Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » ANCAMAN KANSER PARU-PARU

ANCAMAN KANSER PARU-PARU

PENGENALAN

Kanser paru-paru adalah antara kanser ketiga tertinggi dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia adalah antara kanser paling agresif. Bermakna kebarangkalian untuk tidak dapat diselamatkan agak tinggi.

Kira-kira 11.8 peratus dari jumlah kanser adalah disebabkan oleh kanser paru-paru. Ia adalah kanser kedua dalam kalangan lelaki dan ketiga paling lazim bagi golongan Wanita. 90 peratus pesakit didiagnosis pada peringkat lanjut, iaitu tahap tiga dan empat. Ramai beranggapan kanser paru-paru adalah penyakit yang hanya dihidapi perokok, pada hal ia jua menyebabkan kanser pada orang yang tinggal bersama perokok.

Kanser paru-paru terbentuk apabila sel paru-paru normal mengalami beberapa peringkat perubahan atau mutasi, membiak (menambahkan bilangan), membentuk ketulan sel-sel yang membesar dan akhirnya tumbuh tanpa kawalan. Sel-sel kanser boleh merebak ke organ lain seperti  kelenjar (nodus) limfa, hati, tulang dan otak. Keadaan ini dinamakan metastasis.

Kanser paru-paru secara amnya terbahagi kepada dua jenis utama, iaitu kanser paru-paru bukan sel kecil (non-small cell lung cancer NCLC), merangkumi hampir 85 hingga 90 peratus, dan selebihnya 10 hingga 15 peratus berpunca daripada kanser paru-paru sel kecil (small cell lung cancer-SCLC). Terdapat tiga jenis kanser di bawah NSCLC) pula ialah adenokarsinoma, karsinoma sel skuamus, dan karsinoma sel besar (large cell cancer ).

Menentukan subjenis kanser paru-paru adalah penting bagi menentukan prognosis dan rawatan kemoterapi kepada pesakit.

PROGNOSIS

Kadar hidup untuk lima tahun (5-year survival rate)  adalah peratusan seorang pesakit untuk hidup selama paling kurang lima tahun setelah beliau disahkan menghidap kanser. Peratusan ini menunjukkan berapa ramai di antara mereka yang hidup dalam 100 orang pesakit.

Kadar hidup untuk lima tahun bagi semua jenis kanser paru-paru adalah 21%. Bermakna dalam 100 orang pesakit kanser paru-paru, hanya 21 orang yang akan hidup setelah lima tahun. Yang lain akan meninggal dunia.

Jika dibandingkan mengikut jantina, kadar hidup untuk lima tahun bagi lelaki hanya 17%, berbanding dengan kadar hidup untuk lima tahun bagi wanita iaitu 24%.

Bagi pesakit kanser paru-paru jenis  NSCLC adalah 25%, berbanding hanya 7% untuk pesakit kanser paru-paru jenis SCLC.

Bagi kanser paru-paru jenis NSCLC yang belum merebak ke organ lain, kadar hidup untuk lima tahun adalah 63%. Jika telah merebak ke organ yang berdekatan, ia menurun kepada 35%. Jika ia telah merebak ke organ yang jauh seperti otak, hati dan tulang (metastatis), ia semakin berkurangan sebanyak 7%.

PERTAMBAHAN KES SETIAP TAHUN

Terdapat peningkatan kes, pada tahun 2016 (115,238 kes) berbanding 103,507 kes berbanding dengan tahun 2011. Data yang dikeluarkan oleh Malaysia National Cancer Registry Report 2012-2016 (MNCRR) terbitan Institut Kanser Negara juga menunjukkan kebarangkalian kes kanser paru-paru adalah sebanyak 86 kes bagi setiap 100,000 orang lelaki dan 102 kes bagi setiap 100,000 orang wanita.

Apa yang membimbangkan adalah peningkatan kes pesakit kanser paru-paru dalam kalangan perokok pasif, berpunca daripada menghidu asap rokok bagi golongan yang tidak merokok. Mereka terdedah pada bahaya asap rokok ketika berada di restoran, pejabat atau lokasi tumpuan awam. Malah lebih malang Ketika berada dalam rumah kerana tinggal Bersama suami yang merokok.

Kajian menunjukkan kebarangkalian seorang wanita yang tinggal bersama suami yang merokok mendapat kanser paru-paru adalah 25 peratus lebih tinggi dari wanita yang tinggal bersama suami yang tidak merokok.

 TANDA KANSER PARU-PARU

• Batuk terutamanya yang berpanjangan atau susah sembuh.

• Pneumonia atau jangkitan kuman diparu-paru yang berulang-ulang

• Batuk berdarah.

• Sesak nafas (terutama ada pengumpulan cecair dalam paru-paru)

• Sakit dada.

• Rasa letih.

• Berat badan susut tanpa sebab.

Xray dada pesakit sebelum dan selepas mengeluarkan cecair

Kebanyakan pesakit kanser paru-paru tidak mengalami tanda-tanda sehingga kanser itu mencapai peringkat lanjut, tahap 3 dan 4. Jadi kebanyakan mereka (80- 90 peratus) datang ke hospital apabila sudah agak terlambat.

FAKTOR RISIKO

• Merokok – 80 peratus kematian akibat kanser paru-paru disebabkan tabiat merokok.

• Tinggal serumah atau bekerja dalam bilik pejabat dengan perokok.

• Pencemaran udara contohnya asap diesel dari ekzos kenderaan.

• Pekerja di kilang bahan kimia seperti sinaran mengion, logam nikel atau bahan kimia lain.

• Rawatan radioterapi terhadap paru-paru yang diberi bagi kanser payudara.

BAGAIMANA MEROKOK MENYEBABKAN KANSER PARU-PARU

Asap rokok yang mengandungi pelbagai bahan kimia yang berbahaya merosakkan lapisan selsel pada paru-paru. Tubuh (melalui istem daya tahan) cuba memperbaiki kerosakan tisu ini. Tetapi apabila terjadi kerosakan berulang (akibat amalan merokok) menyebabkan sel-sel rosak ini bermutasi dan dan menjadi sel-sel kanser.

MENCEGAH KANSER PARU-PARU

Sebahagian besar punca kanser paru-paru adalah berpunca dari asap rokok. Namun begitu bagi yang tidak menghisap rokok, mereka pun boleh menghidap kanser paru-paru. Ini tidak mustahil.

Ada seorang kawan doktor, yang tidak merokok. Satu ketika dia perasan apabila dia menaiki tangga, dia mudah semput. Semakin hari rasa sukar bernafas. Jadi dia pun buat pemeriksaan xray dada. Rupanya terdapat air yang berkumpul. Dia jumpa pakar untuk pemeriksaan lanjut. Sampel cecair yang terkumpul dari paru-paru dihantar ke makmal, dan mendapati rupanya dia mengalami kanser paru-paru. Akhirnya dia meninggal dunia. Itulah takdir beliau.

Namun begitu kita boleh berusaha untuk mengelakkan dari kebarangkalian mendapat kanser paru-paru.

1. Jangan merokok dan jauhi dari perokok (asap rokok). Minta pasangan kita yang merokok agar melakukannya di luar rumah, bukan di dalam rumah.

2. Berhenti merokok jika kita seorang perokok.

3. Kenali bahan-bahan kimia yang boleh mencetuskan kanser di tempat kerja, terutama jika bekerja di kilang kimia. Buat sedikit pembacaan mengenai bahan berbahaya itu. Berhati-hati Ketika bekerja dengan memakai Perkakasan Perlindungan Personal (PPE).

4. makan makanan yang banyak sayur dan buah kerana ia sumber vitamin dan mineral. Elakkan mengambil suplemen vitamin A dan beta karotene.

5. Lakukan senaman atau aktiviti fizikal.

6. Amalkan minyak zaitun yang mengandungi lemak sihat monounsaturated fatty acids,  yang dapat mengurangkan keradangan, dan mengandungi alpha-tocopherol, sejenis vitamin E yang baik untuk fungsi paru-paru.

Rujuk: Cazzoletti L, Zanolin ME, Spelta F, Bono R, Chamitava L, Cerveri I, Garcia-Larsen V, Grosso A, Mattioli V, Pirina P, Ferrari M. Dietary fats, olive oil and respiratory diseases in Italian adults: A population-based study. Clin Exp Allergy. 2019 Jun;49(6):799-807.

7. Amalkan minyak habatussauda bagi meningkatkan fungsi paru-paru dan mencegah kanser paru-paru.

Rujuk: Khan MA, Chen HC, Tania M, Zhang DZ. Anticancer activities of Nigella sativa (black cumin). Afr J Tradit Complement Altern Med. 2011;8(5 Suppl):226-232.

Semoga bermanfaat.

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: