Selesema Yang Membawa Maut

 

Tarikh 16 Februari adalah tarikh saya dilahirkan. Namun saya bukan mengingati tarikh ini sebagai tarikh kelahiran saya semata-mata. Tarikh itu merupakah tarikh kesedihan saya mengingati pemergian Maliki, rakan sekolah yang pernah menjadi teman karib saya dahulu.

Kami sama-sama berkumpul, bergurau dan bermain bola di padang sekolah. Ketika berumur 15 tahun, tentulah banyak yang dibualkan termasuklah perancangan masa depan.

Zubaidi, agaknya bila kau dah berkahwin nanti, berapa orang anak yang kau mahu?”

Dua orang cukup kot… Aku kan nak jadi doktor, mesti sibuk. Mana ada masa nak jaga anak ramai”, saya masih mengingati dialog itu.

Ooo..apasal sikit sangat. Aku nak tiga orang, lebih sikit dari kau

”Hahahaha”… kami bergelak ketawa kerana masing-masing mahu menyaingi antara satu sama lain. Saya mengalahkan beliau dari segi pelajaran, tetapi dalam bidang sukan, beliau selalu mengalahkan saya. Sekarang dia mahu menang dalam bilangan anak pula.

Setelah lima belas tahun, saya bertemu semula Maliki. Mulanya saya tidak mengenalinya. Beliau hanya tersengih memandang muka saya. Beliau datang bersama isteri dan tiga orang anaknya.

Zubaidi, berjaya juga kau jadi doktor ya.. Hebat!

Apa pula aku yang hebat. Kau yang lebih hebat. Aku baru memulakan kerjaya, kau dah tiga orang anak”, saya mengalah. Dia tersengih. Jiwanya masih bersemangat .

Saya kasihan melihat keadaan Maliki. Beliau duduk di kerusi roda. Tubuhnya hanya tulang dan kulit bersama kelenjar besar di leher sebelah kirinya.

Melalui fail perubatan, saya terperanjat membaca nota bahawa beliau mengalami Nasopharangeal Cancer (NPC) stage IV. Maknanya kanser yang dialaminya sudah merebak jauh. Dari pemeriksaan CT scan, NPC telah merebak ke kelenjar leher dan paru-paru.

Apabila NPC sudah memasuki stage IV, penyakit itu hampir mustahil untuk sembuh. Berdasarkan kajian yang dibuat, beliau tidak akan hidup lama.

Setelah beliau berjumpa doktor pakar oncology yang merawat beliau, saya bersembang dengan beliau di bilik rehat doktor. Kami sama-sama berkongsi pengalaman dan bertanyakan khabar tentang keluarga masing-masing.

Apa yang sebenarnya terjadi, Maliki?”, tanya saya apabila dia mula bercerita tentang musibah kesengsaraan penyakitnya. Air mata saya bergenang dan suara saya menjadi sayu.

Dengan suara yang sebak, Maliki menceritakan tentang penyakitnya yang bermula kira-kira dua tahun yang lalu. Mulanya Maliki mengalami masalah hidung tersumbat dan sesekali pendarahan hidung. Dia sudah beberapa kali pergi ke klinik dan diberikan rawatan. Malah berpuluh kali dia mencuba ubat di farmasi.

Suatu hari Maliki berjumpa dengan seorang doktor di sebuah klinik swasta. Doktor itu mencadangkan agar Maliki berjumpa dengan doktor pakar hidung, telinga dan tekak (ENT). Ini kerana terdapat ketumbuhan di dalam hidungnya dan lelangit dalam mulutnya.

Menurut pakar ENT yang merawatnya, ketumbuhan itu yang menyebabkan hidung Maliki tersumbat dan ia bukannya disebabkan selsema yang biasa.

Apabila pakar ENT mengesahkan Maliki mengalami NPC hasil dari pemeriksaan sampel biopsy dari ketumbuhan di hidungnya, sekali lagi Maliki di dirujukkan ke Jabatan Oncologi di HKL bagi rawatan radiotherapi.

Malangnya sebelum rawatan radiotherapi tamat, beliau sudah tidak tahan dengan kesan sampingan radiotherapi yang melemahkannya. Atas nasihat seorang kawan yang melawatnya, Maliki telah pergi berjumpa dengan seorang bomoh di Bangi. Rawatannya mudah hanya air jampi yang harus diminum. Tiada kesan sampingan dan tidak meletihkan.

Namun setelah tiga bulan, kelenjar di lehernya mula membesar semula. Oleh kerana malu untuk pergi semula ke hospital, beliau telah mendapatkan pelbagai rawatan alternatif. Ramai penjual MLM yang menjual makanan kesihatan atau supplement telah datang memberikan nasihat dan menjualkan produk mereka.

Atas nama ’ikhtiar’ beliau telah mencuba pelbagai produk yang menjanjikan kesembuhan. Harga produk-produk itu bukannya murah. Akibat termakan kata rakan-rakan, Maliki mencuba juga. Ibarat kata pepatah “orang yang kehausan sanggup meminum apa saja walaupun darah dan nanah”. Tiada seorang pun yang mencadangkan agar Maliki pergi ke hospital semula.

Maliki memberitahu saya bahawa beliau telah menghabiskan banyak wang simpanan, tidak kurang RM15,000 hanya untuk produk kesihatan dan menemui pelbagai dukun dan perubatan alternatif.

