai dua bacaan. Bacaan systolic adalah “bacaan atas” yang mengukur tekanan dalam saluran arteri ketika jantung sedang aktif mengepam darah ke seluruh badan.
Sementara “bacaan bawah” adalah bacaan diastolic yang mengukur tekanan dalam saluran darah arteri ketika jantung sedang dalam keadaan rehat sebentar.
Sebagai garis panduan am, bacaan purata bagi tekanan darah yang normal adalah 120/80 mm Hg. Bacaan yang kurang dari bacaan ini dianggap bacaan yang rendah.
Bacaan tekanan darah ini boleh diukur dengan tepat dengan alat ‘sphygmomanometer’, tetapi bacaan ini selalunya mengalami turun dan naik.
Wanita hamil sememangnya kerap mengalami tekanan darah yang rendah kerana ia adalah tindakbalas biasa disebabkan oleh saluran darah yang mengembang akibat kesan dari hormone.
Selalunya ia berlaku pada wanita yang berusia muda ketika hamil, mempunyai tubuh yang rendah, berat badan yang ringan dan bentuk tubuh yang kurus.
Tekanan darah boleh menurun seawal trimester pertama dan berlangsung sehingga trimester kedua.
Tekanan darah menurun dengan ketara pada pertengahan trimester kedua, dan akan perlahan-lahan akan meningkat apabila mencapai usia kehamilan 24 minggu ke atas. Ini kerana tubuh mempunyai darah yang lebih banyak untuk dipam ke jantung. Tekanan darah akan stabil semula selepas melahirkan anak.
Rujuk: Capeless EL, Clapp JR: Cardiovascular changes in the early stages of pregnancy. Am J Obstet Gynecol 161:1439, 1989.
Oleh dalam jangkamasa ini, seorang wanita yang hamil mungkin mudah mengalami keletihan dan rasa pitam, terutama apabila berdiri terlalu lama atau mengubah posisi dari duduk kepada berdiri dengan cepat. Ini adalah keadaan yang normal.
Rujuk: C Usalan, E Özarslan. Hypotension and intractable vomiting in the first trimester of pregnancy. Postgrad Med J 1999;75:623-625
Wanita hamil yang normal juga mengalami bacaan tekanan darah mereka berubah-ubah. Bacaan systolic boleh turun sebanyak 5-10 mmHg. Sementara bacaan diastolik pula boleh turun sehingga 15 mmHg.
Walaupun berlakunya perubahan tekanan darah yang banyak seperti ini, namun apa yang penting, bukan bacaan tekanan darah tetapi gejala mereka yang dialami.
Kebanyakan doctor mendefinasikan “tekanan darah yang rendah” sebagai tekanan darah yang mempunyai bacaan rendah sama ada bacaan systolic lebih rendah dari 90 mm Hg atau bacaan diatolik lebih rendah dari 60 mm Hg.
Sebagai contoh jika seorang wanita hamil mempunyai bacaan systolic 120 tetapi bacaan diastolic 50, ia sudah dikira sebagai bacaan yang rendah.
Penurunan tekanan darah yang mendadak sangat bahaya. Perubahan tekanan darah hanya 20 mm Hg dari bacaan 110 mm Hg (systolic) kepada 90 mm Hg (systolic) boleh menyebabkan rasa pening dan pitam kerana otak tidak menerima bekalan darah yang cukup.
Oleh kerana tekanan darah sering berubah-ubah dan masih dalam keadaan normal, apa yang penting bukanlah bacaan tekanan darah tetapi gelaja yang dialami.
Sebagai contoh bacaan tekanan darah 90/60 dan mempunyai gejala pitam lebih bahaya daripada wanita yang mempunyai bacaan tekanan darah 86/58 tetapi tidak mengalami apa-apa gejala.
Antara gejala yang membimbangkan ialah rasa pening dan pitam yang keterlaluan sepanjang hari sehingga tidak mampu melakukan tugas seharian dan sering mengalami pengsan. Apabila kerap mengalami rasa loya, pening dan muntah, seorang wanita itu mungkin akan mengalami berat badan yang berkurangan.
Jika setakat mengalami pening dan pitam apabila berdiri lama atau bertukar dari posisi tubuh, dari posisi duduk kepada berdiri atau dalam posisi baring kepada posisi duduk atau berdiri, ia adalah fenomena biasa.
(rujuk: Ng PH, Walters WA. The effects of chronic maternal hypotension during pregnancy. Aust N Z J Obstet Gynaecol 1992;32:14–16.)
Jika doctor telah melakukan pemeriksaan dan mendapati puan tidak mempunyai masalah yang serius, penurunan tekanan darah yang berlaku pada puan tidak menyebabkan mudarat yang teruk.
Ia tidak menyebabkan kerosakan organ seperti strok, kegagalan buah pinggang, dan serangan sakit jantung.
Namun jika keadaan puan bertambah teruk, saya mencadangkan puan melakukan pemeriksaan yang lebih terperinci. Ini kerana tekanan darah yang rendah bukan saja berbahaya kepada ibu yang hamil tetapi juga anak dalam rahim.
Banyak kajian mendapati bahawa wanita yang mempunyai tekanan yang sangat rendah lebih mudah melahirkan anak secara pramatang (kurang dari 34 minggu) dan mempunyai bayi yang dilahirkan kurang berat badannya.
(Ng PH, Walters WA. The effects of chronic maternal hypotension during pregnancy. Aust N Z J Obstet Gynaecol 1992;32:14–16.)
Namun jika puan telah melakukan pemeriksaan dan doctor telah mengesahkan kehamilan puan normal, maka janganlah terlalu risau.
Bagi mengelak rasa pening, pitam dan mahu pengsan, saya mencadangkan:
1. Puan duduk atau berbaring jika berasa lemah, dan pitam untuk mengelakkan jatuh dan cedera.
2. Puan harus mengelakkan mengubah posisi terlalu cepat dari posisi duduk kepada berdiri atau dari berbaring kepada duduk.
3. Puan boleh berbaring mngiring ke kanan semasa tidur bagi meningkatkan aliran darah ke jantung.
Selain itu puan harus memastikan minum air secukupnya, makanan makanan yang seimbang dan berkhasiat dan pastikan cukup tidur dan rehat.
Namun begitu jika puan mengalami masalah seperti sakit kepala yang teruk, penglihatan menjadi kabur, sakit dada, sesak nafas, dan rasa terlalu lemah, saya menasihat puan supaya segera ke hospital untuk pemeriksaan.
Wallahu a’lam.
KONSULTASI BERSAMA DR ZUBAIDI
Jika berminat mendapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi, boleh klik di link :
https://needsvenue.onpay.my/order/form/20mindrz