Seorang lelaki berumur 30an, berbadan besar mengejutkan saya di Pusat Kesihatan seawal 3.30 am. Dia berjalan terhencut-hencut. Seolah-olah ada luka di kaki kanannya.
”Cepat doktor, saya sudah tak tahan ni. Saya ada gout. Tak tahan ni. Bagi saya injection !”
Setelah mengambil history-taking dan menjalankan pemeriksaan, saya mendapati dia mengalami bengkakan di sendi.
”Doktor nak beri injeksion ubat gout atau ubat penahan sakit?” beliau bertanya dan siap meniarap.
“Saya berikan suntikan voltaren. Insya Allah akan berikan kelegaan dengan cepat. Boleh rehat dengan aman. Esok kita buatlah pemeriksaan darah untuk masalah gout tu”
Saya memberikan suntikan voltaren. Voltaren mengandungi bahan non-steroidal yang bertindak menghalang bahan prostaglandin dalam darah dari memberikan kesakitan. Maka ia sesuai bagi rawatan yang melibatkan anggota sendi kerana ia mempunyai kebolehan untuk merawat radang dan memberikan kelegaan yang cepat, dengan izin Allah.
”Agaknya kalau tak injek tak boleh ke?” tanya isteri yang menemaninya. Dia kelihatan cemas melihat jarum yang saya pegang.
Suntikan bukanlah jalan terbaik untuk merawat sesuatu penyakit. Suntikan voltaren melalui intramuscular boleh menyebabkan lebam dan bengkak di bahagian yang disuntik. Lebih teruk, jika tidak dilakukan dengan teknik aseptik boleh menyebabkan jangkitan kuman dan abscess.
Namun jika dilakukan dengan betul dan teliti, ianya mendatangkan kebaikan lebih dari kesakitan dan masalah. Malah ada pesakit yang mulanya langsung tidak boleh meletakkan kaki ke lantai, mengucapkan terima kasih kepada saya. Selepas 15 minit dia sudah mula merasakan kelegaan semula dengan izin Allah.
Ada beberapa sebab suntikan diberikan. Antaranya ialah suntikan akan mempercepatkan kesan ubat kerana lebih cepat sampai pada bahagian yang terjejas. Oleh itu ramai pesakit menganggap apabila diberikan suntikan merasakan ubat yang diberi lebih ’kuat’.
Kesan ubat melalui suntikan juga bertambah baik kerana keseluruhan dos yang diberikan masuk ke dalam sistem peredaran darah dan tidak melalui halangan lain di dalam perut yang mengandungi jus gastrik.
Apabila ubat ditelan sebagai pil, asid di perut mengurangkan kesan pada dos yang diberikan. Sebahagiannya pula akan merentasi organ hati dan menjalani proses detoxification.
Suntikan juga sesuai diberikan kepada pesakit yang merasa loya dan muntah. Cuba bayangkan pesakit yang mengalami muntah yang teruk, tentu sukar untuk ubat ditelan dan memberikan kesan.
Tidak semua kesakitan akan merasakan kelegaan apabila disuntik dengan voltaren. Kesakitan yang sesuai diberikan suntikan voltaren ialah radang dan kerosakan sendi disebabkan oleh rheumatism antaranya rheumatoid arthritis, ankylosing spondylitis, osteoarthrosis, dan spondylarthritis.
Ia juga boleh diberikan untuk mengurangkan kesakitan disebabkan batu karang di buah pinggang, batu di hempedu, selepas pembedahan atau selepas kecederaan sendi seperti terseliuh. Pesakit yang mengalami sakit kepala yang keterlaluan disebabkan oleh migraine juga mendapat kelegaan dengan suntikan voltaren.
“Minggu lepas saya baru disuntik. Hari ini boleh disuntik lagi ke?”
Biasa juga pertanyaan seumpama ini ditanyakan kepada saya. Mungkin ramai pesakit bimbangkan kesan overdose.
Untuk dewasa selalunya dose yang diberikan ialah satu ampoule sehari yang mengandungi Voltaren 75mg. Suntikan seharusnya diberikan pada punggung (deep intragluteal injection) kerana di punggung terdapat banyak otot yang besar. Ini akan mengurangkan kesan lebam dan bengkak.
