SAKIT DAN KEJANG PADA KAKI AKIBAT SALURAN DARAH TERSUMBAT

Ramai yang pernah mengalami rasa sakit dan kejang di kaki ketika berjalan dan perlu duduk seketika sebelum boleh meneruskan perjalanan.

 

Mereka mungkin mengalami masalah Pheripheral Artery Disease (PAD) atau dalam bahasa mudahnya pembuluh darah yang tersumbat di bahagian kaki.

 

Mereka yang diserang PAD biasanya mengalami simptom seperti kaki kejang, sakit dan anggota kaki berasa sejuk. Jika tidak dirawat segera, lama-kelamaan keadaan bertambah buruk dan kaki pesakit terpaksa dipotong.

 

Faktor yang menyebabkan pembuluh darah tersumbat di kaki adalah tahap kolestrol yang tinggi dan penyumbatan dalam saluran darah (atherosclerosis). Ia dirangsangkan apabila pesakit merokok, diabetes, tekanan darah tinggi, obesiti dan peningkatan umur.

 

Selalunya, kes yang biasa dilihat ketika pesakit itu berjalan dia mengalami sakit di betis, paha atau bahagian punggung tetapi bergantung kepada di mana sumbatan itu berlaku.

 

Rasa sakit itu akan muncul apabila kita bergerak berdasarkan jarak tertentu sebagai contoh jika kita bergerak dalam 500 meter, dan perlu berehat beberapa minit sebelum sakit itu hilang.

 

Dalam kebanyakan kes, doktor menggalakkan kombinasi ubat dan perubahan gaya hidup. Ini dapat mengurangkan simptom dan mengurangkan kemungkinan pesakit mengalami serangan jantung atau strok.

 

Contohnya, doktor mungkin menasihati berhenti merokok jika anda merokok, makan makanan seimbang untuk membantu mengurangkan kadar glukosa dalam darah, menurunkan kolesterol dan digalakkan mengikuti program senaman yang sederhana.

 

Ubat-ubatan seperti ubat cair darah dan pengawal paras kolesterol akan diberikan kepada pesakit bagi mengurangkan tekanan darah dan melancarkan kembali peredaran darah.

 

Tanda pesakit mengalami masalah sumbatan darah yang serius, apabila :

1. Pesakit berasa sakit terutama di paha dan betis seperti ditekan. Dalam masa lima minit ia akan hilang, tetapi kemudian datang kembali dan berasa sakit semula.

2. Walaupun tidak berjalan, tetap berasa sakit atau sakit datang secara tiba-tiba ketika sedang berehat.

3. Luka di kaki yang lambat sembuh kerana darah tidak sampai dan tiada zat di bahagian itu seterusnya menyebabkan hitam atau lebam.

 

Jika tidak dirawat dengan cepat, pesakit akan kehilangan anggota tubuh yang terpaksa dipotong jika ada jangkitan kuman.

 

Amalkan vitamin C, vitamin E dan vitamin D untuk memperlahankan pembentukan plak (sumbatan) dalam darah.

 

Jika alami masalah ini, berbincanglah dengan doktor yang merawat.

 

Semoga bermanfaat.

 

 
Ikuti perkongsian pengalaman dan pengetahuan sepanjang lebih 25 tahun menjadi doktor Pengamal Perubatan Am di Telegram berkaitan kesihatan, pemakanan dan ubat-ubatan.
 
 
 
 

 
 
 

Leave a Reply

error: Content is protected !!