“Assalamu alaikum. Saya adalah seorang ibu muda berusia 21 tahun dan mempunyai anak sulong berusia setahun dan sudah boleh berjalan. Saya tidak bekerja dan tiada pembantu. Saya tinggal bersendirian. Adakalanya saya amat bimbang hendak meninggalkan anak saya, sama ada untuk buang air, mandi atau memasak. Hanya hanya melakukan perkara-perkara tersebut apabila anak saya telah tidur. Doktor, adakah selamat untuk saya meninggalkan bayi saya tanpa pengawasan semasa saya mandi lima minit? Mohon pendapat doctor. Terima kasih.”
Wa alaikum mus salam. Saya memahami situasi puan yang terpaksa menjaga anak dan menguruskan rumah tanpa pembantu. Saya percaya ia sangat sukar untuk menguruskan anak bersendirian, apatah lagi meninggalkan beliau walaupun sebentar.
Jika puan mempunyai pembantu atau tinggal dalam keluarga yang besar, sudah tentu ia menjadi lebih mudah. Puan boleh boleh meminta tolong ibu, mertua, adik ipar atau sesiapa sahaja yang selesa menjaga anak puan semasa anda menguruskan diri dan rumah.
Cara lain ialah puan boleh membersihkan diri seperti mandi sebelum suami puan pergi kerja atau bayi puan masih tidur.
Tetapi ada sesetengah bayi yang tidak suka ditinggalkan, walaupun untuk beberapa minit. Beliau akan ketakutan atau minta perhatian dengan menangis.
Dalam kes ini, puan meletakkan bayi anda di kerusi bayi dan mengambil tempat duduk ke dalam bilik air atau berdekatan dengan bilik air. Ini memudahkan puan melihat bayi puan melalui pintu bilik mandi atau di sekitar tirai bilik mandi.
Dan pastikan tiada kelengkapan elektrik atau tali yang berjuntai yang boleh dicapai oleh bayi puan.
Banyaklah berdoa agar ALLAH permudahkan kehidupan puan dan semoga ALLAH menyelamatkan bayi puan dari malapetaka yang tidak diingini.
Wallahu a’lam.