Setiap kali saya bertemu dengan seseorang berjaya yang saya kagumi, saya tertanya-tanya apa yang membuatkan mereka berjaya?
Adakah mereka dilahirkan dari keturunan atau keluarga yang berjaya? Adakah mereka berjaya disebabkan faktor bernasib baik tanpa sebarang usaha?
Rata-rata di antara mereka mencapai kejayaan dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Namun apa yang mendorong mereka untuk bekerja bersungguh-sungguh?
Terdapat enam sifat yang mendorong seseorang untuk berjaya :
1. Mereka tahu apa erti kejayaan bagi mereka
Dalam mengejar kejayaan, ia bukan bermakna sekadar “pencapaian matlamat atau tujuan” atau “pencapaian kemasyhuran, kekayaan atau status sosial.” Ramai orang menggunakan definisi ini untuk mengukur sejauh mana kejayaan mereka. Ini membuatkan mereka sentiasa berasa kurang daripada rakan sebaya mereka, walaupun mereka sebenar6sydah berjaya. Definasi berjaya tidak semestinya bermakna kemasyhuran, kekayaan atau status sosial.
Kita mudah untuk jatuh ke dalam perangkap yang menilai kejayaan hanya berdasarkan jumlah wang di bank, berapa ramai orang yang mengenali kita atau jawatan pekerjaan yang kita pegang. Mengejar kejayaan luaran ini akan menyebabkan kita rasa kecewa kerana setiap manusia diberikan rezeki yang berbeza.
Sebaliknya, lebih baik kita mengukur kejayaan dalaman seperti perubahan peribadi atau perasaan syukur dan bahagia. Dengan cara ini, kita boleh mencipta kehidupan yang lebih memuaskan dan lebih bermakna.
Sebagai contoh, menjadi terkenal mungkin akan merosakkan hidup kita, jika kita seorang yang introvert. Kekayaan yang kita inginkan, mungkin bukannya kehidupan seorang selebriti yang menunjukkan kekayaan mereka di media sosial.
Bagi saya, kejayaan bermakna menjalani kehidupan yang tenang dikelilingi oleh beberapa orang yang memahami, menulis setiap hari, mampu membeli buku untuk dibaca, memberikan sedikit sedekah dan melancong secara berserhana bersama keluarga di dalam Malaysia.
Bagi orang lain mungkin berasa telah berjaya dengan rasa bersyukur dan bahagia apabila ada pekerjaan yang stabil, keluarga yang aman dan ada rumah yang kecil tetapi selesa. Ada orang rasa berjaya jika dapat membantu orang susah atau hidup berinteraksi dalam komuniti. Atau rasa berjaya dalam pembentukan peribadi anak-anak yang cemerlang.
Orang yang berjaya mentafsirkan kejayaan mereka sendiri tanpa peduli atas nilai kejayaan yang dipakai oleh orang lain.
2. Mereka menyuburkan minat dalam pekerjaan
Jika kita ada tafsiran kejayaan kita sendiri, dan tidak memperdulikan tafsir kejayaan orang lain, kita harus memberikan tumpuan dan fokus kepada definisi kejayaan kita sendiri dan berusaha ke arah itu.
Apabila kita sangat bersemangat mengejar kejayaan, kita lebih cenderung untuk terus komited mengejarnya dalam jangka masa yang panjang. Keghairahan ini akan menyemarakkan motivasi dan membawa kepada pemikiran positif.
Orang yang sangat berjaya biasanya bersemangat tentang apa yang mereka lakukan, jadi mengejar apa yang mereka mahu tanpa terasa seperti melakukan tugas yang berat, tetapi seolah-olah mereka sedang melakukan sesuatu hobi yang mereka minati.
Ada pepatah terkenal berkata, “Cari pekerjaan yang anda suka, dan anda tidak akan perlu bekerja seharian dalam hidup anda.”
3. Mereka mempunyai disiplin
Seperti manusia lain, ada hari kita menjadi orang yang paling tidak bersemangat untuk menyelesaikan pekerjaan kita. Di situlah disiplin memainkan peranan. Perkara penting yang saya pelajari adalah motivasi hanya membawa kita tahap tepu. Kemudian kita tak mampu bergerak lebih jauh. Tetapi disiplin mendorong kita ke garisan penamat.
