Baru-baru ini saya ditemui oleh seorang wanita muda berusia awal 20an yang mendakwa dirogol oleh teman lelakinya yang bakal menjadi tunangnya.
Beliau tidak membuat laporan polis kerana mereka juga dijangka akan dinikahkan tidak lama lagi.
Malangnya ketika pemeriksaan antenatal di pusat kesihatan, doktor yang bertugas disana beliau menghidap penyakit kelamin yang belum ditentukan lagi jenisnya.
Walau bagaimana pun beliau bernasib baik kerana tidak dijangkiti oleh HIV.
Apa yang dirisaukan oleh beliau ialah kesan penyakit kelamin kepada diri beliau sebagai wanita hamil, dan dan anak yang di dalam rahim.
Soalan yang beliau tanyakan ialah “apakah kesan penyakit kelamin terhadap kehamilan dan bayi?”
Kebanyakan kesan penyakit kelamin terhadap wanita hamil adalah sama dengan wanita yang tidak hamil.
Kebanyakan penyakit kelamin ini menyebabkan penyakit yang lebih serius berlaku secara “senyap”, tanpa memberikan sebarang tanda.
Dalam jangka panjang, penyakit kelamin boleh mengakibatkan kanser pangkal rahim dan beberapa kanser yang lain, hepatitis kronik, radang pelvis, dan ketidaksuburan.
Penyakit ini jika berlaku pada wanita hamil, boleh mengakibatkan kelahiran pra-matang, pecah air ketuban sebelum waktu, dan juga jangkitan kencing kotor selapas melahirkan anak.
Penyakit kelamin ini juga boleh disebarkan kepada bayi yang baru dilahirkan sebelum, semasa atau sesudah proses melahirkan.
Sebagai contoh penyakit kelamin jenis sifilis boleh merebak kepada bayi yang masih dalam rahim, sementara penyakit kelamin jenis gonorrhea, chlamydia, hepatits B, dan herpes simplex 2 boleh dipindahkan dari ibu kepada bayi semasa proses melahirkan bayi. HIV pula boleh menyeberangi uri ketika dalam kandungan, menjangkiti bayi semasa proses kelahiran, malah boleh juga disebarkan kepada bayi ketika ibu yang dijangkiti HIV ini meyusukan bayinya dengan susu badan.
Kesan bahaya Penyakit Kelamin terhadap bayi pula termasuklah bayi mati dalam kandungan, bayi dilahirkan kurang berat badan, jangkitan mata conjunctivitis, radang paru-paru pneumonia, jangkitan dalam saliran darah bayi neonatal sepsis, kerosakan saraf, buta, pekak, penyakit hepatitis, penyakit radang selaput otak meningitis dan kerosakan hati.
Dalam kes ini, wanita muda itu bernasib baik kerana dikesan lebih awal ketika pemeriksaan antenatal.
Oleh kerana komplikasi penyakit kelamin ini sangat teruk dan dapat dielakkan jika melakukan pemeriksaan awal, maka saya mencadangkan agar setiap wanita yang hamil menjalani pemeriksaan untuk mengesan penyakit kelamin berikut:
1. Chlamydia
2. Gonorrhea
3. Hepatitis B
4. Hepatitis C
5. HIV
6. Sifilis
Sesetengah pakar juga mencadangkan agar wanita yang pernah melahirkan kelahiran pra-matang untuk menjalani ujian mengesan jangkitan bacterial vaginosis pada lawatan pertama mereka ke klinik.
Wallahu a’lam.
KONSULTASI BERSAMA DR ZUBAIDI
Jika berminat mendapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi, boleh klik di link ini
MODUL KELAS PEMAKANAN PESAKIT KANSER
Pelajari dan ketahui pemakanan yang baik dan tidak baik kepada pesakit kanser melalui Modul Kelas Kanser dan Pemakanan oleh Dr Zubaidi