PESAKIT BATU KARANG BOLEH MINUM AIR MINERAL

Salam Dr Zubaidi. Saya nak tanya, kalau pesakit ada sakit batu karang (di ginjal), dia boleh atau tidak ya minum air mineral? Terima kasih.

 

WALAIKUMUSALAM.

 

Secara amnya minum air mineral tidak menyebabkan batu karang. Pesakit yang mengalami masalah batu karang juga boleh minum air mineral.

 

Ini kerana tahap mineral yang ada dalam air mineral terlalu sedikit untuk menyebabkan pembentukan batu karang. Setelah diminum, mineral-mineral itu akan digunakan dalam tubuh dan selebihnya akan dikeluarkan semula melalui air kencing.

 

Jika terlalu banyak mineral terutama kalsium dalam air kencing (selalunya didapati dari sumber makanan, bukan dari air mineral) dan tidak dikeluarkan segera (kerana kita tidak minum air yang cukup), maka berlakulah mendakan dalam ginjal dan akhirnya membentuk batu karang.

 

Namun seperti mana yang kita ketahui tahap mineral dalam air mineral terlalu sedikit. Lebih banyak kita minum, makan lebih cepat mineral berlebihan dikeluarkan melalui air kencing. Jadi tiada peluang untuk membentuk batu karang.

 

Saya belum lagi jumpa pesakit yang mengalami masalah batu karang hanya disebabkan oleh minum terlalu banyak air mineral. Selalunya dari pemakanan.

 

Jadi apa sebenarnya yang menyebabkan pembentukan batu karang dalam ginjal dan pundi kencing?

 

Sebenarnya terdapat beberapa jenis batu karang dalam ginjal atau pundi kencing.

 

Pertama, batu kalsium (calcium stone). Kebanyakan batu di ginjal adalah jenis batu kalsium, dalam bentuk calcium oxalate. Oxalate adalah sebatian yang biasa terdapat dalam makanan yang kita makan seperti  bayam, bijirin (bran flakes), ubi-ubian termasuk potato chip dan french fries.

 

Pengambilan vitamin D yang berlebihan, pembedahan intestinal bypass dan masalah metabolic seperti diabetes juga boleh mnyebabkan tahap oxalate tinggi dalam air kencing. Apabila bergabung dengan mineral kalsium, ia mudah membentuk batu.

 

Terdapat juga batu kalsium dalam bentuk calcium phosphate. Terutama pesakit metabolic yang mengalami masalah komplikasi renal tubular acidosis. Beberapa ubatan untuk migraine dan sawan mungkin menyebabkan tahap phosphate tinggi dalam tubuh.

 

Kedua, batu struvite (struvite stone) yang disebabkan oleh jangkitan kuman dalam saluran kencing yang bermula dari ginjal hingga bukaan kencing pada kemaluan. Batu sebegini dibentuk dengan cepat dan saiznya agak besar, kadang kala tidak menyebabkan rasa sakit.

 

Ketiga, batu asid urik (uric acid stone) yang selalu mengalami masalah dehidrasi (sama ada tidak cukup minum air atau terlalu banyak kehilangan air). Juga sering berlaku pada individu yang mengamalkan diet tinggi protein dan pernah mengalami serangan gout. Faktor genetic juga boleh menyebabkan seseorang individu mengalami batu jenis ini.

 

Keempat, batu cystine (cystine stone) yang berlaku atas factor gentik di mana individu ini akan mengeluarkan lebih banyak asid amino cystine dalam air kencing dan akhirnya menyebabkan pembentukan batu jenis ini dalam ginjal.

 

Sekali lagi, minum air mineral tidak menyebabkan batu dalam giinjal. Pembentukan batu di ginjal disebabkan oleh:

  1. Faktor keturunan atau genetik. Jika seorang individu mempunyai ahli keluarga yang terdekat pernah mengalami masalah batu dalam ginjal, maka individu itu lebih mudah mengalami masalah yang serupa. Jika beliau pernah mengalami masalah batu dalam ginjal, kebarangkalian untuk mendapat masalah yang serupa di masa akan datang juga tinggi.
  1. Dehidrasi. Tidak cukup minum air meningkatkan kebarangkalian untuk mendapat masalah batu dalam ginjal. Pada musim panas, kita berpeluh dengan lebih banyak. Ini meningkatkan juga peluang mendapat masalah ini.
  1. Pemakanan tertentu. Pemakanan (diet) yang mempunyai kandungan protein, garam dan gula yang tinggi akan meningkatkan kebarangkalian mendapat masalah ini. Cara terbaik untuk mengelakkannya adalah dengan minum air yang secukupnya dan makan makanan yang seimbang.
  1. Obesiti. Mereka yang mengalami masalah berlebihan berat badan selalunya lebih mudah untuk mengalami masalah ini.
  1. Masalah penghadaman atau pembedahan usus seperti gastric bypass surgery, masalah penyakit keradangan usus (inflammatory bowel disease) dan masalah cirit-birit yang kronik (chronic diarrhea) yang boleh mengganggu proses penghadaman dan penyerapan air dan mineral kalsium, sehingga menyebabkan kebarangkalian yang tinggi membentuk batu dalam ginjal.
  1. Masalah penyakit yang lain seperti masalah ginjal (renal tubular acidosis), atau masalah lain cystinuria, masalah hyperparathyroidism, dan jangkitan kuman dalam saluran air kencing.

 

Walau bagaimana pun bagi mereka yang berisiko mengalami masalah batu karang, minum air yang sedikit beralkali dikatakan dapat membantu menghancurkan batu karang yang kecil yang mungkin kita tidak sedari sudah ada dalam ginjal atau pundi kencing.

 

Rujuk: Kidney Stone Disease: An Update on Current Concepts. Adv Urol. 2018; 2018: 3068365.

 

Jadi bagi menjawab soalan di atas, kenyataan minum air mineral menyebabkan batu karang” adalah andaian saja. Pesakit yang mempunyai batu karang tidak boleh minum air mineral juga tidak tepat.

 

Semoga bermanfaat.

 

Leave a Reply

error: Content is protected !!