MASALAH GANGGUAN SINUSITIS YANG SERIUS
Ramai antara kita menganggap sakit kepala sebagai masalah biasa yang remeh dan mengambil jalan penyelesaian mudah dengan menelan pil paracetamol untuk melegakan ketidakselesaan berkenaan.
Malah tidak kurang juga ada yang mengaitkan sakit kepala dengan masalah kekurangan tidur, terlalu penat atau kesan sampingan selepas berjemur di tengah panas.
Benar, sakit kepala adalah ketidakselesaan biasa yang paling kerap dialami tetapi jika terlalu kerap dan berlanjutan, ia mungkin menandakan anda mengalami ‘gangguan’ pada sistem tubuh yang lain termasuklah masalah resdung dan sinusitis yang serius.
Gejala seperti kepala terasa berat, rasa sakit di kawasan dahi dan muka selain kesakitan semakin dirasai ketika dalam keadaan tunduk merujuk kepada gangguan sinus yang serius. Apabila seseorang itu sering sakit kepala dan pada masa sama turut mengalami masalah kesihatan lain seperti kerap selesema, hidung tersumbat dan berair, ia menunjukkan bahawa punca sakit kepala bukanlah gangguan biasa sebaliknya menerangkan situasi gejala lebih serius termasuklah jangkitan sinusitis.
Tidak ramai yang mengetahui bahawa sinusitis boleh menjadi punca kepada masalah sakit kepala. Jadi, Pesakit perlu segera berjumpa doktor menjalani pemeriksaan rapi terutama di bahagian hidung, telinga dan tekak. Ini termasuklah menjalani ujian imbasan seperti sinar-X dan ujian saringan lain juga diperlukan bagi mengenal pasti punca masalah.
Masalah sinus yang tidak ditangani dengan baik boleh memberi komplikasi lebih buruk termasuklah jangkitan merebak ke bahagian otak yang boleh menjejaskan fungsi lain termasuklah penglihatan, pertuturan dan sawan jika ia sudah memasuki peringkat lebih serius.
Berikut beberapa keadaan atau tanda jangkitan sinus sudah merebak ke otak :
1. Pening teramat sangat
2. Kabur dan gangguan pandangan
3. Tegang pada belakang leher
4. Gangguan pada pertuturan
5. Muntah-muntah
6. Tahap kesedaran berkurang
7. Serangan sawan
8. Demam panas
Rawatan adalah berbeza mengikut tahap jangkitan sinus yang dialami dan biasanya ada keperluan pengambilan antibiotik bagi menangani jangkitan bakteria.
Selain penggunaan ubat antibiotik, pesakit juga perlu konsisten dalam menggunakan ubat yang diberi oleh doktor. Ia termasuk ubat semburan hidung, pil antihistamine dan sebagainya. Pesakit juga perlu mengikut segala nasihat doktor, kerana walaupun sudah menjalani pembedahan mengatasi masalah ini, gejala sama masih berlaku jika pesakit tidak menggunakan ubat diberi oleh doktor secara konsisten.
Walaupun gejala sakit kepala akibat sinus dan migrain agak sama, tetapi terdapat juga beberapa keadaan yang boleh dijadikan rujukan untuk membezakan masalah berkenaan.
Ciri persamaan bagi sakit kepala dialami pesakit resdung dan migrain ialah sakit bahagian dahi, belakang mata atau pelipis (bahagian muka di antara dahi dengan telinga). Ada juga pesakit mengalami sakit kepala ketika bergerak selain mata terasa gatal dan berair. Manakala, sakit kepala pada bahagian sebelah adalah merujuk kepada penyakit migrain.
Gejala yang biasa dialami pesakit sinus :
1. Rasa sakit ketika membongkok
2. Awal pagi kesakitan dirasa keterlaluan dan makin berkurang menjelang petang dan malam
3. Lebih sensitif dengan perubahan suhu dan cuaca
4. Demam
5. Selesema teruk sehingga mengganggu deria bau dan terdapat bau kurang menyenangkan daripada dalam hidung.
Pesakit migrain akan mengalami beberapa gejala seperti mual dan muntah, mata menjadi lebih sensitif terhadap cahaya sehingga berasa penglihatan terganggu dan juga sakit hanya di sebelah bahagian kepala, terutama berdenyut pada satu sisi kepala saja.
#HealthDrZubaidi