Disiplin memastikan kita bekerja secara konsisten ke arah mencapai matlamat kita. Walaupun pada hari-hari yang kita rasa tiada motivasi, atau terpaksa berhadapan dengan kesukaran, atau menghadapi cabaran emosi, kita harus melakukannya secara konsisten atau istiqamah.
Disiplin adalah tulang belakang dalam mencapai matlamat.
4. Mereka bersabar dengan rasa tidak selesa
Walaupun kita sangat minat dengan pekerjaan kita, dan meletakkan disiplin untuk mengejar kejayaan, ada kalanya kita merasakan usaha kita terlalu mencabar. Ada saat-saat di mana kita menghadapi kekecewaan dan kebosanan.
Tetapi orang yang berjaya, sangat bersabar dengan ketifaksekesaan. Jika anda ingin berlari maraton dan berada dalam keadaan tidak bersedia menghadapi cuaca yang panas terik atau hujan lebat ketika berlari, kita akan mudah berputus asa pada beberapa hari latihan.
Jika kita ingin menjadi seorang usahawan, kita perlu bersedia menghadapi risiko, ketidakpastian, dan ketidakselesaan.
Pada masa inilah yang mendedahkan sama ada kita pemburu kejayaan yang sebenar atau setakat berfantasi.
5. Mereka menepati janji yang mereka buat pada diri mereka sendiri
Tiada apa-apa yang merosakkan keyakinan kita dalam mengejar kejayaan lebih daripada mungkir janji yang kita buat kepada diri sendiri.
“Saya perlu menjaga makan lebih baik, jadi saya akan membuat rancangan makan yang sihat dan melakukan aktiviti fizikal seperti brisk walking pada hujung minggu” Tetapi di hujung minggu, kita menghabiskannya dengan bersantai dengan henfon di tangan melayan media sosial. Kita mungkir janji pada diri sendiri.
“Saya mahu mempelajari kemahiran ini, jadi saya akan menumpukan sekurang-kurangnya satu jam setiap hari untuk itu.” Tetapi hari berlalu, dan kita sentiasa rasa terlalu letih untuk terlalu sibuk untuk mempelajari kemahiran baru ini. Sekali lagi kita mungkir janji pada diri sendiri.
Untuk berjaya kita harus menepati janji yang kita buat pada diri kita sendiri. Ia akan membuatkan kita lebih berkeyakinan untuk berjaya. Selain itu, kita menjadi lebih mudah untuk mengatasi cabaran. Ini akan meningkatkan kepercayaan pada diri sendiri.
Orang yang berjaya tahu mereka hanya boleh percaya pada janji pada diri sendiri dan usaha sendiri yang mereka lakukan. Bukan orang lain.
6. Mereka tahu bila masa untuk berehat
Kita tidak boleh proaktif 24 jam untuk tujuh hari seminggu. Kerja yang berlebihan tanpa rehat akan memberikan kesan negatif kepada kesihatan, perhubungan dan kualiti hidup kita.
Orang yang berjaya akan berhenti untuk berehat. Pergi bercuti. Mendapat tidur yang mencukupi. Beriadah. Mengerjakan suruhan agama. Ini akan mengekalkan produktiviti mereka dan mengekalkan motivasi mereka untuk mengejar kejayaan dalam jangka masa yang panjang.
Kadangkala kita menyangka kita harus bekerja dengan lebih kuat tanpa henti dengan harapan kita akan mencapai kejayaan dengan lebih cepat, tetapi perkara sebaliknya biasanya berlaku. Orang berjaya akan melakukan keseimbangan dalam kehidupan. Jika tidak, kita akan keletihan.
Akhir kata, mencapai kejayaan atau sesuatu yang kita inginkan bukanlah suatu takdir yang dikhaskan untuk beberapa orang sahaja.
Jadi kita tahu apa yang menghalang kita mencapai kejayaan. Lupakan definasi kejayaan yang diberikan oleh orang lain. Tafsir kejayaan yang kita inginkan. Fokus pada mengubah tingkah laku yang dibincangkan tadi. Perubahan ini akan memudahkan kita untuk mencapai kejayaan yang diinginkan.
Semoga bermanfaat.