Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bayi/Kanak-kanak » MEMANDIKAN BAYI YANG BARU LAHIR

MEMANDIKAN BAYI YANG BARU LAHIR

MEMANDIKAN BAYI YANG BARU LAHIR

Bagi pasangan muda, tentu agak teragak-agak untuk memandikan anak yang baru dilahirkan. Mereka perlu mendapat tunjuk ajar dari ibu atau bidan yang berpengalaman.

Namun memandikan bayi sebenarnya bukan setakat membersihkan tubuh si kecil. Apa yang penting ialah ibubapa dapat meluangkan masa berkualiti bersama dengan si bayi. Walaupun si bayi masih kecil, namun bahasa tubuh dan sentuhan yang diberikan ketika membersihkan bayi memberikan isyarat kasih sayang.

Ketika dimandikan sentuhan yang diberikan memberikan rangsangan yang cukup berkesan bagi bagi dalam meningkatkan sistem ketahanan tubuh dan keyakinan diri pada si bayi. Bayi yang berkeyakinandiri selalunya akan lebih ceria, lebih berani mencuba dan belajar dan tidak mudah meragam.

Oleh itu jika ada peluang dan kesempatan, mandikanlah bayi kita sendiri kerana ia akan mengeratkan kasih sayang dan memberikan kesan emosi yang positif pada bayi kita.

Pastikan kita meluangkan masa, dan bukan melakukannya dengan tergesa-gesa. Memandikan bayi, bukan setakat memberishkan bayi, tetapi harus disertakan dengan dakapan kulit ke kulit, iaitu sentuhan kulit bayi dengan kulit ibu tanpa dihalang oleh pakaian.  Sentuhan ini juga akan merangsangkan pengeluaran hormone oxytocin dalam tubuh, yang amat penting bagi bayi mendapat rasa tenang, dan disayangi oleh ibubapa mereka.

Berhati-hati ketika memandikan

Bayi berusia satu bulan ke bawah perlukan perhatian yang lebih ketika ia dimandikan kerana mempunyai kulit yang masih kurang matang. Kulit mereka sangat sensitif pada kualiti air dan sabun yang digunakan. Bayi yang berusia melebihi enam bulan lebih senang dimandikan berbanding dengan bayi yang berusia enam bulan ke bawah.

Masalah yang biasa dihadapi oleh ibubapa muda yang pertama kali memandikan bayi mereka ialah perasaan takut dan tidak yakin untuk memandikan bayi mereka yang bertubuh kecil.

Mereka bimbang akan mencederakan bayi mereka ketika membersihkan tubuh bayi atau bayi yang dimandikan terjatuh ke lantai dan menyebabkan cedera di kepala.  Masalah ini dapat diatasi jika ibubapa baru ini diberikan penerangan dan latihan oleh jururawat atau bidan terlatih, sebelum bayi dilahirkan.

Selain itu ibubapa sekarang boleh mempelajari teknik memandikan bayi yang diajarkan oleh bidan terlatih di dalam media youtube.

Memandikan bayi kelihatannya mudah tetapi ia harus berhati-hati. Ini disebabkan oleh kesan suhu air boleh menyebabkan kemudaratan. Bayi yang usia enam bulan ke bawah, wajib dimandikan menggunakan air suam, karena air sejuk boleh menyebabkan bayi mengalami hipotermia. Keadaan ini mungkin jarang berlaku di Malaysia kerana iklim Malaysia yang panas. Namun ia sering berlaku di negara sejuk.

Hipotermia adalah keadaan di mana suhu tubuh yang menurun secara mengejut kerana lapisan kulit bayi yang masih terlampau tipis. Ia akan menyebabkan membuat bayi lupa cara bernafas dan ini sangat berbahaya kepada bayi. Bayi akan mengalami kebiru-biruan pada mulut, menandakan bayi itu tidak menarik nafas secukupnya. 

Sebelum meletakkan bayi ke dalam bekas mandian, pastikan air yang digunakan untuk mandi adalah air suam dan bukannya air yang panas. Letakkan air sejuk dahulu kemudian tambahkan air panas. Kacau air untuk memastikan tidak ada mana-mana kawasan dalam bekas mandian itu yang masih panas bagi mengurangkan risiko bayi yang dimandikan mengalami lecuran.

Untuk memastikan air itu benar-benar suam, kita boleh membeli termometer di kedai ubat atau farmasi untuk memeriksa suhu air mandi. Pastikan air mempunyai suhu  antara 30 derjah celsius, karena suhu itu dianggap cukup hangat dan selesa bagi kulit dan paru-paru bayi. Bagi bayi yang berusia melebihi enam bulan, boleh gunakan air yang mempunyai suhu 37-38 darjah Celsius, iaitu kira-kira suhu badan.

Jika tiada termometer, cara yang cepat untuk memastikan suhu air sesuai digunakan ialah dengan cara menggunakan siku, bukan menggunakan tangan. Ini kerana siku lebih sensitif daripada telapak tangan. Air yang digunakan seharusnya tidak berasa panas atau sejuk.

Jika ibubapa berada di negara sejuk, pastikan selepas bayi diangkat dari bekas mandian, diselimut dengan tuala yang selesa. Ini kerana, walaupun bayi dimandikan dengan air yang panas, bayi boleh mengalami kehilangan haba dari badan sebaik sahaja anda mengambil dia keluar dari air dengan cepat.