Dalam kes yang sakit yang keterlaluan, dua suntikan Votaren boleh diberikan selepas 4-6 jam pada hari yang sama dan diberikan pada sebelah punggung yang berlainan.
Cara yang lain ialah dengan memberikan suntikan di punggung dan membekalkannya dengan pil tablet voltaren. Dos yang diberikan haruslah tidak melebihi 150mg dalam sehari.
Suntikan voltaren juga tidak boleh diberikan lebih dari dua hari. Jika kesakitan berterusan, boleh berikan tablet voltaren sebagai ganti suntikan untuk hari ketiga dan seterusnya.
”Doktor, anak saya ni teruk sangat sakit tangannya. Bagilah injection.” rayu seorang ibu yang membawa anak yang berumur 10 tahun yang jatuh dan terkehel kaki kirinya.
Suntikan voltaren tidak diberikan kepada kanak-kanak. Ia juga tidak diberikan kepada orang tua yang kelihatan terlalu lemah atau orang yang kekurangan berat badan dari berat sepatutnya.
Suntikan volatren dianggap selamat kecuali pada pesakit yang diketahui mempunyai alergi pada ubat ini. Maka doktor akan bertanya sama ada pesakit pernah mengalami tanda-tanda alahan apabila menerima suntikan atau pil tablet ubat penahan sakit.
Tanda-tanda alahan ialah ruam pada kulit , sukar bernafas, bengkak pada muka, bibir dan tekak. Jika keadaaan ini berlaku, segaralah dapatkan bantuan kecemasan.
“Kalau isteri saya hamil, bolehkah dia disuntik doc?” tanya seorang suami yang menemani isterinya yang hamil 7 bulan.
Badan yang mengawal keselamatan ubat di Amerika, FDA US mengkategorikan voltaren sebagai Pregnancy Category C. Ini bermakna ubat itu tidak merbahaya pada bayi.
Namun begitu haruslah beritahu doktor kerana menerima suntikan voltaren ketika umur kehamilan kurang dari tiga bulan mungkin memberikan kesan yang tidak baik bagi bayi. Beritahu doktor jika belum kedatangan haids dan mengesyaki kemungkinan hamil.
Jadi jangan minta suntikan kecuali jika doktor memikirkan ianya sangat perlu. Ubat Voltaren juga boleh merentasi halangan susu ibu dan mugkin akan memberikan kesan pada bayi yang sedang disusukan. Maka jika anda menyusukan anak, haruslah beritahu doktor yang bertugas.
Bagi mereka yang mengalami masalah kepekatan darah, ubat Voltaren yang diberikan secara suntikan atau pil tablet tidak menambahkan kesan pada kecairan darah.
Selepas suntikan, pesakit yang mengalami pening atau kabur penglihatan harus dikecualikan dari memandu atau mengendalikan mesin-mesin yang berat. Dibimbangi akan mengalami kemalangan di tempat kerja atau di jalanraya.
Wa allahu a’lam
Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (271210)
Salam, dr, kalau seseorang yang mendapat suntikan i/m voltaren, bolehkah seseorang itu mendapat sawan (fit) disebabkan oleh ubat tersebut…
mohon penjelasan..
Assalamualaikum….
saya dah mengamalkan voltaren hampir 10 tahun, sub voltaren dalam 1 tahun ni serta immovane dan cafergot hampir 20 tahun. saya mengalami migrain dan saya seorang drug allergy. Tanda2 yang saya alami bila mendapat alahan adalah bengkak di muka, bibir mata saluran dan kesukaran bernafas. Jika saya tidak dapat suntikan untuk merawati alahan ini agaknya saya dah tak de kat muka bumi ni. Kadang2 saya juga alami alahan untuk sesetengah painkiller. Susahnya kalau pergi klinik.
Adakan cara untuk saya mengatasi masalah ini dr. Saya tahu pengambilan ubat2 ini memberikan kesan sampingan untuk jangka masa yang panjang.
Terima kasih…