“Salam doctor. Anak saya berumur dua tahun mengalami sembelit yang teruk sejak dilahirkan. Dia hanya sembuang air besar hanya sebulan sekali, sehinggakan perutnya kembung dan tiada selera makan. Adakah ia normal. Mohon pencerahan.”
Wa alaikum mus salam.
Bayi dan kanak-kanak sesekali yang mengalami sembelit adalah normal.
Sembelit disebabkan oleh pergerakan usus tidak normal dan berlaku secara perlahan. Ini menyebabkan hasil perkumuhan (najis) tidak dapat ditolak ke bahagian rectum dengan cepat dan najis menjadi lebih keras.
Bayi dan kanak-kanak yang mengalami sembelit akan meneran kerana najis mereka keras dan sukar dikeluarkan.
Oleh itu bayi yang tidak meneran walaupun mereka hanya membuang air besar setiap dua atau tiga hari, tidak dikatakan sembelit.
Lebih-lebih lagi jika bayi hanya minum susu ibu, mungkin hanya akan membuang air besar seminggu sekali atau dua kali seminggu.
Terdapat beberapa punca yang serius menyebabkan sembelit, seperti penyakit Hirschsprung, cystic fibrosis dan masalah kelenjar thyroid (hipotiroidisme).
Tanda-tanda yang mungkin menunjukkan keadaan yang lebih serius menyebabkan anak puan mengalami sembelit termasuk muntah, kehilangan berat badan, tidak aktif, demam, perut yang kembung atau tidak mempunyai selera makan.
Oleh itu jika anak puan mengalami tanda-tanda itu, maka eloklah membuat pemeriksaan doctor segera.
Wallahu a’lam.