Saya telah diundang berceramah beberapa tahun oleh sebuah badan NGO. Slot ceramah saya berkaitan dengan penyakit wanita pada usia 40an. Mulanya ada seorang doktor wanita yang akan menyampaikannya. Namun atas sebab yang tidak boleh dielakkan, saya terpaksa menggantikan beliau di saat-saat akhir.
Memandangkan saya mempunyai masa yang agak terluang, lalu saya bersetuju. Di akhir ceramah saya ditanya mengenai tips pemilihan tuala wanita yang selamat dan adakah tuala wanita yang dijual di pasaran sekarang boleh menyebabkan penyakit kanser. Kebetulan pada masa itu telah menjadi isu viral tentang tuala wanita boleh menyebabkan kanser pangkal rahim.
“Betulkah doctor, tuala yang banyak dijual di pasaran sekarang tidak selamat dan boleh menyebabkan kanser?” soal salah seorang peserta.
Saya menjawab ringkas, “setakat ini tiada kajian yang mengaitkan tuala wanita dengan kanser pangkal rahim. Kebanyakan jangkitan disebabkan oleh jangkitan virus yang dikenali sebagai Human papillomavirus (HPV). Selain kanser pangkal rahim, ia menyebabkan kanser dubur (anal cancer)”
Nampaknya penjelasan saya diterima dengan baik.
Tuala wanita yang dijual secara komersial sebenarnya selamat digunakan. Ia adalah bahan penyerap yang dipakai oleh seorang wanita atau gadis untuk menyerap aliran darah dari kemaluannya. Ia digunakan ketika seorang wanita sedang mengalami haid, atau selepas pembedahan faraj, atau selepas melahirkan anak, atau selepas pengguguran, atau dalam mana-mana keadaan lain di mana terdapat pendarahan yang banyak keluar dari faraj.
Sejarah penggunaan tuala wanita juga bukanlah baru. Beribu tahun dahulu, para wanita bangsawan menggunakan kain yang khas, manakala wanita dari golongan yang miskin menggunakan sebarang kain untuk menyerap darah haid mereka. Kain-kain ini dicuci dan kemudian digunakan semula.
Tuala wanita dijual secara komersial pada tahun 1896 di Amerika Syarikat oleh Johnson & Johnson dan diberikan jenama Lister’s Towels menggunakan kain biasa. Tidak berapa lama kemudian Kotex menggunakan bahan pulpa kayu yang yang dialas dan dibalut dengan kain dan dijual secara komersial pada tahun 1921. Pulpa kayu digunakan kerana ia mudah didapati, murah dan dapat menyerap darah dengan banyak.
Pada masa itu pasaran tuala wanita yang dijual secara komersial masih lagi terhad dan ramai wanita pada masa dahulu menggunakan kain yang lebih murah, boleh digunakan semula dan lebih murah.
Masalah yang timbul dengan penggunaan tuala wanita yang komersial ini ialah bentuknya terlalu besar sehingga setebal 2cm. Ini menyebabkan tuala wanita itu tidak berkesan untuk menampung darah yang diserap, lalu darah haid akan keluar dan bocor.
Maka pengeluar memperkenalkan bentuk baru yang mempunyai “sayap”. Bagi mengurangkan ketebalan tuala wanita ini, pengeluar menggunakan bahan seperti sphagnum dan polyacrylate iaitu penyerap cecair yang sangat berkesan diperbuat dari industri perhutanan dan petroleum.
Sphagnum adalah tumbuhan yang berkebolehan menyerap cecair dengan banyak. Dalam teknologi moden, pulpa dari tumbuhan ia dilunturkan dengan bahan kimia klorin, dengan ini saiz tuala wanita itu tidak menjadi terlalu tebal. Selain itu gel polyacrylate yang diproses dari industri petroleum dicampurkan untuk menyerap darah dengan cepat. Polypropylene juga digunakan sebagai pelapis luar pada tuala wanita ini agar ia tidak bocor.
Namun begitu terdapat dakwaan oleh badan yang memperjuangkan hak pengguna, yang mengatakan bahawa tuala wanita yang komersial ini, juga diperbuat dari bahan-bahan yang lebih berbahaya.
Antara dakwaan mereka adalah:
1. Dioksin: Proses pelunturan menggunakan bahan dioksin adalah lebih berbahaya. Walaupun kandungan bahan ini pada tuala wanita adalah rendah, ia masih berbahaya kerana kesan pengumpulan dioksin pada kulit ( di bahagian kemaluan) dikhuatiri boleh menyebabkan penyakit radang pelvik, kanser ovari, kerosakan sistem imun, hormone yang tidak stabil, masalah kesuburan, penyakit kencing manis dan penyakit tiroid.
2. Rayon: Selain daripada sphagnum dan kapas, rayon juga merupakan satu lagi polimer sintetik yang ditambah kepada tuala ini untuk meningkatkan keupayaan menyerap darah. Rayon juga mempunyai dioksin di dalamnya.
