Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Farmasi » Bahayakah Menggunakan Suplemen ALFALFA?

Bahayakah Menggunakan Suplemen ALFALFA?


Ramai yang bertanyakan tentang suplemen yang berasaskan Alfalfa. Pada pendapat saya tidak salah kita mengamalkan suplemen asalkan manfaat yang diperlolehi berbaloi dengan wang yang dibelanjakan.

Pastikan juga suplemen itu dikeluarkan oleh syarikat yang boleh dipercayai, terutama dari segi penjagaan keselamatannya. Terserahlah pada pengguna untuk memilih suplemen yang sesuai dengan keperluan masing-masing.

Saya akan menulis secara ringkas mengenai alfalfa. Penulisan ini disesuaikan dari http://www.webmd.com/vitamins-supplements. Saya cuba bersikap lebih adil dan tidak berat sebelah dalam menerangkan mengenai suplemen alfalfa.

Alfalfa adalah tumbuhan herba yang digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit sejak zaman dahulu lagi. Alfalfa mempunyai kandungan protein dan kalsium yang tinggi di samping mineral, vitamin B, vitamin C, vitamin D, vitamin E, and vitamin K. Oleh itu ia bermanfaat untuk dijadikan asas bagi makanan tambahan dan suplemen.

Lebih 1,500 tahun orang Cina kuno menggunakan alfalfa muda untuk merawat penyakit usus dan ginjal. Mereka juga merawat pesakit yang mengalami sakit sendi (arthritis) dan bengkak kaki akibat pengumpulan air (water retention).

Kini alfalfa masih digunakan oleh tabib herba untuk merawat penyakit ginjal, pundi kencing, dan kalenjar prostate bagi melancarkan pengeluaran air kencing. Ia juga digunakan untuk rawatan kolesterol yang tinggi, asthma, osteoarthritis, rheumatoid arthritis, diabetes, kekembungan perut dan masalah pendarahan seperti thrombocytopenic purpura.

Bagaimana alfalfa dapat merawat penyakit-penyakit itu, tidak dapat  dijelaskan. Kajian saintifik masih tidak dapat menjelaskannya dengan baik tetapi berkemungkinan disebabkan alfalfa mengandungi protein dan vitamin K yang tinggi.

Walaubagaimanapun, ada kajian yang dijalankan, menunjukkan alfalfa mampu menghalang penyerapan kolesterol dalam usus. (Kajian ini tidak diterima untuk penerbitan dalam jurnal yang besar)

Setakat ini ramai ahli saintis berpendapat belum ada kajian yang sahih mengenai keberkesanan alfalfa merawat penyakit-penyakit yang berkaitan dengan

  1. Masalah ginjal.
  2. Masalah pundi kencing.
  3. Masalah kelenjar prostate.
  4. Asthma.
  5. Sakit sendi (Arthritis).
  6. Diabetes Mellitus.
  7. Perut kembung.

 

Oleh itu FDA, satu badan berkuasa di Amerika Syarikat yang menjaga keselamatan ubat dan makanan mengkelaskan Alfalfa sebagai bahan suplemen yang diperolehi dari herba, tetapi harus digunakan dengan berhati-hati .

FDA mengatakan “menggunakan daun alfalfa BERKEMUNGKINAN SELAMAT untuk kebanyakan orang dewasa, tetapi menggunakan biji benih alfalfa secara berpanjangan BERKEMUNGKINAN TIDAK SELAMAT kerana biji benih alfalfa boleh memberikan tindak balas autoimmune dan menyebabkan penyakit lupus erythematosus atau boleh merangsangkan kemudharatan akibat penyakit itu.”

FDA juga mendapati memakan alfalfa dalam kadar yang berlebihan dan berpanjangan, juga boleh menyebabkan sesetengah orang yang sedang memakan ubat tertentu akan mengalami sensitiviti yang berlebihan  terhadap sinaran matahari. Mereka akan mudah mengalami sunburn, lepuhan dan ruam pada kulit .

Oleh itu jika seorang pesakit yang sedang mengambil ubat seperti amitriptyline dan  ubat antibiotic seperti Ciprofloxacin, Norfloxacin, Lomefloxacin, Ofloxacin, Levofloxacin, Sparfloxacin, Gatifloxacin, Moxifloxacin, Trimethoprim/sulfamethoxazole (Bactrim) dan tetracycline, diingatkan agar berbincang dengan doktor dahulu.

