SYUKUR adalah motivasi terbaik

vespa

Saya menganggap diri saya sebagai kurniaan ALLAH yang sangat berharga dan saya sangat bersyukur atas segala pemberian nikmatNYA. Saya bersyukur dengan nyawa, kehidupan, bakat dan rahmat yang diberikan. Saya juga bersyukur dengan jutaan kurniaan yang tidak dapat saya hitung dari mula saya dilahirkan sehingga kini.

Setiap saat, jutaan nikmat, rahmat dan kasih sayang ALLAH yang saya perolehi, menyebabkan saya rasa bermotivasi untuk menunjukkan kesyukuran dengan berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang saya ada untuk dimanfaatkan oleh orang ramai.

Saya menganggap diri saya sebagai bekas pelajar yang biasa dan sederhana. Saya tidak memperolehi ‘straight As’ sebagai mana rakan-rakan saya yang cemerlang dalam akademik mereka.

Saya percaya mereka telah dianugerahkan dengan kecerdikan yang luar biasa, mampu menghafal dengan sekali bacaan, mudah memahami apa yang diajar dengan mudah dan mempunyai daya keyakinan diri yang luar biasa. Mereka adalah manusia yang cemerlang yang mungkin mendapat banyak faedah dari buku ini dengan menjadi manusia yang lebih gemilang.

Saya bukanlah manusia yang dipilih seperti mana yang saya sebutkan tadi, tetapi bersyukur kerana ALLAH. Saya manusia yang biasa dan sederhana, saya bersyukur kerana telah berjaya mengubah diri saya melalui tarbiah kehidupan.

Dari seorang yang biasa dan sederhana, saya telah menjadi orang yang luar biasa dan diberikan tanggungjawab amanah yang berat menjadi seorang doktor. Ia adalah suatu tanggungjawab yang berat dan hanya mampu ditanggung dengan baik oleh orang yang luar biasa.

Mengimbau semula kehidupan saya sebagai pelajar, saya selalu meletakkan diri saya sebagai manusia yang beruntung walaupun pada pandangan kasar, mungkin saya berada situasi yang rugi.

Ramai rakan-rakan saya yang dapat tinggal di asrama. Mulanya saya rasa sedih. Tetapi saya mengakuri bahawa mungkin bukan rezeki saya untuk bersama rakan-rakan di sekolah berasrama, walaupun itu adalah suatu harapan ibubapa saya.

Saya tinggal bersama ibubapa, pergi ke sekolah dengan menaiki bas berhenti-henti, “Southern Johor”, dengan tambang 60 sen ketika itu. Kemudian berjalan kaki selama 15-20 minit dari perhentian bas ke pintu sekolah Maktab Sultan Abu Bakar.

Sepanjang kehidupan saya sebagai pelajar yang tinggal bersama keluarga, ALLAH telah membuka mata hati saya untuk melihat kasih sayang yang ditunjukkan oleh ibubapa saya. Saya mendapat tunjuk ajar mereka hamper setiap hari.

Saya merasai nikmat kasih sayang bonda saya yang menyediakan sarapan saya setiap pagi dan menghantarkan saya sehingga ke pintu rumah setiap kali saya ke sekolah.

Saya bersalam dangan dengan bonda lalu memohon doa dari beliau agar saya menjadi manusia yang berguna pada masa hadapan. Bonda saya akan tersenyum sambil berkata “Insya ALLAH, amen”.

Tidak ini suatu nikmat dan keuntungan?

Setiap hari saya berpeluang melihat ayahanda saya pergi dan pulang bekerja, mengikut shift kerja beliau. Beliau bekerja sebagai buruh di Singapura, terpaksa bertolak awal satu setengah jam sebelum waktu kerja bermula.

Ayahanda saya hanya menaiki motorsikal bagi mengelakkan kesesakan di Pusat Pemeriksaan Immigrasyen di Tambak Johor. Belaiu memilih vespa sebagai kenderaan baliau.

Saya pernah melihat kepayahan beliau untuk pergi kerja. Adakalanya motosikal vespa beliau sukar dihidupkan sehingga peluh mencurah-curah di dahinya. Adakalanya tidak dapat dihidupkan langsung.

Saya hanya dapat menitiskan air mata melihat kesusahan ini dan berharap agar ALLAh berikan kebaikan atas setiap kesukaran yang beliau hadapi ketika mencari nafkah untuk menyara kami.

Saya pernah melihat tangan, kami dan tubuh badan ayahanda saya bercalar-calar dan berdarah kerana terlihat dalam kemalangan jalanraya semasa pulang dari kerja.

Dan ayahanda saya pernah berpesan kerana basah kuyup pulang dari kerja. “Jadilah orang yang lebih barjaya dari abah..”

Semua ini membuatkan saya menitiskan air mata dan sentiasa berazam untuk menjadi manusia yang berjaya.

Tidakkah ini suatu nikmat kasih sayang yang saya perolehi? Tidakkah saya perlu menjadi manusia yang tidak bersyukur?

Leave a Reply

error: Content is protected !!