UBAT ‘SAKIT GASTRIK’ UNTUK WANITA HAMIL

“Doktor, saya tak tahan dengan pedih perut dan rasa mahu muntah.. Teruk sangat pembawakan budak kali ini. Ada tak, ubat untuk hilangkan rasa pedih perut, loya dan muntah? ”

“Untuk hilangkan rasa loya dan muntah memang tidak ada, tapi kalau untuk kurangkan rasa loya dan muntah, saya boleh berikan ubatnya. Selagi berada di peringkat awal kehamilan, selagi itulah akan rasa loya dan muntah”

(Pening kepala dan tidak faham dengan dialog di atas? Cubalah bezakan perkataan “hilangkan” dan “kurangkan”.)

Rasa loya dan muntah disebabkan oleh peningkatan hormon hCG yang dikeluarkan oleh uri (placenta). Keadaan ini biasanya akan berlaku pada usia kehamilan di antara 5 hingga 18 minggu. Kebanyakan wanita akan mengalaminya, cuma tahap rasa loya dan muntah itu berlainan pada setiap individu.

Inilah ujian yang ditempuhi oleh wanita yang hamil. Sudah tentu banyak ganjaran yang diperolehi dan banyak dosa yang terampun dengan bersabar ketika hamil. Ujian menjadi lebih berat apabila mereka juga mungkin mengalami dyspepsia.

“ Doktor, sebelum hamil saya tidak pernah mengalami gastrik. Macam tak percaya pula bila ada doktor yang mengatakan saya mengalami gastrik ketika hamil”

Dyspepsia di kalangan wanita hamil boleh berlaku dengan mudah apabila asid dalam perut tiba-tiba naik ke atas saluran pemakanan oesophagus dan menyebabkan ‘pedih ulu hati’ (heartburn). Oleh itu kadang kala ia dikenali sebagai reflux dan boleh dialami oleh kebanyakan wanita hamil.

Ketidakselesaan ini akan bertambah parah apabila wanita itu sudah pun mengalami peptic ulcer disease sebelum hamil. Orang kita mengenalinya sebagai “sakit gastric”.

Mengapa ia mudah berlaku pada wanita hamil?

Kebiasaannya terdapat otot di hujung saluran pemakanan oesofagus. Otot ini dinamakan Lower Esophageal sphincter (LES) berada di sempadan antara perut (stomach) dan saluran pemakanan esophagus. Ia berfungsi menghalang makanan yang diproses di dalam perut tidak masuk semula ke dalam oesophagus.

Ketika hamil, kesan hormon reproduktif menyebabkan LES menjadi lembut dan menyebabkan ‘kebocoran’ ketika makanan diproses dalam perut. Ini bermakna makanan yang diproses bersama asid akan keluar dari perut dan naik semula ke dalam esophagus. Asid ini akan menyebabkan rasa pedih di hulu hati atau di belakang tulang dada.

Saiz bayi di dalam rahem yang semakin membesar juga  menyebabkan perut tidak dapat menjalankan proses penghadaman dengan baik.

Selain rasa pedih di hulu hati (heartburn), pesakit boleh mengalami rasa tidak selesa di bahagian atas abdomen, rasa loya dan mahu muntah, mudah kembung perut dan rasa cepat kenyang selepas makan. Tanda-tanda ini boleh datang sesekali atau akan ada sepanjang masa.

Banyak petua-petua yang diberikan oleh doktor yang boleh diamalkan untuk mengurangkan kesakitan di bahagian ulu hati ini. Antaranya :

1. Menjaga pemakanan

Ada makanan dan minuman yang boleh menyebabkan dyspepsia menjadi bertambah teruk. Antaranya ialah segala rempah, makanan pedas, berminyak, minuman panas, kopi dan arak. Cuba elakkan makan dalam kuantiti banyak.

