BIJI APRIKOT UNTUK PESAKIT KANSER LIMFOMA?

 
 
 
“Assalamualaikum doktr, maaf ganggu, saya nak tanya betul ke appricot seed dapat mengurangkan kanser limfoma? Kawan baik saya ada kanser limfoma tahap 2. Ada tak rawatan alternatif selain dari kimo? Dia sudah buat kimo 2x. Adakah suplemen yang boleh kurangkan sel kanser. Saya harap sangat doktor boleh reply. Terima kasih sgt2.”
 
 
WALAIKUMUSALAM
 
 
Kanser Limfoma adalah sejenis kanser berkaitan dengan sejenis sel darah, iaitu sel limfosit, yang terlibat dengan sistem imunisasi manusia. Jadi pesakit akan mengalami gangguan daya tahan dan kemudaratan akibat sifat kanser yang agresif dan merosakan dilakukan oleh sel-sel kanser ini.
 
 
Sebelum itu elok diterangkan fungsi sel limfoma dalam sistem pertahanan tubuh.
 
 
Sistem limfa dalam badan manusia adalah terdiri daripada sel-sel limfosit yang melalui jaringan saluran limfa ke seluruh badan, dan juga kelenjar . Bendalir limfa (lymphatic fluid) akan membawa virus dan bakteria yang telah berjaya masuk kedalam badan untuk ditapis di kelenjar limfa agar dapat dimusnahkan.
 
 
Oleh itu jika ada jangkitan kuman, kelejar limfa akan bengkak dan bila disentuh berasa sakit. Ini adalah sebahagian bertindakbalas sistem pertahanan tubuh terhadap jangkitan kuman.
 
 
Sel-sel limfosit pula terbahagi kepada dua, iaitu B dan T limfosit yang masing-masing berperanan mengeluarkan antibodi dan mengaktifkan tindakbalas badan menghadapi serangan kuman. Apabila sel-sel ini mengalami perubahan perubahan genetik ia membiak dengan cepat dan tidak terkawal. Selain itu sel-sel kanser ini merosakkan selsel lain di sekitarnya. Oleh itu apabila sel-sel ini merebak ke organ sekeliling yang lain seperti otak, usus, tulang, paru-paru dan sum sum tulang, menyebabkan fungsi organ–organ penting ini terganggu.
 
 
Limfoma terbahagi kepada dua kategori umum, iaitu Hodgkin dan Non Hodgkin. Walau bagaimana pun kedua-dua jenis menunjukkan tanda-tanda yang serupa. Pada awalnya ialah pembengkakan kelenjar limfa (tanpa rasa sakit). Jadi pembengkakan kelenjar limfa secara cepat, banyak dan tidak sakit, mungkin tanda-tanda awal penyakit kanser limfa.
 
 
 
Perbezaan antara Hodgkin dan Non-Hodgkin hanya dapat disahkan dengan pemeriksaan lanjut (pengambilan sampel kelenjar untuk diperiksa di bawah mikroskop). Langkah ini penting kerana terdapat perbezaan rawatan dan prognosis.
 
 
Rawatan yang diberikan bergantung kepada jenis dan tahap kanser yang dialami oleh pesakit.
 
 
1. Pembedahan
Untuk kanser Non Hodgkin’s tahap 1, iaitu organ selain dari kelenjar limfa seperti limfoma perut, tiroid dan limpa.
 
 
2. Radioterapi
Untuk kanser limfoma tahap 1 atau 2. Bagi kanser di tahap 3 atau 4, rawatan ini digabungkan bersama kemoterapi.
Ia juga diberikan sebelumdigabungkan dengan rawatan pemindahan sum sum tulang (bone marrow transplant).
Bagi kanser tahap 3 atau 4, ia diberikan sebagai rawatan paliatif (untuk melegakan dari rasa sakit).
 
 
3. Kemoterapi dan immunoterapi
Kemoterapi bertujuan membunuh sel-sel kanser yang pantas membiak tetapi juga menyebabkan kesan–kesan sampingan kemoterapi akan terjadi seperti loya, muntah, keguguran rambut, luka pada mulut , ceret-beret dan juga gangguan sel-sel darah seperti anemia (kurang darah merah), neutropenia (kurang darah putih) dan thrombocytopenia (kurang darah platelet). Kesan toksik pada organ-organ penting seperti paru-paru, jantung dan buah pinggang juga boleh berlaku, terutama pada pesakit yang menerima kemoterapi berulang kali.
 
 
Kesan jangka panjang kemoterapi pula ialah kemandulan dan risiko untuk mengalami secondary malignancy (kanser sekunder) boleh berlaku dalam masa 5 hingga lebih sepuluh tahun selepas rawatan kemoterapi.
 
 
Immunoterapi adalah cara rawatan dengan memberikan antibodi yang dihasilkan secara klon (monoclonal antibody), bertujuan untuk membantu sistem pertahanan badan untuk melawan antigen yang terdapat pada sel-sel kanser. Rawatan ini biasanya digabungkan dengan kemoterapi. 
 
 
Rawatan kemoterapi pada dos yang tinggi , bertujuan untuk mengosongkan sum sum tulang (myeloablative), diikuti dengan pemindahan sel tulang sum-sum. 
 
 
 
Berkaitan dengan dengan pertanyaan puan tentang ekstrak buah aprikot, setakat pengetahuan saya kini, tiada kajian yang menyokong pembuktian ia dapat membunuh sel-sel kanser Ini bermakna ia bukanlah rawatan utama bagi pesakit kanser limfoma.
 
 
 
Namun tiada halangan untuk diberikan sebagai suplemen. Namun saya mencadangkan puan berbincang dengan doktor yang merawat sebelum memberikan apa-apa suplemen kepada pesakit kanser.
 
 
 
Antara suplemen yang dicadangkan dalam banyak kajian journal adalah suplemen yang berbentuk antioksida seperti Vitamin C, A dan E, selain Alfa Lipoic Acid dan Omega 3.
 
(Sebagai sebahagian dari pembacaan, rujuk: Vitamin E and β-carotene affect natural killer cell function. International Journal of Food Sciences and Nutrition 51 Suppl(sup1):S13-20)
 
 
 
Apa yang penting kepada pesakit kanser adalah jangan berputus sa dari rahmat ALLAH, banyak solat sunat dan sedekah, banyak membaca dan berbincang dengan doktor yang merawat.
 
 
Semoga Allah berikan yang terbaik untuk rakan puan.  Semoga bermanfaat.
 
 
 
 

KONSULTASI BERSAMA DR ZUBAIDI

Jika berminat mendapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi, boleh klik di link ini

MODUL KELAS PEMAKANAN PESAKIT KANSER

Pelajari dan ketahui pemakanan yang baik dan tidak baik kepada pesakit kanser melalui Modul Kelas Kanser dan Pemakanan oleh Dr Zubaidi

 

Leave a Reply

error: Content is protected !!