Akhirnya apabila Maliki mula sukar bernafas akibat kelenjar di lehernya menekan saluran pernafasannya, isteri Maliki terus membawa beliau ke Jabatan Kecemasan. Setelah dua minggu di wad, pernafasan beliau bertambah pulih dan dibenarkan pulang.

Hari itu dia ada appointment dengan pakar onkologi dari HKL yang pernah merawatnya. Pakar onkologi itu datang sebulan sekali ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk melihat pesakit-pesakit yang tinggal jauh di selatan.

Malang bagi Maliki. Doktor memberitahu beliau, tidak ada apa yang boleh dirawat lagi. Sel-sel kanser telah pergi jauh ke organ-organ lain. Cuma ikhtiar terakhir adalah untuk melakukan Pallaitive Radiotherapi bagi mengurangkan bengkakan kelenjar di leher beliau. Dengan itu Maliki dapat bernafas dengan mudah untuk sementara.

Pada pagi 16 februari, saya bergegas ke wad ENT untuk mempersiapkan Maliki yang akan berangkat menggunakan van hospital ke HKL. Banyak kad ucapan tahniah hari lahir yang belum sempat saya buka. Saya mahu berjumpa Maliki sebelum beliau berangkat ke HKL.

Namun di luar wad, saya melihat isteri Maliki menangis berpelukan bersama anak-anak beliau. Saya bingung kerana sepatutnya mereka telah bersiap untuk bertolak.

”Doktor, suami saya telah pergi selamanya malam tadi akibat sesak nafas semula. Dia tidak sempat menaiki van ke HKL”

Lemah longlai lutut saya. Air mata berjujuran sebak di dada. Saya tidak perdulikan lagi pesakit-pesakit lain yang melihat saya berair mata.

”inna lillahi wa inna ilahi rojiun..”

Banyak pengajaran dari pengalaman saya ini yang mahu saya kongsikan. Pertamanya banyak unsur-unsur bahaya di sekeliling kita yang boleh menyebabkan kita mendapat penyakit kanser. Sebagai contoh bahan-bahan toksin kimia di tempat kerja atau bahan-bahan pengawet dari pemakanan boleh menukarkan sel-sel normal kita kepada sel-sel kanser.

Kedua, jika kita mengalami masalah kesihatan yang berpanjangan, haruslah  segera melakukan pemeriksaan yang teliti. Contohnya pemeriksaan darah atau x-ray. Jangan terus makan ubat sahaja jika masalah kesihatan itu berulang. Mungkin doktor yang memeriksa kita tidak tahu yang kita mengalami masalah itu sekian lama. Maka adalah menjadi tugas pesakit untuk memberitahu doktor masalah sebenar. Mencuba ubat dari farmasi tanpa nasihat yang betul dari doktor dan ahli farmasi sangat tidak digalakkan.

Ketiga, janganlah kita mendengar kata rakan-rakan kita yang bukan pakar di bidang perubatan. Mereka hanya mendengar khabar angin atau mendapat tahu dari sumber yang tidak benar mengenai penyakit kita. Mengambil pendapat mereka ibarat “si buta memimpin si buta, dua-duanya akan masuk ke parit”.

Semoga cerita ini akan mengingatkan kita agar tidak menunjuk pandai menasihati rakan yang sedang menderita ditimpa musibah penyakit.

Moga Allah mencucuri rahmat arwah sahabat saya. Ameen..

Dr Zubaidi Hj Ahmad (211210)

https://drzubaidi.com/blog

8 comments

  1. semoga kite ambil iktibar kisah ni,

  2. Salam,
    terima kasih atas info tersebut dr.

  3. norlezanorhan

    dekat di hati dan berkesan..

  4. Khairul Afendi Bin Ab Aziz

    Salam dr. Kata2 dr itu betul. Dari pengalaman sy, berubat cara tradisional untuk canser NPC tidak mendatangkan kesan yg positif. Ubat untuk penyakit ini adalah radioterapi dan kimoterapi. Memang kepada pesakit2 canser ini tidak tahanan dgn kesan sampingan ubat yg diberi, tetapi kita kene kuat semangat dan kepada yg Islam tu banyak2 kan berdoa meminta kepada yg Esa supaya memberi semangat untuk menjalani rawatan canser ini.

  5. Noor Zaitul Eradzah Bt. Alias

    tq sgt berguna moga kita semua mndpt ikhtibar dr coretan di atas

  6. Terima ksih dr. atas info di atas..Saya juga bekas pesakit NPC stage IV..8 tahun yg lalu…ye betul ape2 supplement pun mmg x memberi kesan..hanya radioterapi + chemotherapy + semangat yang kuat boleh sembuh…sedih saya baca kisah ni..ALhamdulillah saya masih diberi peluang oleh Allah s.w.t untuk terus hidup…

  7. salam doc…
    saya tertarik untuk membaca penulisan doc tentang topik ni.
    saya ingin bertanya doc…
    suami saya selalu menghadapi alahan pada habuk..
    dan akan selesma selama berhari2 lama nya..
    serta dikuti dengan hidung tersumbat…
    wajarkah saya @ suami meminta dari doc yang merawat suami agar merujuk suami kepada pakar ENT..
    atau adakah ianya hanya alahan biasa (resdung)?..

  8. terima kasih atas info ini doktor…keluarga kami baru kehilangan anak saudara berumur 25 thn disebabkan masalah yg sama..cuma yang menyedihkan masyarakat kita masih mempercayai tahyul…

Leave a Reply to zettyCancel reply

error: Content is protected !!