2. Jauhi asap rokok

Nikotine dakam asap rokok boleh menyebabkan dyspepsia menjadi teruk, tidak kiralah anda perokok atau perokok sekunder , iaitu menghisap asap dari orang yang merokok

3. Kedudukan badan yang baik

Banyak berbaring dan membongkok ke hadapan akan menyebabkan dyspepsia bertambah teruk. Duduk dan berdirilah dengan tegak.

4. Masa tidur

Jika dyspepsia berlaku ketika waktu malam, pastikan tidak makan atau minum 3 jam sebelum tidur. Tinggikan kepala dengan menggunakan bantal 10-15 cm dari paras dada.

5. Tinggalkan ubat penahan sakit

Ada ubatan yang menyebabkan reflux dan dyspepsia bertambah buruk. Antaranya ialah ubat penahan sakit, NSAID seperti ibuprofen atau aspirin. Sekiranya masih perlu mengambil ubat-ubatan ini, pastikan anda berbincang dahulu dengan doktor yang bertugas.

Jika telah melakukan petua-petua ini tetapi masih tidak mendapat kelegaan, maka bolehlah mengambil ubat yang diberikan oleh doktor. Keperluan memakan ubat ialah apabila kesakitan tidak dapat ditahan lagi.Yang menjadi persoalannya ubat yang mana sesuai untuk wanita yang hamil?

Ubat yang selamat digunakan ialah antacids, iaitu ubat kunyah yang diperbuat dari calcium carbonate dan boleh dibeli secara over the counter (OTC) di farmasi. Ia sangat cepat, berkesan dan mudah dibawa.

Ada antacids yang mengandungi magnesium hydroxide atau magnesium oxide yang juga boleh digunakan. Ia berbentuk sama ada cecair atau tablet.

Cuma masalahnya apabila kita menelan cecair (walaupun air suam yang diminum untuk menolak tablet ke dalam perut pun), akan menyebabkan perut kita mengeluarkan asid (digestive juices). Ini akan menambahkan lagi kandungan asid dalam perut yang mana sepatutnya dikurangkan.

Antacid ini bertindak me’nutralise’kan asid yang berada dalam perut dan dengan serta-merta akan mengurangkan pedih dalam perut. Namun kelegaan ini tidak lama, kerana dari masa ke semasa, perut kita akan terus mengeluarkan gastric juice yang mengandungi asid.

Bagi wanita hamil yang menghadapi masalah sembelit, cuba elakkan menggunakan antacids yang mengandungi aluminum hydroxide atau aluminum carbonate. Bahan aluminum ini akan menyebabkan sembelit.

Manakala antacid yang mengandungi sodium bicarbonate dan sodium citrate, tidak sesuai digunakan oleh wanita hamil kerana ia akan menyebabkan water retention, iaitu bengkakan pada tubuh dan kaki kerana berlebihan air di dalam badan.

Selain itu, antacid boleh mengganggu penyerapan tablet iron, yang diberikan untuk meningkatkan kepekatan tahap haemoglobin dalam darah.

“Saya sudah cuba ubat kunyah untuk kurangkan asid. Ubat kapur warna putih sudah saya cuba, tapi tidak berkesan..”

Saya sendiri amat berhati-hati dengan ubat-ubatan yang lebih baik daripada antacid bagi melegakan reflux (sakit ulu hati) di kalangan wanita hamil.

Walaupun ubat antacid bertindak cepat tetapi ia hanya untuk sementara sahaja. Acid yang dikeluarkan secara berterusan di dalam perut akan menyebabkan kesakitan berulang.

Oleh itu adakalanya doctor akan memberikan ubat “Acid Reducers” yang lebih baik. Jika ubat antacid hanya bertindak meneutralkan asid yang sedia ada dalam perut, “acid reducer” pula bertindak menghalang pengeluaran asid dari dinding perut. Oleh itu kepekatan asid dalam perut tidak bertambah.

