PREDNISOLONE MENYEBABKAN JANTUNG BERDEBAR-DEBAR

PREDNISOLONE MENYEBABKAN JANTUNG BERDEBAR-DEBAR

 

Assalamualaikum Dr Zubaidi. Sedikit pertanyaan tentang prednisolone. Saya telah mengalami gegata bermusim dan pergi ke hospital dan dimasukkan ke ward. Di ward doktor sempat masukkan 2 kali cecair prednisolone melalui tangan. Untuk kali ketiga saya tidak benarkan kerana jantung saya laju seperti berjogging walaupun sedang baring.

Jadi cuma 2 dos sahaja sempat dimasukkan. Saya telah maklumkan sebab pada doktor kenapa tidak mahu dos ke 3. Doktor kata tak mengapa cuma sambung makan dirumah pil prednosolone 5mg selama satu bulan.

Setelah 3 hari keluar wad saya masih tidak makan prednisolone yg doktor beri dan gegata saya juga sudah tidak naik lagi. Setakat 3 hari dirumah masih belum ada kesan sampingan ubat yg serius, cuma hari pertama ada sedikit cirit birit, pening2, anxiety ringan, jantung laju sekali sekala dan makin berkurangan sampai hari ketiga keluar dari wad.

Soalan saya..

1. Bolehkah saya terus tidak makan pil prednisolone yg doktor beri…
2. Adakah keadaan bahaya lain akan menyusul masa akan datang..
3. Berapa lama kesan prednisolone akan hilang dlm darah..

Mohon penjelasan doktor…😢

Walaikumusalam.

Jarang pesakit yang mengalami alahan kulit (gegata) dimasukkan ke dalam wad. Selalunya pesakit yang mengalami masalah kesukaran bernafas akibat alahan akan dimasukkan ke dalam wad, dan alahan kulit sahaja akan dirawat di Jabatan Pesakit Luar (OPD).

Begitu juga dengan pemberian ubat steroid yang dimasukkan ke dalam saluran darah (secara intravenous), kecuali alahan puan menyebabkan rasa sukar bernafas atau gegata terlalu teruk. Itu pemberian hanya untuk beberapa dos saja untuk sementara agar masalah alahan yang kuat dapat dikawal.

Bagi masalah alahan yang sederhana selalu dirawat dengan pil antihistamine. Ubat ini boleh dihentikan pengambilannya apabila tiada lagi simptom alahan.

Memberikan ubat steroid (Prednisolone) selama sebulan untuk masalah alahan dan gegata, suatu yang menjadi tanda tanya.

Walau bagaimana pun puan boleh berbincang semula dengan doktor yang merawat, mungkin ada pencerahan yang menyakinkan.

Saya ingin menjawab soalan puan berkaitan dengan rasa berdebar-debar apabila disuntikan ubat steroid (prednisolone).

Rasa berdebar-debar jarang berlaku bila disuntikkan ubat ini. Ia boleh berlaku jika puan sendiri memang ada masalah Anxiety Disorder. Jadi pemberian ubat ini menyebabkan rasa berdebar-debar dan risau. Keadaan ini dinamakan anxiety irritability.

Ada juga pesakit yang tiada masalah Anxiety Disorder yang mengalami rasa berdebar-debar apabila disuntik steroid atau mengambil pil steroid, tetapi jarang berlaku.

Jika puan tiada lagi masalah alahan dan gegata, boleh hentikan pengambilan ubat steroid, terutama apabila puan sendiri belum memulakan pengambilan pil ini. Tidak perlu dimakan sebab tiada masalah alahan dan gegata.

Tiada bahaya atau kesan sampingan jika puan tidak lagi memulakan pengambilan pil steroid. Seperti biasa masalah alahan dan gegata boleh berulang. Jadi saya cadangkan lakukan pemerikasaan alahan (Allergic Test) bagi menentukan punca alahan itu.

Kesan steroid ini selalunya tidak lama. Ia akan keluar dari sistem tubuh dalam masa 16-24 jam, jika pengambilannya tidak diulang. Kesan ubat ini menjadi rendah selepas 3-4 jam diambil.

Semoga menjawab soalan puan.

#HealthDrZubaidi

 

Leave a Reply

error: Content is protected !!