Bayi yang telah dimandikan haruslah dibalut dengan tuala yang mempunyai penutup kepala. Tepuk perlahan-lahan tuala ke badan bayi, bukannya menggosok tuala kerana kulit sesudah mandi, kulit bayi menjadi lebih lembut dan mudah luka jika digosok dengan tuala.  Sebelum memakaikan lampai dan pakaian pada bayi, elok juga ibubapa memeluk bayi dengan perasaan kasih sayang  antara 5-10 minit.

Waktu terbaik untuk memandikan bayi

Waktu memandikan bayi tidak berapa penting, malah boleh memandikan bayi waktu malam, asalkan menggunakan air yang suam.  Cuma pastikan jangan mandikan bayi di waktu sepatutnya bayi tidur. Boleh kejutkan bayi jika pada waktu itu jika bayi perlu dimandikan.

Langkah-langkah mudah memandikan bayi:

• Sebelum mengambil bayi untuk dimandikan, sediakan air dalam bekas mandian dulu. Letakkan air sejuk dahulu, kemudian tuangkan air panas, untuk memastikan air dalam bekas mandian menjadi suam.

• Jika ada thermometer, gunakannya untuk memeriksa air dalam bekas mandian kira-kira 30-37 darjah Celsius. Jika tiada thermometer, boleh gunakan siku anda, dan bukannya tangan anda, untuk mengukur suhu air. Ia sepatutnya tidak panas atau sejuk.

• Untuk bayi yang berusia kurang enam bulan, isikan bekas mandian sehingga mencapai kedalaman air sehingga bahu bayi dapat ditenggelamkan ketika beliau berbaring di bekas mandian. Ini memastikan air dalam bekas mandian cukup untuk memandikannya. Bagi bayi yang boleh duduk, jangan isikan mandi melebihi paras pinggang tinggi (ketika bayi dalam keadaan duduk).

• Setelah menanggalkan pakaiannya, periksa lampin bayi bagi memastikan lampin bayi tidak penuh dengan air kencing atau najis. Jika terdapat ada najis atau air kencing pada lampin, bersihkan punggung dan alat kelamin bayi sebelum meletakkan bayi ke dalam bekas mandian.

• Secara perlahan-lahan baringkan bayi ke lantai bekas mandian.Gunakan satu tangan untuk menyokong leher dan kepalanya, dan satu lagi anda untuk menyokong bahagian belakang bayi.

• Apabila bayi sudah dibaringkan, kekalkan tangan bagi menyokong leher dan kepalanya, sementara satu lagi tangan untuk membersihkan bayi.

• Bersihkan bayi dengan air. Tidak semestinya menggunakan sabun kerana kulit bayi ada kalanya sensitif terhadap sabun yang digunakan.

Jika mahu gunakan sabun, cari sabun dalam bentuk cecair yang lembut dan tidak mengandungi pewangi. Paling baik gunakan sabun yang mempunyai pH neutral. Jika kulit bayi anda terasa kering atau kemerahan, anda boleh mencampurkan sedikit emolien mandi ke dalam air mandian. Namun kena berhati-hati kerana emolien boleh membuatkan kulit menjadi licin, dan kita boleh terlepas pegangan semasa bayi sedang dimandikan.

• Gunakan jari dan tangan anda untuk membersihkan bayi, bermula dari bahagian atas ke bahagian bawah dan dari bahagian depan ke bahagian belakang. Pastikan kelengkang dan kemaluan bayi digosok secara lembut.

• Setelah selesai, angkat bayi dari bekas mandian, dan terus balut bayi dengan tuala yang lembut dan kering. Guna tuala yang mempunyai tutup kepala. Tepukkan tuala secara perlahan-lahan ke badan bayi, bukan menggosok atau menyapu tuala ke badan bayi.

• Bawa bayi ke bilik untuk diberikan pakaian, dengan memeluk dan mengekalkan balutan tuala pada tubuhnya bagi memastikan tubuhnya panas.

Bagi bayi yang baru dilahirkan, baringkan bayi di atas tilam di lantai. Gunakan kapas atau tuala lembut dan air suam untuk membersihkan dan mengeringkan mata, muka, leher dan bahagian tali pusat.

Bahagian tali pusat hendaklah dibersihkan dan dikeringkan setiap hari bagi mengelakkan jangkitan kuman. Boleh gunakan antiseptic yang dibekalkan oleh pihak hospital. Jika kehabisan, gunakan air suam yang bersih dan pastikan ia sentiasa kering.

Selalunya tali pusat akan tanggal dalam masa sehinggu hingga dua minggu dan meninggalkan luka yang mengambil masa beberapa hari untuk kering.

• Jika kulit bayi kelihatan kering, boleh sapukan pelembap yang sesuai. Pakai pakaian yang bersih dan tidak terlalu ketat. Jangan lupa berikan ciuman pada dahi bayi bagi menyatakan kita menyayangi dia.

Bayi yang sedang dimandikan tidak boleh ditinggalkan bagi menjawab telefon atau menutup api di dapur. Oleh itu pastikan kita tidak memasak apa-apa makanan atau menjerang air di dapur. Panggilan telefon boleh diabaikan kerana selalunya panggilan yang tidak dijawab akan terpapar di telefon bimbit kita.

Jika ada orang mengetuk pintu atau merasakan perlu menjawab telefon, angkat bayi dari bekas mandian, balutkan bayi dengan tuala tuala dan bawa bersama.

Sediakan semua peralatan mandian yang diperlukan untuk memandikan bayi anda sebelum bermula, seperti tuala dan sabun, di tempat yang senang untuk dicapai.

Semoga tips yang diberikan mebantu ibu muda terutamanya untuk memandikan bayi.

Wallahu a’lam

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: