Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bayi/Kanak-kanak » MUNTAH DI KALANGAN BAYI

MUNTAH DI KALANGAN BAYI

MUNTAH DI KALANGAN BAYI


Bayi muntah tidak memerlukan rawatan?



Ramai di kalangan ibu bapa yang runsing apabila bayi mereka muntah selepas disusukan. Lantas mereka segera membawakan ke Jabatan Kecemasan dan mengharapkan agar bayi mereka diberikan rawatan sewajarnya. Namun mereka kecewa apabila diberitahu bahawa anak mereka tidak perlukan apa-apa rawatan dan dibenarkan pulang.

Kerunsingan ibubapa amat mudah difahami. Apabila melihat keadaan bayi mereka yang muntah setiap kali disusukan, ibubapa menyangka tentu adalah masalah besar dengan sistem penghadaman bayi mereka.

Sayangnya tiada penerangan yang diberikan, menyebabkan ibubapa akhirnya membawa bayi mereka ke klinik atau farmasi yang memberikan apa saja ubat untuk ’merawat kekecewaan hati mereka’.

Saya berpendapat kebanyakan bayi muntah selepas disusukan tidak memerlukan rawatan, tetapi penerangan yang lengkap pada ibubapa yang menjaga bayi mereka.

Tanpa penerangan yang lengkap, ibubapa akan menganggap bayi mereka tidak dirawat dengan sebaiknya, doktor yang memeriksa kurang mahir atau pihak hospital yang mempunyai banyak karenah birokrasi. Saya sendiri menjadi serba salah bila didesak oleh ibubapa yang mahukan ubat untuk melegakan muntah anak mereka.



Muntah disebabkan anatomi yang kurang matang


Apa yang kita lihat fenomena ’muntah’ ini berlaku apabila bayi kita mengeluarkan semula susu yang diminum. Oleh kerana ianya bukanlah menjadi kebiasaan bagi orang dewasa untuk muntah selepas makan, maka kita menganggap bayi kita juga tidak normal jika muntah selepas disusukan. Itu adalah persepsi yang silap

Apabila bayi menelan, susu akan melalui saluran esofagus sebelum memasuki ruang perut (stomach). Terdapat seberkas otot yang mengelilingi sempadan antara esofagus dan perut, yang dinamakan otot lower esophageal sphincter (LES).

LES mengecut dan menyebabkan makanan yang diproses akan tetap berada di dalam perut. Oleh itu isi perut tidak akan masuk semula ke dalam esophagus.

Namun terdapat keadaan di mana makanan yang sedang diproses di perut memasuki semula ke dalam esofagus. Ini dinamakan sebagai “reflux.”

Reflux dan muntah mudah berlaku di kalangan bayi selepas disusukan kerana struktur anatomi mereka yang berbeza dari orang dewasa.

1. Perut mereka yang kecil (kira-kira bersaiz seperti bola golf) dan mudah dipenuhkan.

2. Otot LES belum lagi matang dan tidak mengetat dengan baik. Ini menyebabkan susu mudah mengalir keluar apabila proses penghadaman bermula.



Benar-benar muntah atau suka-suka muntah?


Setiap bayi akan memberikan reaksi yang berbeza, apabila mereka disusukan. Ada bayi yang akan muntah sesekali, ada yang kerap, malah ada yang muntah setiap kali diberikan susu.

Namun begitu bayi yang muntah selalunya selesa, tidak merengek, dan tidak mengalami sukar bernafas selepas muntah. Oleh itu ianya bukanlah sesuatu yang merunsingkan.

Akibat struktur anatomi mereka tadi, bayi sebegini akan ‘muntah tanpa sebab yang merbahaya’. Kebanyakannya disebabkan oleh udara yang ditelan bersama susu akan cuba keluar dari perut melalui esofagus.

Apabila ia melepaskan diri, ia kelihatan seperti sedawa tetapi membawa bersamanya susu. Oleh itu ia kelihatan seperti muntah.

Ada pakar perubatan yang menggelarkannya sebagai “a happy spitter baby” atau ‘bayi yang suka-suka muntah’. Tiada rawatan yang perlu diberikan.

Jadi jangan risau jika bayi yang berumur kurang dari setahun kerap muntah ketika disusukan. Otot LES akan mula menjadi kuat dan dapat menghalang terjadinya reflux apabila bayi mencapai umur antara 4-5 tahun.



Bila perlu berjumpa doktor?


Saya tidak mengatakan semua bayi yang muntah tidak perlu dirawat. Cuma kebanyakan bayi yang muntah tidak perlu dirawat.

Oleh itu bayi yang muntah dan berkeadaan selesa, tidak merengek, dan tidak mengalami sukar bernafas selepas muntah tidak perlu dirawat.

Sementara bayi yang muntah bersama-sama dengan kembung dan sakit perut, tentu ia sesuatu yang lebih serius.

Bayi tidak akan mengadu yang dia mengalami sakit perut, tetapi bayi akan menangis dan perutnya kelihatan besar.

Mereka juga mungkin mengalami kesukaran bernafas. Kita dapat perhatikan tanda-tandanya seperti kadar pernafasannya laju, mukanya yang agak pucat atau kebiru-biruan.

Jika kesukaran bernafas disertai dengan demam yang tinggi, kemungkinan bayi telah mengalami aspirated pneumonia akibat susu yang dimuntahkan akan masuk semula ke dalam paru-parunya.

Bayi yang muntah setiap kali disusukan dan berlangsung dalam waktu yang lama, mungkin mengalami pertumbuhan fizikal yang terbantut. Bayi ini perlu dibawakan berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.



Tips-tips yang membantu :


1. Jangan baringkan bayi setengah jam selepas menyusukannya. Ini akan membantu susu untuk kekal berada di dalam perut akibat tarikan graviti.

2. Cuba tepuk-tepukkan dengan lembut di bahagian belakang bayi selepas menyusu untuk menggalakkan udara yang ditelan bersama susu dikeluarkan secara perlahan-lahan.

3. Jangan memberikan apa-apa tekanan fizikal kepada bahagian abdomen bayi selepas menyusukannya. Sebagai contoh kita tidak menyedari apabila kita mendukung bayi di bahu kita, ia akan menekan abdomen bayi kita.

4. Memberikan makanan yang separuh pepejal. Bagi bayi yang melebihi 6 bulan, mencampurkan sedikit nasi atau cereal ke dalam makanannya (selain susu) akan menyebabkan makanan itu lebih berat dan tidak naik semula ke esofagus.

5. Pastikan susu yang diberikan sesuai dengan bayi anda. Bayi yang mengalami alahan terhadap beberapa jenis susu akan menyebabkan mudah membentuk gas di dalam abdomennya.

6. Bawalah berjumpa dengan pakar paediatrician jika masalah muntah ini berlanjutan sehingga menyebabkan pertumbuhan fizikalnya yang terbantut.

7. Adakalanya bayi terpaksa dibawakan ke Jabatan Kecemasan kerana muntahnya menyebabkan dia tersedak (choking) dan tanda-tandanya ialah tidak boleh bernafas atau batuk yang tidak berhenti.

8. Ibubapa tidak perlu memberikan ubat-ubatan yang dibeli dari farmasi atau kedai ubat untuk bayi muntah kerana kebanyakan ubat-ubat itu tidak membantu bayi itu mengurangkan muntahnya.

Dr Zubaidi Hj Ahmad.

#HealthDrZubaidi

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: