KERAP BUANG AIR BESAR SELEPAS MAKAN

Assalamualaikum, mengapa saya mengalami rasa ingin buang air besar sebaik saja lepas makan. Terutama selepas bersarapan. Ini menyebabkan saya tidak berani untuk bersarapan sebelum pergi kerja bimbang rasa sakit perut dalam perjalanan. Terima kasih.

Walaikumusalam.

Puan mungkin mengalami masalah Irritable Bowel Syndrome (IBS). Masalah ini akan lebih jelas bila puan mengalami stress.

Tanda-tanda IBS adalah :

1. Sakit Perut: Pesakit biasa rasa sakit perut memulas-mulas sebaik saja lepas makan dan akan rasa lega selepas buang air besar, walaupun najis yang keluar hanya sedikit.

2. Cirit-birit dan sembelit: Pesakit ada kalanya mengalami cirit-birit, dan ada kalanya mengalami sembelit.

3. Kembung perut: Kadang kala rasa perut kembung sehingga rasa seolah-olah buncit. Bila sudah membuang air besar, perut akan kempis semula.

4. Kerap buang angin (kentut): perut yang kembung kadang kala rasa lega dengan mengeluarkan kentut. Terlalu banyak kentut juga adalah tanda bagi masalah IBS.

5. Lendiran pada najis.

Punca sebenar bagi masalah IBS tidak diketahui dengan tepat. Tetapi pesakit selalunya mengalami masalah ini berkait rapat dengan :

1. Makanan tertentu
2. Tahap stress yang tinggi
3. Masalah kitaran haid terutama bila dekat untuk datang haid
4. Mengalami anxiety disorder

Apa yang kita bimbang adalah berkemungkinan tanda kanser usus besar, terutama bagi mereka yang sudah berumur 60 tahun ke atas dan mengalami pendarahan bersama najis yang keluar.

Doktor akan buat pemeriksaan colonoscopy bagi melihat saluran usus besar dengan lebih jelas.

Jika puan disahkan tiada masalah kanser, makanlah makanan yang bernutrisi dan mengandungi lebih banyak fiber.

Semoga bermanfaat.

#HealthDrZubaidi

Leave a Reply

error: Content is protected !!