HUKUM MENGGUNAKAN ETHYL ALKOHOL @ETHANOL SEBAGAI BAHAN ANTISEPTIK
Semasa saya bekerja sebagai houseman di sebuah hospital awam di selatan tanahair air, tugas yang agak mencabar ialah melakukan rutin mengambil darah setiap pesakit sebelum kami melakukan ward-round setiap pagi.
Tujuan pengambilan darah di waktu pagi ialah agar keputusan darah akan dapat diketahui dan dibincangkan ketika melakukan ward-round di waktu petang.
Pada satu pagi seorang pakcik telah dimasukkan ke wad kerana disyaki mengalami demam denggi. Saya memberi salam dan memberitahu beliau hasrat saya untuk mengambil darah.
Beliau enggan. Ini kerana cecair sapuan yang saya lakukan sebelum saya menyuntik dan mengambil darah mengandungi alcohol, yang mana haram digunakan.
Saya terdiam. Pakcik itu benar-benar marah dan menghalau saya. Saya mengalah dan berundur diri.
Saya berkata dalam hati, “kesian pakcik ini salah faham apabila memahami ‘khamar’ (arak) sebagai alcohol.”
Petang itu saya teruk dimarahi oleh konsultan kerana tidak mengambil darah pakcik itu.
Baru-baru ini saya ditanya lagi dalam email.
“Salam doctor. Saya seorang pelajar perubatan dan ingin bertanya. Apakah hukum menggunakan pencuci tangan beralkohol (hand sanitizer) yang banyak disediakan di hospital. Doktor juga menggunakan alcohol sebagai sapuan pada kulit sebelum melakukan suntikan atau mengambil darah. Apakah ia boleh dibenarkan? Mohon pencerahan”
Sebenarnya hand sanitizer atau pembersih tangan tanpa menggunakan bahan antiseptik adalah cara terbaru untuk membasuh tangan tanpa menggunakan sabun dan air.
Hand sainitizer ini selalu digunakan apabila tangan tidak kelihatan kotor, tetapi dipercayai banyak kuman (terutamanya ketika melawat pesakit di hospital). Jika tangan kotor, ia harus dicuci dengan air dan sabun dahulu sebelum menggunakan hand sanitizer.
Hand sanitizer seperti ini boleh didapati banyak di pasaran, sama ada dalam bentuk gel, buih, dan cecair.
Kandungan dalam hand sanitizer itu tidak semestinya alcohol. Saya mencadangkan pengguna agar memerhatikan label pada botol kerana bahan antiseptik yang digunakan mungkin berlainan antara satu produk dengan produk yang lain.
Selalunya bahan antiseptik yang digunakan sama ada isopropanol, ethanol, n-propanol, atau povidone-iodine. Malah ada yang berasal dari ekstrak tumbuh-tumbuhan.
(Rotter M. (1999). “Hand washing and hand disinfection“. Hospital epidemiology and infection control)
Saya akan menulis berkenaan ethanol sebagai bahan antiseptik.
Ethanol juga dikenali sebagai ethyl alcohol atau ‘alkohol asli’, adalah cecair sangat mudah meruap, mudah terbakar dan berwarna jernih. Di hospital dan klinik, ia dipanggil “alcohol” saja atau “spirits”.
Arak yang mengandungi ethanol telah digunakan dari zaman dahulu sebagai minuman yang memabukkan. Oleh itu ethanol adalah sebahagian alkohol yang biasa terdapat dalam minuman arak. Ia memabukkan, menjadikan sesorang itu ketagihan dan bertindak secara luar batasan. Ia boleh menjadi memudaratkan kepada kesihatan jika diambil secara berlebihan.
Zaman dulu ia digunakan sebagai ‘ubat bius’ dengan memberi minum pesakit sebelum prosedur pembedahan dilakukan.
Di sinilah berlaku salah faham apabila ilmuwan kita menyamakan arak (khamar) dengan alcohol.