Jadi jangan terperanjat jika dalam kes-kes yang agak teruk, doktor akan memberikan antacid bersama dengan acid reducer, untuk memberikan kelegaan yang serta-merta dan mengurangkan pengeluaran asid sehingga 12 jam. Oleh itu acid reducer harus diambil secara berkala, bukan seperti antacid yang perlu diambil hanya ketika perut berasa pedih.

(Rujuk : Rayburn W, Liles E, Christensen H, et al. Antacids vs. antacids plus non-prescription ranitidine for heartburn during pregnancy. Int J Gynaecol Obstet 1999;66:35–37.)

Walaubagaimanapun tidak semua acid reducer boleh diberikan kepada wanita hamil. Antara acid reducer yang digunakan ialah ranitidine. Ia telah diberikan sejak begitu lama oleh doktor kepada wanita hamil yang mengalami masalah ‘gastrik” yang teruk.

Namun belum terdapat laporan yang menunjukkan kesan sampingan ranitidine pada wanita hamil atau bayi yang dilahirkan. Oleh itu ia dianggap selamat.

Nota : Ranitidine tidak mendapat kebenaran untuk diberikan kepada wanita hamil bukan kerana ia merbahaya kepada mereka, tetapi kerana pihak pengeluar farmaseutikal tidak menjalankan ujikaji kesan ranitidine terhadap wanita hamil.

(Rujuk :Treating Gastro-Oesophageal Reflux Disease During Pregnancy and Lactation: What are the Safest Therapy Options? Broussard C.N.; Richter J.E. Drug Safety, Volume 19, Number 4, October 1998 , pp. 325-337(13))

Selain ranitidine, Omeprazole merupakan satu lagi ubat yang dianggap selamat digunakan untuk wanita hamil. Seperti ranitidine, ia juga harus diambil secara berkala sebanyak dua kali sehari.

Hanya ranitidine dan omeprazole yang dianggap selamat bagi wanita hamil jika mereka mengalami dyspepsia dan acid reflux. Itu pun setelah mendapat nasihat doktor. Ubat-ubat seperti cimetidine, esomeprazole, lansoprazole dan pantoprazole tidak digunakan kerana kesan sampingannya kepada ibu hamil tidak diketahui.

(Rujuk : Tytgat GN, Heading RC, Müller-Lissner S, et al. Contemporary understanding and management of reflux and constipation in the general population and pregnancy: a consensus meeting. Aliment Pharmacol Ther 2003;18:291–301.)

Ranitidine dan Omeperazole dikategorikan oleh FDA sebagai kategori B, iaitu ujikaji yang dijalankan ke atas haiwan di makmal di mana ia tidak menunjukkan kemudharatan bagi haiwan-haiwan itu. Ia juga tiada data yang menunjukkan kemudharatannya kepada manusia.

Tetapi Ranitidine boleh dikeluarkan melalui susu ibu. Oleh itu American Academy of Pediatrics memberitahu bahawa acid reducer, seperti cimetidine, lebih sesuai untuk wanita yang menyusukan anaknya. Sekali lagi, farmaseutikal yang mengeluarkan ubat memberikan amaran agar berhati-hati memberikan ranitidine pada ibu yang menyusukan anaknya.

Lebih selamat jika acid reducers tidak dibeli secara “over-the-counter” di farmasi dan digalakkan anda mendapatkan preskripsi dari doktor.

Wallahu a’lam.

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (110711)

Rujukan lain:

  1. Calhoun BC. Gastrointestinal disorders in pregnancy. Obstet Gynecol Clin North Am 1992;19:733–44.
  2. Olans LB, Wolf JL. Gastroesophageal reflux in pregnancy. Gastrointest Endosc Clin N Am 1994;4:699–712.
  3. Baron TH, Ramirez B, Richter JE. Gastrointestinal motility disorders during pregnancy. Ann Inter Med 1993;118:366–75.
  4. Wald A, Van Thiel DH, Hoechstetter L, et al. Effect of pregnancy on gastrointestinal transit. Dig Dis Sci1982;27:1015–18.
  5. Everson GT. Gastrointestinal motility in pregnancy. Gastroenterol Clin North Am 1992;21:751–76