Penggunaan alfalfa secara berpanjangan dalam kuantiti yang besar juga MUNGKIN TIDAK SELAMAT bagi wanita yang hamil dan menyusukan anak. Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa  alfalfa bertindak seperti hormone estrogen, dan boleh memberikan kemudaratan pada kehamilan.

Oleh kerana alfalfa mempunyai kesan seperti estrogen yang kecil, bagi wanita yang mengamalkan pil perancang, berkemungkinan  alfalfa boleh menyebabkan pil perancang yang digunakan tidak berkesan.

Bagi pesakit kanser payudara, kanser rahem (uterine cancer), kanser ovari, endometriosis, atau fibroids, juga harus mengelakkan diri dari mengambil alfalfa.   Dibimbangi alfalfa yang mempunyai kesan seperti estrogen, walaupun kecil  akan merangsang sel-sel dalam organ rahem, payudara dan ovari untuk menjadi kanser. Walaubagaimanapun kebimbangan ini belum dibuktikan secara kajian klinikal.

Pesakit “auto-immune diseases”  seperti  multiple sclerosis (MS), systemic lupus erythematosus, (SLE) dan rheumatoid arthritis (RA), dinasihatkan agar tidak mengambil alfalfa sebagai makanan tambahan dan suplemen. Ini kerana alfalfa boleh menyebabkan penyakit mereka akan menjadi lebih serius.

Pesakit yang menjalani pemindahan organ seperti ginjal dan hati harus mengelakkan diri dari mengamalkan alfalfa kerana ia boleh memudaratkan. Dibimbangi organ yang dipindahkan tidak dapat digunakan kerana fenomena ‘body rejection’.

Ini kerana ubat yang diberikan untuk merendahkan daya tahan menjadi tidak berkesan apabila pesakit memakan alfalfa. Antara ubat itu ialah azathioprine (Imuran), basiliximab (Simulect), cyclosporine (Neoral, Sandimmune), daclizumab (Zenapax), muromonab-CD3 (OKT3, Orthoclone OKT3), mycophenolate (CellCept), tacrolimus (FK506, Prograf), sirolimus (Rapamune), prednisone (Deltasone, Orasone) dan corticosteroids (glucocorticoids).

Alfalfa juga dikatakan boleh menurunkan kandungan gula dalam darah. Jadi pesakit diabetes yang mengamalkan ubat diabetes, sama ada tablet atau suntikan harus berhati-hati untuk memastikan gula dalam darah tidak terlalu rendah. Jika gula terlalu rendah, boleh menyebabkan pesakit menjadi pengsan dan koma.

Alfalfa boleh memekatkan darah kerana mengandungi kuantiti vitamin K yang banyak. Bagi pesakit yang mengalami penyakit yang disebabkan darah yang pekat dan diberikan ubat Warfarin (Coumadin) untuk mencairkan darah, elakkan dari menggunakan alfalfa sebagai suplemen. Alfalfa akan menyebabkan ubat warfarin menjadi kurang berkesan. Ini bermakna darah mereka akan menjadi pekat dan mudah membeku. Akhirnya boleh menyebabkan stroke.

Jadi pesakit yang mengalami darah yang pekat dan mudah membeku, harus berhati-hati mengambil alfalfa. Mereka mungkin memerlukan dos warfarin yang lebih besar.

Sebagai kesimpulannya, suplemen alfalfa memberikan manfaat bagi segelintir pesakit, namun harus berbincang dengan doktor bagi mengelakkan kemudaratannya.

Wallahu a’lam.

 

Rujukan :

  1. Brown R. “Potential interactions of herbal medicines with antipsychotics, antidepressants and hypnotics”. Eur J Herbal Med 1997;3:25-8.
  2. Farber JM, Carter AO, Varughese PV, et al. “Listeriosis traced to the consumption of alfalfa tablets and soft cheese” N Engl J Med 1990;322:338.
  3. Light TD, Light JA. “Acute renal transplant rejection possibly related to herbal medications”. Am J Transplant 2003;3:1608-9.
  4. Malinow MR, Bardana EJ Jr, Goodnight SH Jr. “Pancytopenia during ingestion of alfalfa seeds”. Lancet 1981;14:615.
  5. Malinow MR, McLaughlin P, et al. “Comparative effects of alfalfa saponins and alfalfa fiber on cholesterol absorption in rats”. Am J Clin Nutr 1979;32:1810-2.
  6. Molgaard J, von Schenck H, Olsson AG. “Alfalfa seeds lower low density lipoprotein cholesterol and apolipoprotein B concentrations in patients with type II hyperlipoproteinemia.” Atherosclerosis 1987;65:173-9.
  7. Roberts JL, Hayashi JA. “Exacerbation of SLE associated with alfalfa ingestion”. N Engl J Med 1983;308:1361.

8 comments

  1. Assalamualaikum doctor..

    Now ramai yang jual pil alfafa utk tambah susu..de effect pape ke klo org breast feed mkn alfafa ni?

  2. Ramai ibu2 yg menyusukan anak mengambil alfalsbg penambah susu mereka. Dan ramai yg kt memang berkesan.

    • masa mula amik sebiji sy tak nmpk kesan apa2..bila disyorkan amik 2 bj selepas mengepam atau menyusu..sy mula mengalami ruam dan gatal2 satu bdn. lps tu sy kurangkan. then bila amik sebiji sebelum tido, mlm tu bdn rasa gatal2 dan kulit bengkak seperti kena gegata..

  3. hmmm..selama ni saya amik alfalfa sbg mlik booster utk kedeua-dua anak saya

    mungkin akan tukar kpd supplement lain. risau plk

  4. Kita sering melompat dan terkejut jika baca artikel ini dan sebagai manusia kita sering melihat yang negatif dulu berbanding dengan positif. Kalau dilihat dari bahgian pertama artikel ini alfalfa memberi banyak kebaikan kepada manusia dan membantu kita menghalang penyakit2 yang serius dari dulu lagi. Jadi maknanya memakan alfalfa tidak memberi bahaya kepada kita. Dan ikut tulisan artikel bahagian kedua jika anda mengambil alfalfa dan makan ubat ia akan membuat ubat yang anda makan itu kurang berkesan yang ni kita perlu berhati-hati dan bertanya doktor dulu sebelum makan alfalfa. Dan dalam artikel ini juga untuk ibu yang menyusukan MUNGKIN TIDAK SELAMAT jika diambil dlam kuantiti yang besar . Persoalannya berapa besar yang dianggap kuanti besar dan adakah mereka yang makan alfalfa lebih dari 10 biji sehari? . Dan jika anda nak makan supplemen lain utk menyusu adakah ianya lebih selamat dari alfalfa yang dah ada kajian dibuat keatasnya dan terkenal sebagai galactagogue herbs.
    Dan mengikut senarai rujukan yang dr beri journal2 itu adalah yang berkaitan dengan mereka yang sakit dan makan alfalfa. Dan juga seperti yang dr tulis yang banyak memberikan keburukan adalah benih alfalfa bukan daunnya . segala side effect pula adalah berkemungkinan kerana tiada bukti yang sahih dan nyata .
    Ssuplemen adalah untuk kita membina kesihatan bukan merawat ia memberi badan kita vitamin tambahan yang kita tidak dapat dari pemakanan seharian. Jadi pengambilannya haruslah dengan tujuan yang betul .
    Jadi kesimpulannya alfalfa tidak memberi kemudaratan kepada penggunannya tetapi jika anda sakit dan perlukan rawatan jumpa dr dan minta nasihat.

  5. risau pulak bila dah tau yang penggunaan alfafa secara berpanjangan mungkin tidak selamat utk ibu menyusu. thanx doc

  6. same dgn faisya, risau utk jangka masa panjang.. actually, 10 bijik tu mmg sgt byk for daily intake.. kdg2 kite bukannye sedar, kite ade sakit ape kan.. so better sy kurangkan intake n akan stop slps anak x menyusu badan. thanks sgt doktor.

  7. apakah pengambilan alfalafa ni sesuai jika baby ada mild eczema?ini krn bby fully breasfeeding dan baby tak tolerate penggunaan botol jadi sebagai ibu saya kena berusaha agar penghasilan susu badan mencukupi kehendak bayi…tapi saya keliru dan was-was untuk ambil sebarang suplemen memandangkan baby daignos ada exzema….saya juga diet lebih kepada sayuran dan buah sahaja kerana berpantang demi bayi .saya risau jika sy akan mengalami kekurangan zat dan vitamin serta mineral…apakah yg sy harus lakukan ?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!