Ethanol dihasilkan dengan dua teknik. Teknik pertama ialah penghidrasian ethylene yang biasa dilakukan dalam industri petrochemical. Teknik kedua melalui proses biologi dengan penapaian gula tebu bersama yis.
Ethanol boleh diperolehi dari dua tujuan. Sama ada dari pembuatan arak dari dua teknik tadi atau ethanol boleh diperolehi secara langsung tanpa menghasilkan arak terlebih dahulu.
Ethanol yang dihasilkan dalam untuk kegunaan perubatan dihasilkan terus tanpa menghasilkan arak terlebih dahulu melalui proses hidralisasi.
Ethanol digunakan sebagai ’hand sanitizer’ dan sebagai ‘sapuan’ sebelum suntikan ke kulit dilakukan. Ini kerana ia merupakan pembunuh kuman (antiseptik) yang terbaik dengan merosakkan dinding sel pada organisma itu. Secara terperincinya, ethanol mampu merosakkan stuktur protein dan membubarkan lemak lipid yang menjadi asas kepada pembentukkan dinding sel organisma.
Jadi ia sangat berkesan membunuh kebanyakan kuman seperti bakteria, kulat, dan virus.
McDonnell G, Russell AD (1999). “Antiseptics and disinfectants: activity, action, and resistance“. Clin. Microbiol. Rev. 12 (1): 147–79.
Biasanya ia menggunakan kepekatan 62% v / v bermakna dalam botol itu terdapat sebanyak 62% ethanol sebagai bahan aktif.
Hand sanitizer yang mengandungi 70% ethyl alcohol mampu membunuh 99.9% bakteria dalam masa 30 saat selepas disapukan pada tangan.
(Rotter M. (1999); “Hand washing and hand disinfection”. Hospital epidemiology and infection control)
Jadi kesimpulannya ethyl alcohol atau ethanol yang digunakan dalam hand sanitizer adalah jalan terbaik mencegah penyebaran kuman. Sementara penggunaannya sebagai sapuan sebelum melakukan suntikan adalah langkah pencegahan menghalang kemasukan kuman melalui tempat suntikan tersebut.
Banyak pandangan dari pelbagai mazhab mengenai hokum penggunaan alcohol ini. Fatwa ini bergantung bagaimana pemahaman mereka terhadap nas al Quran dan Hadis mengenai Alkohol dan Arak.
Salah faham di kalangan masyarakat berlaku apabila menterjemah perkataan ‘khamr’ (Arab) kepada alkohol (English).
Ini kerana perkataan alkohol adalah perkataan yang merujuk kepada struktur kimia dan mempunai maksud lebih luas. Ethanol hanyalah sebahagian daripada alcohol. Ethanol tidak semestinya ‘khamr’, walaupun bahan yang memabukkan dalam ‘khamr’ ialah etanol.
Ramai ulamak berpendapat bahawa status halal sesuatu produk bergantung kepada niat sebenar sesuatu produk itu dihasilkan. Adakah satu produk itu dibuat untuk menghasilkan ‘khamar’, dan alcohol yang ada pada khamar itu digunakan untuk menghasilkan produk lain. Atau satu produk itu dihasilkan secara langsung tanpa melibatkan penghasilan ‘khamar’.
Dalam Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 memutuskan:
“…bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis. Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis”.
Majlis fatwa Kebangsaan menerangkan bahawa jika ethanol atau ethyl alkohol dihasilkan daripada proses pembuatan arak iaitu melalui proses penapaian, maka ia termasuk dalam alkohol yang memabukkan dan hukumnya najis dan tidak boleh digunakan untuk proses sanitasi.
Tetapi jika sekiranya penghasilan ethanol atau ethyl alkohol tersebut bukannya melalui proses pembuatan arak, maka ia tidak dihukum sebagai najis dan boleh digunakan untuk sanitasi.
Wallahu a’lam.