3. Racun perosak dan Racun Rumpai: Racun-racun ini disemburkan dan kekal berada pada tanaman kapas. Antara bahan-bahan yang berbahaya dan diharamkan yang didakwa ditemui dalam tuala wanita ialah octachlorinated dioksin (OCDD), hexachlorodibenzofuran (HxCDF) dan chlorodibenzofuran (OCDF). Ini dikaitkan dengan kesan-kesan seperti ketidaksuburan, gangguan hormon, kerosakan tiroid, diabetes, endometriosis dan kemurungan.
Saya secara peribadi tidak yakin bahan-bahan ini boleh memudaratkan kerana setiap pengeluar dan kilang harus mematuhi piawaian pengilangan pada setiap negara. Penyerapan bahan-bahan toksik yang berkepekatan rendah ini tidak memberikan kesan sampingan yang signifikan terhadap kesihatan seorang wanita. Namun saya tidak menafikan sebahagian kecil wanita yang sensitif, mungkin mengalami masalah dengan pemakaian tuala wanita yang komersial.
Namun begitu, tuala wanita yang mengandungi bahan-bahan sintetik boleh menyebabkan kawasan kemaluan menjadi lembap kerana ia menghalang peredaran udara di situ sehingga menyebabkan pertumbuhan kulat dan bakteria.
Menggunakan tuala wanita untuk tempoh yang panjang (melebihi 4 jam) boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria staphylococcus aureus dalam faraj. Bakteria ini yang menyebabkan pengeluaran toksin beracun ke dalam aliran darah. Bahan toksin ini boleh menyebabkan kejatuhan menyebabkan masalah “Toxic Shock Syndrome”. Tanda-tanda pesakit yang mengalami masalah ini ialah demam, menggigil, pucat, letih, cirit-birit, muntah-muntah, ruam, pening, dan akhirnya boelh membawa maut.
Oleh kerana rakyat Malaysia sangat prihatin terhadap penggunaan tuala wanita dan mereka kerap menukarkannya. Jadi masalah “Toxic Shock Syndrome” ini jarang berlaku. Malah tiada kajian klinikal yang mengesahkan penggunaan tuala wanita ini dengan penyakit-penyakit seperti penyakit radang pelvik, kanser ovari, kerosakan sistem imun, hormone yang tidak stabil, masalah kesuburan, penyakit kencing manis dan penyakit tiroid.
Bagi wanita yang terlalu bimbang dengan penggunaan tuala wanita moden yang dijual secara komersial, saya mencadangkan penggunaan tuala wanita yang diperbuat daripada kain atau yang mengandungi herba yang dijual secara komersial.
Bagi hari-hari awal kedatangan haid, di mana banyak darah haid yang keluar, saya mencadangkan tempuh pengunaan tidak lebih dari empat jam kerana jumlah darah haid yang keluar mungkin terlalu banyak. Bagi hari terakhir atau apabila darah haid yang keluar semakin sedikit, bolehlah menukarkannya setiap 6 jam. Tukar sebelum tidur. Jangan gunakan terlalu lama kerana ia boleh menyebabkan pembiakan kulat dan bakteria.
Kebanyakan tuala wanita yang mengandungi herba dan dijual dengan pelbagai jenama biasanya mengandungi herba bagi tujuan melepaskan wap herba antiseptik untuk mengurangkan kuman yang menyebabkan keradangan dan kegatalan di sekitar kemaluan. Ia juga mungkin mengandungi herba dirumus khas untuk membuat kawasan tersebut berasa sejuk dan wanita itu berasa selesa.
Kesan herba pada tuala wanita itu tidaklah sehebat herba yang diambil sebagai minuman atau tablet/kapsul. Ini kesan dos herba yang ada pada tuala wanita adalah kecil dan penyerapannya melalui kulit di sekitar kemaluan adalah perlahan berbanding dengan herba yang dimakan atau diminum.
Oleh itu bagai wanita yang sering mengalami kegatalan dan ruam semasa menggunakan tuala wanita moden yang komersial, mungkin boleh menggunakan tuala wanita herba atau tuala wanita yang diperbuat dari kain kapas.
Kesimpulannya penggunaan tuala wanita yang biasa dijual secara komersial di pasaraya telah cukup asalkan wanita itu memilih jenis tuala wanita yang sesuai dengan dirinya dan tidak menggunakannya dalam tempoh yang lama.
Wallahu a’lam.
KONSULTASI BERSAMA DR ZUBAIDI
Jika berminat mendapatkan konsultasi 20 minit bersama Dr Zubaidi, boleh klik di link ini
MODUL KELAS PEMAKANAN PESAKIT KANSER
Pelajari dan ketahui pemakanan yang baik dan tidak baik kepada pesakit kanser melalui Modul Kelas Kanser dan Pemakanan oleh Dr Zubaidi