Berapa banyak kuantiti susu untuk bayi?

 

Saya sering ditanya oleh ibu yang baru melahirkan tentang berapa kali kekerapan bayi mereka harus disusui. Ianya menjadi tekanan kepada mereka kerana bayi-bayi mereka kerap menangis dan seperti mahu disusui segera.

“Doktor, saya tidak dapat tidur semalaman kerana anak saya kerap mahukan susu, tidak kira di malam hari atau di siang hari. Saya sangat letih..”

Sememangnya, banyak pahala dan jasa ibubapa ketika membesarkan anak-anak mereka. Mereka sentiasa risau tentang keselamatan dan keperluan anak-anak-anak mereka.

Adakalanya pula bayi yang telah disusukan mengalami muntah susu. Apa yang membimbangkan mereka ialah bayi akan mengalami ‘tersedak susu’ seperti yang dilaporkan di akhbar-akhbar dan menyebabkan kematian.

Oleh itu kombinasi antara jumlah kuantiti susu yang diperlukan dalam sehari, dan jumlah kuantiti susu yang boleh diberikan oleh bayi bagi setiap susuan akan menentukan bilangan kekerapan memberikan susu dalam sehari.

Jika tidak, dikhuatiri bayi akan mengalami kekurangan susuan sehingga bayi menjadi letih dan kekurangan berat badan. Bayi yang diberikan lebih susuan pula boleh menyebabkan mereka muntah dan kekembungan pula.

Ibubapa perlu mengetahui bahawa setiap kali bayi menangis tidak bermakna mereka kelaparan dan mahu disusu. Bayi yang merengek boleh jadi disebabkan mereka penat, merasa bosan, tidak selesa atau lampin mereka telah kotor.

Oleh itu sebagai panduan, tanda bayi yang kelaparan ialah :

1. Bayi meletakkan tangan mereka dekat dengan mulut.

2. Bayi memusingkan kepala ke kanan dan ke kiri.

3. Bayi kelihatan gelisah dan menjelirkan lidah seolah-olah kita mahu menyusukan.

4. Bayi mula menghisap jari atau kain yang diberikan.

5. Bayi mula merengek.

6. Bayi menangis kuat.

Perlu kita ingat juga bahawa bayi, terutama yang baru lahir mempunyai perut yang sangat kecil, sedang keperluan terhadap susu untuk tumbesaran amat tinggi. Oleh kita mengimbangkan antara kekerapan dan kuantiti susu yang diberi agar bayi mendapat susuan yang cukup.

Oleh itu ramai ibubapa yang bertanyakan tentang kekerapan bayi mereka menyusu. Kekerapan ini sebenarnya bergantung kepada berat dan umur bayi. Ada beberapa formula yang digunakan untuk menentukan kuantiti susu formula yang diperlukan oleh bayi.

Formula 1

Untuk mendapatkan jumlah susu diperlukan oleh bayi dalam unit oz, “Darabkan berat bayi (dalam unit pound) dengan 2.5”

Untuk mendapat bilangan jumlah ounce (oz) yang diperlukan, perlu merujukkan ke formula 2.

Sebagai contoh: Bayi yang mempunyai berat 6lb dan berumur 2 bulan, memerlukan sebanyak 15oz dalam masa 24 jam dan memerlukan antara 3oz-4oz dalam setiap susuan. Oleh itu bolehlah membancuh susu formula sebanyak 3 oz untuk 8 kali susuan dalam masa 24 jam.

Formula ini hanya menggunakan unit pound, lb (untuk berat) dan ounce, oz (untuk isipadu).

Formula 2

Formula ini mengikut umur bayi.

UMUR BAYI JUMLAH SUSU YANG DIPERLUKAN SETIAP KALI DIDUDUKAN
Baru dilahirkan sehingga berumur sebulan 30ml-60ml   (1oz-2oz)
Sebulan sehingga dua bulan 90ml-120ml   (3oz-4oz)
Dua bulan sehingga enam bulan 120ml-180ml (4oz-6oz)
Enam bulan sehingga setahun 180ml-220ml (6oz-8oz)

Apabila baru mencapai umur enam bulan, selalunya ibubapa digalakkan memberikan makanan pejal. Mereka memerlukan sekurang-kurangnya 600ml (20oz) susu sepanjang hari sehingga berumur setahun.

Walau bagaimana pun, formula-formula ini adalah panduan kasar. Lebih baik bertanyakan kepada doktor pakar paediatrician yang merawat anak. Formula ini juga tidak sesuai untuk bayi yang dilahirkan secara pramatang dan mempunyai kekurangan berat badan.

Bagi bayi yang berumur enam bulan ke atas, makanan pejal tidak harus menggantikan susu sepenuhnya. Susu (susu ibu atau formula) harus diberikan sehingga berumur setahun. Bayi-bayi ini masih memerlukan susu untuk menggantikan nutrisi yang kurang dalam pemakanan mereka.

Ibubapa juga harus perhatikan tanda-tanda bayi mereka diberikan susu yang berlebihan. Antaranya ialah muntah, terutama ketika menangis, melipatkan kaki ke abdomen dan mengeliatkan badan. Bayi juga mungkin menunjukkan tanda-tanda kekembungan.  Cara untuk mengurangkan muntah ialah dengan memberikan kuaniti yang sedikit dalam setiap kali susuan tetapi lebih kerap.

Oleh itu menjadi tugas ibubapa memastikan bayi-bayi mereka mendapat bekalan susu yang lengkap.

Wallahu a’lam.

2 comments

  1. banyak info bermanfaat dari blog Doktor.. May Allah bless u

  2. assalamualaikum Dr.
    Saya ada pertanyaan.saya mempunyai seorang bayi perempuan yg berumur 1 bulan.bayi selalu muntah susu selepas disusukan walaupun setelah sendawa.muntah susunya ada yg berlendir dan ada yang baru di minum.pada waktu malam bayi saya nafasnya berbunyi seperti mempunyai kahak.adakah ini disebabkan “flu” atau pun ada masalah penghadaman. bagaimana cara untuk mengatasinya ?adakah bayi saya memperolehi susu yang cukup sedangan dia selalu muntah?

Leave a Reply

error: Content is protected !!