14 comments

  1. salam doktor,saya baru mengalami keguguran pada bulan 5 yg lepas,selepas itu haid saya kembali normal dan pada hari yg ke 8 period saya telah bersama suami,selepas itu diikuti pada hari yg ke 20 menstrual.tapi suami saya hanya membuang air maninya diluar sahaja tanpa memasukan dalam vagina saya,dia hanya membuang dipusat saya dan diaatas perut sahaja,dan semasa membasuhnya juga saya sgt berhati2.tp npe saya brasa pening2,dan payudara terasa membengkak selepas bersama denganya baru 2 hari?adakah saya mengandung?tp bkn ke hari subur pd 14-18 hari menstrual?

    • wsalam, rasa pening dan payudara membengkak adalah tanda-tanda yang terlalu subjektif menunjukkan seseorang itu hamil. Lakukan pemeriksaan UPT.

  2. Salam doktor,
    Saya berusia 33 tahun dan kini mengandung anak pertama berusia 7 bulan. Sepanjang pengalaman saya mengandung, gastrik menjadi teman setia saya walaupun saya tidak pernah mengalami gastrik sebelum ini.Semua pil vitamin asid folik, vitamin B Complex dan Iron tablet tidak boleh dihadam oleh perut saya. Saya bertukar vitamin kepada Iberet Folic yang dibeli dari Farmasi, namun mengecewakan juga. Saya memuntahkannya selepas sejam dua saya mengambil vitamin itu. Beberapa kali saya ke klinik dan hasilnya masih sama sehingga kini saya masih mengalami gastrik.Doktor ada memberkan saya antacid tetapi kesannya hanya sementara. Kini hemoglobin saya menurun 8.2gm dan jika saya perhatikan najis saya hitam. Saya tidak pasti apa lagi yang perlu saya lakukan.Semua jenis susu saya tidak boleh minum kerana ia akan keluar semula setelah beberapa ketika saya minum.Apa yang perlu saya lakukan untuk menyelesaikan masalah gastrik saya? Terima kasih atas perhatian doktor.

  3. assalamualaikum..doktor sy nak tanya cara pengambilan pil zat besi supaya ia memberi kesan yang efektif dalam menambah kepekatan hb..adakah ia diambil sewaktu perut kosong atau selepas makan?

  4. assalam doc, sy ada sejarah gastrik dan skrg sy mengandung 6 bulan. minggu lepas secara tiba2 saya diserang sakit yg amat sanagt di bhgn kiri perut dan bhgn atas perut dibawah dada. saya rujuk ke hosp dan saya telah ditahan di wad. doc suspect gastrik saya telah menyerang kembali. ketika saya dalam keadaan yang sakit teramat sangat doc telah berikan saya ubat penahan sakit dibahagian punggung dan rasa sakit semakin menghilang. ketika keluar wad sya dibekalkan antacid dan ritidine. sy ingat bertanya disini, selepas ubat tersebut saya habiskan seminggu perlukah saya continue kembali atau stop sampai situ sahaja. ada kebarangkalian lagi tak sakit tu akan berulang? terima kasih doc

  5. Salam, hi dr, saya mengandung 7bulan & mengalami pedih & sakit dibahagian kanan bawah dada. adakah ia pedih hulu ati atau gastrik. Saya dh mengalaminya selama beberapa minggu. Dalam semua keadaan saya akan berasa sakit. baring, berdiri n duduk. dan sakitnya sepanjang masa. sakitnya seolah2 ade luka dalam perut saya & amat menyakitkan. ape yg perlu saya buat untuk kurangkan kesakitan ini. walau ape pun saya makan, sakitnya ttp sama.

  6. Salam doc,sy ade msalah gastric Dan sy makan ubat jenis GASTROVEX AVEX,bile sy buka web mengenai ubat ini,sy bace org mengandung Dan menyusukan anak xblh Mkn….masalahnye skrg sy da Mkn Dan sy menyusukan anak yg berusia 1tahun 4bln….ape kesan nye pd anak sy??

