“Salam. Saya baru ini diberikan oleh doctor ubat aspirin. Mengikut pembacaan saya, aspirin ini boleh memudaratkan saya dan bayi dalam hamil, jika diambil ketika hamil. Mohon pandangan doctor. Terima kasih”.
Aspirin mengandungi bahan aktif yang dinamakan ‘Acetylsalicylic acid’. Aspirin menghalang pengeluaran bahan yang menyerupai hormone dalam tubuh yang dinamakan “prostaglandin”. Prostaglandin berfungsi sebagai bahan yang merangsangkan rasa sakit, mengekalkan kekenyalan saluran darah dan menghalang pembekuan darah. Oleh itu aspirin diberikan untuk menghalang pembekuan darah dan mengurangkan rasa sakit dan keradangan.
Jika puan tidak mempunyai masalah kesihatan yang mana doctor menasihatkan puan mengambil aspirin, saya mencadangkan agar puan tidak mengambil aspirin semasa hamil.
Ini kerana pengambilan aspirin yang berlebihan, boleh menyebabkan keracunan aspirin. Ia berlaku apabila :
- Seorang individu secara tidak sengaja mengambil dos aspirin yang berlebihan. Ini dinamakan ‘acute overdose’. Ia sering berlaku pada kanak-kanak yang menjumpai ubat-ubatan yang tidak disimpan dengan baik. Ia juga berlaku pada individu yang cuba membunuh diri dengan mengambil beberapa puluh biji aspirin sekali telan.
- Seorang individu itu mengambil aspirin pada dos yang selamat tetapi mengambilnya pada jangkamasa yang lama. Dalam keadaan ini dinamakan ‘chronic overdose’. Pengambilan aspirin secara berterusan ini selalunya berlaku apabila seorang pesakit mengalami rasa sakit kepala akibat migraine, atau wargatua yang mengalami sakit sendi yang berpanjangan.
Masalah keracunan ini lebih mudah berlaku apabila seseorang individu itu mengalami masalah fungsi ginjal yang tidak normal, atau mengalami masalah dehidrasi. Oleh itu pesakit yang mengambil aspirin, walau pun pada kadar dos yang selamat, dinasihatkan meminum air yang mecukupi.
Tanda keracunan aspirin akibat acute overdose, adalah telinga rasa berdesing, pendengaran menjadi tidak jelas, pening, perut rasa tidak selesa dan pedih, loya, dan muntah. Sementara tanda keracunan akibat chronic overdose adalah mudah rasa letih, demam yang rendah, rasa keliru, pitam, jantung berdegup laju, pernafasan laju.
Kemudaratan aspirin tidak sama bagi setiap individu. Ia bergantung pada umur, berat, status kesihatannya, berapa lama aspirin diambil dan jumlah yang diambil.
Kesan aspirin pada wanita hamil
Beberapa kajian menunjukkan bahawa mengambil aspirin secara berterusan ketika hamil boleh menyebabkan beberapa perkara:
- Jika mengambil aspirin di awal kehamilan, boleh meningkatkan risiko keguguran.
- Mengambil aspirin sepanjang kehamilan boleh menjejaskan pertumbuhan fizikal bayi dalam rahem, dan meningkatkan risiko uri berpisah dari rahem.
- Mengambil aspirin di akhir kehamilan boleh menghalang pengecutan rahem yang mengakibatkan proses kelahiran menjadi perlahan, dan meningkatkan risiko masalah perkembangan jantung dan paru-paru yang sempurna.
Walau bagaimana pun, jika ia diambil sesekali semasa kehamilan, tidak memudaratan bayi dalam rahem. Kemudaratan akan berlaku jika ia diambil secara berterusan atau dalam dos yang berlebihan.
Aspirin untuk pesakit Sindrom Hughes (Sindrom Antiphospholipid,APS)
Doktor juga akan memberikan aspirin dalam kes-kes yang tertentu jika seorang wanita itu mengalami beberapa masalah kesihatan seperti mengalami masalah Sindrom Hughes (Sindrom Antiphospholipid, APS), di mana seorang wanita itu mudah mengalami pembekuan darah, sehingga wanita ini mengalami keguguran yang berulang.
Sindrom Hughes atau Sindrom Antiphospholipid biasanya dikaitkan dengan keguguran berulang dan berturut-turut. Dianggarkan sekurang-kurangnya 15% daripada keguguran yang berulang berlaku akibat daripada masalah ini. Sayangnya, masalah ini tidak dikesan dengan baik.
Ramai wanita yang berkali-kali mengalami keguguran, tidak mengetahui bahawa mereka mengalami masalah ini. Dengan mengesan diagnosis yang betul dan memberikan rawatan yang sempurna, peluang untuk wanita seperti ini untuk hamil semakin meningkat. Sebanyak 80% dari wanita yang dirawat, Berjaya untuk hamil.
Dokor mendiagnosa seorang wanita mengalami masalah kesihatan Sindrom Antiphospholipid (APS) berdasarkan sejarah yang dialami oleh pesakit dan keputusan makmal.
Antaranya:
1. Apabila pesakit pernah:
a. mengalami sekali atau lebih keguguran yang tidak diketahui puncanya selepas usia 22 minggu kehamilan atau
b. tiga atau lebih keguguran yang bertutut-turut, sebelum usia kehamilan 20 minggu, atau
c. satu atau lebih kelahiran pramatang sebelum usia kehamilan 34 minggu akibat eclampsia.
2. Kehadiran ‘antibodi antiphospholipid’ dalam darah yang dikesan pada 2 masa yang berbeza, yang jarak antara dua sampel darah ini adalah 12 minggu. Antibodi antiphospholipid mempunyai 3 jenis subkelas antibodi iaitu lupus anticoagulant (LAC), anticardiolipin (aCL), dan anti-beta-2glycoprotein I.
(Rujuk: Ching YM, Arip M, Jegasothy R, Baskaran TP, Yusof AY, Bakhtiar F, Mustafa N; Antiphospholipid antibodies among women experiencing fetal loss. Malaysia Journal of Pathology. 2013 Dec;35(2):147-51).
Dalam kes ini, pemberian aspirin berdos rendah akan mencairkan darah, melancarkan perjalanan darah dan nutrient dari uri kepada bayi. Jika tidak pembekuan darah pada uri menyebabkan nutrisi dan oksigen tidak sampai kepada bayi.
Pengambilan aspirin pada dos yang ditetapkan (atas nasihat doctor), dapat mencegah pembentukan darah beku terutamanya di uri. Ini menghalang berlakukanya keguguran yang berulang. Oleh itu jika puan mengalami masalah Sindrom Hughes atau Sindrom Antiphospholipid, APS dan diberikan ubat aspirin oleh doctor, puan tidak perlu risau.
Aspirin untuk mengelakkan komplikasi kehamilan Pre-Eclampsia
Preeclampsia adalah salah satu komplikasi kehamilan yang serius dan memudaratkan kedua-dua ibu yang hamil dan bayi dalam rahem. Ia menyebabkan peningkatan tekanan darah dan terdapat protein yang berlebihan dalam air kencing selepas 20 minggu kehamilan.
Dianggarkan sebanyak kira-kira 5 peratus daripada semua kehamilan boleh mengalami preeclampsia. Oleh itu bagi wanita yang hamil berisiko tinggi, doctor akan memberikan aspirin berdos rendah bagi preeclampsia sebelum mencapai usia kehamilan 34 minggu.
Jika preeclampsia tidak dirawat dengan betul dan sempurna, wanita yang hamil ini akan mengalami kerosakan organ yang serius, sehingga boleh menyebabkan stroke dan kematian ibu yang hamil. Tekanan darah yang terlalu tinggi boleh menyebabkan bayi dalam rahem mengalami perkembangan fizikal yang perlahan, sehingga menyebabkan berat badan bayi menjadi terlalu rendah. Adakalanya bayi ini dilahirkan secara pramatang dan ada yang meninggal dunia di dalam rahem.
Wanita berisiko tinggi untuk mendapat preeclampsia adalah :
1. pernah mengalami preeclampsia pada kehamilan sebelumnya,
2. mempunyai masalah tekanan darah tinggi atau penyakit kencing manis sebelum hamil
Wanita yang mempunyai berat badan berlebihan, hamil kembar dan berusia 35 tahun ke atas, lebih mudah mengalami masalah preeclampsia, berbanding dengan wanita lain.
Rawatan bagi meredakan kesakitan
Bagi mengurangkan demam yang kuat ketika hamil, atau rasa sakit kepala atau rasa sakit di sendi akibat terseliuh dan sebagainya, saya mencadangkan puan mengambil ubat paracetamol, kerana ia adalah ubat penahan sakit dan ubat mengurangkan demam yang selamat untuk digunakan ketika hamil.
Pastikan puan mengikuti arahan dos yang betul pada label, atau meminta nasihat doktor atau ahli farmasi jika puan tidak yakin.
Wallahu a’lam.
KONSULTASI BERSAMA DR ZUBAIDI
Jika berminat mendapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi, boleh klik di link
https://needsvenue.onpay.my/order/form/20mindrz