BACAAN ALT DAN AST TINGGI. ADAKAH BAHAYA?
Assalammualaikum Dr Zubaidi. Saya ada soalan untuk doktor. Semalam saya mendapat keputusan darah. Bacaan ALT dan AST tinggi tetapi tidak menerangkan lebih lanjut. Bolehkah doktor terangkan, adakah ia berbahaya? Terima kasih.
Walaikumusalam.
Keputusan yang tidak normal enzim hati Alanine Aminotransferase (ALT) dan Aspartate aminotransferase (AST) pada pesakit yang tiada simptom tertentu selalunya merisaukan pesakit.
Bacaan yang normal untuk kedua-dua enzim hati ALT dan AST berbeza di antara satu makmal dengan makmal yang lain. Selalunya antara 25 hingga 50 IU/L.
Enzim-enzim hati ini dikeluarkan oleh sel-sel hati (hepatocytes). Peningkatan enzim-enzim ini menunjukkan terdapat kecederaan sel-sel hati, menyebabkan melimpah ke dalam sistem peredarahan darah dan dapat dikesan melalui pemeriksaan darah.
Selalunya apabila terdapat kerosakan hati yang teruk, pesakit akan menunjukkan kekuningan pada mata dan kulit (ini disebut jaundice). Bacaan enzim hati akan menunjukkan bacaan enzim hati yang sangat tinggi, sehingga beratus-ratus IU/L.
Bagi peningkatan bacaan enzim yang sederhana, (selalunya tidak lebih sehingga 2 kali ganda bacaan normal), pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom.Ini menunjukan sel-sel hati mengalami kecederaan yang tidak teruk dan bacaan boleh diturunkan kepada normal semula.
Punca yang menyebabkan kecederaan pada sel-sel hati ini adalah disebabkan pengambilan minuman beralkohol. Ubat-ubatan sintetik juga boleh menyebabkan peningkatan sedikit pada bacaan enzim-enzim ini, antaranya ubat kolestrole, ubat untuk penyakit tuberculosis dan ubat tahan sakit NSAID (termasuk aspirin). Selalunya terdapat peningkatan yang sederhana sahaja. Pengambilan herba yang dicampurkan dengan bahan terlarang juga menyebabkan masalah ini.
Obesiti dan masalah Insulin Resistance (yang biasa berlaku pada pesakit diabetes) juga menyebabkan masalah ini.
Sebab lain adalah seperti jangkitan virus terutamanya Hepatitis B dan Hepatitis C, masalah yang berkaitan otot dan tulang (musculoskeletal) seperti polymyositis, kecederaan otot (seperti acute muscles injury), atau serangan sakit jantung (iaitu acute myocardial infarction). Masalah kelenjar tiroid seperti hypothyroidism boleh menyebabkan masalah ini.
Selalunya doktor akan melakukan pemeriksaan ulangan selepas enam bulan jika bacaan tidak melebihi dua kali ganda dari bacaan normal. Tiada ubat yang diberikan. Saya cadangkan amalkan pemakanan yang bernutrisi yang mempunyai antioksida yang tinggi dapat mengembalikan bacaan enzim-enzim ini kepada bacaan normal.
Jika bacaan melebihi dua kali ganda dari bacaan normal, pemeriksaan lanjut untuk mencari punca sebenar masalah ini harus dilakukan.
Pemeriksaan ultrasound dapat mengesan jika pesakit mengalami peringkat awal masalah hati berlemak (fatty liver).
Semoga bermanfaat.
#HealthDrZubaidi