  7. aslmlkum…doc….saye telah berkhawin 2tahun n baru dsahkan mgandung…..baru2 ini saye mgalami alahan,demam batuk n gastrik….dan berjumpa doktor….doktor telah berikan ubat gastrik….2 minggu lps tu xok lg…than saye pergi ke klinik berlainan saye meyuruh doc check sama ade sy preggy…than doc pon check air kencing…..die kata saye xmgandung….padahal ketika itu saye sudah mgandung hampir 2minggu….dan die bg saye ubat gastrik lg….saye baru scan kandungan saye skrg baru 6 minggu….adakah ubat2 itu memberi kesan sampingan kepada kandungan saye….saye begitu susah hati kerana saye mdapat tahu setengah ubat gastrik memberi kesan sampingan….adakah saye perlu mbuang kandungan saye…hope doc dapat memberi penjelasan…n saye juga saya amat suka makan makanan pedas n susu kambing adakah die mberi effct pada kandungan saya….

  8. robiana yatam@abdullah

    salam doc..sy nak tanya..sy hamil ank ke 2..lama da sy menantikan ank ke 2..akhirnya dapat juga..tetapi masa sy hamil ank sy ke 2..rasa macam len sangat..mcm sy gastrik..sakit ulu hati..sy risau kalo terjadi sma ank sy..dan takut mkn ubat sembarangan..soalnya sy sgt sensitif ngan ubat..harap doc dpt pnjelasan..tq doc

  9. rozita muhd zubri

    Salam,doc sy baru mengandung bby yg ke 4,sy memng ada gastrik,kandungan sy baru msk 2 bulan,ada ke ubat tuk org mengandung yg ada masalah gastrik doc mcm sy ni,tq doc

  10. Akum doc?saya ingin bertny sedikit kid doc…saya skrg mengandung Kali 2..pandangan saya bru nk masuk ke 7 mgu…kandungan yg pertama dlu ketika usia kandungan 6 mgu…ketika itu saya tidak mengelami alahan lngsng.Kali ini alahan saya sgt teruk…saya mengidap gastrik..Dan saya muntah-muntah berpanjangan…saya juga telah dimasukkn ke hospital kerana kekeringan air.bagaimana saya harus tangani mslh gastrik inI?

    • SALAM doktor saya ingin bertanya, saya skrg hamil kali kedua, sekarang usia kehamilan 7 minggu. Kehamilan lalu saya tidak mengalami alahan (morning sickness) langsung. Kali ini alahan saya sangat teruk. saya juga mengidap gastrik dan mengalami muntah-muntah berpanjangan. Saya pernah dimasukkan ke hospital kerana kekeringan air. Bagaimana saya harus tangani masalah gastrik ini?

      Dr Zubaidi: Puan harus berjumpa dengan doktor dan akan diberikan ubat untuk mengurangkan rasa mahu muntah, agar puan mampu menjamah sedikit makanan bagi mengelakkan sakit ulu hati.

  11. Suraya Sulaiman

    Salam doc,
    i’ve one question which i already ask byk doc. but tiada jawapan.now im pregnant 33weeks.

    Problem yg saya face now adalah burning atas skin belah kanan bah. atas perut(between breast and stomach)which rasa mcm luka,mcm terik,i cant sleep mengiring belah kanan even duduk lama pun feel sgt2 sakit and pedih.

    i try check if ada dryness kat that area,tp i couldnt find it.its not heartburning.
    bila saya ask doc,they said its normal and it call heartburning.but it is not gastrik.i dont know how to explain,coz its external burning.

    mcm mana doctor?i need ur advice.is it due to dryness and stretching doc?Its getting worst now. :(
    i hope doctor can give me any advice or solution.

    Thank You Doc.

Leave a Reply to fidaCancel reply

error: Content is protected !!