Assalamualaikum Dr Zubaidi. Saya XYZ mengalami masalah pening kepala, rasa melayang dan berombak dalam semua keadaan dalam masa dua tahun. Saya sudah buat pemeriksaan darah dan MRI otak. Doktor memberitahu tiada masalah. Saya cuma ada masalah gout dan tekanan darah tinggi. Untuk mengawal tekanan darah, saya mengamalkan ubat homeopathy dan bacaannya terkawal. Sebelum ini saya makan ubat klinik selama 7 tahun tetapi bacaannnya tetap sama seperti sekarang. Selalunya bacaannya dalam borderline kadang kala tinggi sikit. Saya pernah berjumpa dengan doktor ENT, dan diberitahu yang saya mempunyai jangkitan kuman yang minima dan terkawal. Sekarang rasa pening dan berombak. Doktor kata ia disebabkan saya kurang tidur. Tidur saya memang sangat tidak berkualiti dan sering terjaga. Saya harap doktor bagi apa-apa amalan untuk melegakan masalah ini. Terima kasih.
Walaikumusalam.
Puan telah mengalami pelbagai simptom yang pelbagai dan kronik selama 7 tahun. Biar saya senaraikan dulu masalah puan.
1. Masalah tekanan darah yang sentiasa borderline dan kadang kala tinggi sikit. Saya tidak tahu berapa tinggi yang dikatakan ‘tinggi sikit’ itu.
2. Puan mengalami masalah gout. Saya tidak tahu masalah gout puan terkawal atau masih mempunyai tahap asid urik yang tinggi.
3. Bagaimana dengan masalah penyakit yang lain, diabetes dan tahap kolestrol yang tinggi?
4. Mengalami masalah pening yang kronik dan mengalami jangkitan (sinusitis?) yang minima (dan berulang?)
Masalah pening yang puan alami sekarang sudah agak lama, mungkin tidak dirawat dengan sempurna kerana tidak mendapatkan pemeriksaan yang lengkap.
Saya mencadangkan puan mendapatkan rawatan dari seorang doktor dulu, dan tidak berpindah-pindah rawatan kerana ini mungkin akan menyukarkan rawatan berkala yang mungkin dirancangkan untuk puan. Sebagai contoh puan telah membuat pemeriksaan MRI (tidak dinyatakan bahagian mana), sudah tentu selepas ini doktor merancang untuk menjalankan pemeriksaan lain yang berkaitan.
Rasa pening dan rasa tidak seimbang berpunca dari pelbagai punca. Saya mengesyaki puan ada masalah ENT (sinusitis) dan mungkin masalah tekanan darah yang tidak dikawal dengan baik. Ia bukan disebabkan oleh masalah pening biasa seperti pening akibat pergerakan kepala, atau dalam istilah perubatannya “benign positional vertigo (BPV)” kerana puan mengalami rasa pening setiap masa.
Ia mungkin disebabkan oleh penyakit yang lebih kompleks iaitu Meniere’s disease. Ini berlaku apabila terdapat pengumpulan cecair dalam bahagian tengah telinga (middle ear), menyebabkan rasa pening, berdengung dan kurang pendengaran. Yang lebih saya bimbang mungkin puan mengalami acoustic neuroma, iaitu ketumbuhan bukan kanser yang berasal dari saraf di dalam telinga tengah. Saya bimbang juga puan mengalami masalah acute on chronic sinusitis, iaitu masalah resdung yang kronik tetapi berulang-ulang.
Jadi banyak lagi pemeriksaan yang perlu dijalankan untuk memastikan punca sebenar masalah puan.
Selain itu saya mencadangkan puan berusahalah mengawal tekanan darah dengan lebih baik, buat pemeriksaan lengkap terhadap ahap gula, kolestrole dan asid urik.
Amalkan pemakanan yang sihat dan berbincanglah dengan doktor yang betul-betul berpengalaman. Ambil masa untuk bertanya kemusyikilan puan. Insya Allah dengan informasi yang diberikan, masalah pening yang alami akan dapat dikawal dengan lebih baik.
Semoga menjawab soalan puan.
#HealthDrZubaidi