JANGKITAN KULAT PADA KUKU (ONYCHOMYCOSIS)

JANGKITAN KULAT PADA KUKU (ONYCHOMYCOSIS)

 

 

Onychomycosis adalah jangkitan kulat pada kuku. Ianya merupakan penyakit kuku yang paling kerap berlaku dan lebih separuh dari masalah kuku berpunca dari onychomycosis. Onychomycosis boleh melibatkan kuku kaki atau tangan tetapi lebih kerap melibatkan kuku kaki. 10% dari populasi dewasa menghidapi onychomychosis dan ia boleh mengakibatkan kesakitan, ketidakselesaan, masalah untuk berjalan, bersenam, di samping memberi impak psikososial yang tinggi kepada pesakit.

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI ONYCHOMYCOSIS

1. Usia yang lanjut – melibatkan 50% populasi berusia lebih dari 70 tahun

2. Faktor genetik

3. Jenis pekerjaan – pekerjaan yang menyebabkan kuku terdedah kepada bahan kimia, kerap basah (wet work) dan kecederaan (trauma)

4. Sistem imunisasi yang rendah – melibatkan satu pertiga pesakit HIV dan Diabetes Mellitus

5. Merokok dan penyakit Peripheral Vascular Disease

6. Lelaki berbanding wanita

7. Tidak memakai alas kaki di tempat yang lembap seperti kolam renang

8. Jenis kasut – kasut terlalu sempit sehingga menyebabkan kecederaan kuku, kasut bertutup sepenuhnya (occlusive footwear) dan stoking yang tidak menyerap peluh

PENYEBAB

Onychomychosis disebabkan oleh kulat. Terdapat pelbagai jenis kulat bergantung pada cuaca dan faktor geografi. Antara jenis kulat yang paling utama adalah :

1. Dermatophytes (penyebab paling kerap; 85 – 90%)
2. Nondermatophyte molds (NDM)
3. Yeasts

GEJALA / TANDA

Gejala atau tanda yang paling kerap adalah kuku menjadi tebal dan berubah warna; warna kuku boleh bertukar menjadi putih, hitam, coklat kekuningan atau hijau. Apabila jangkitan kulat pada kuku berterusan, kuku menjadi rapuh, dan cebisan-cebisan atau keseluruhan kuku boleh tanggal dengan mudah. Sekiranya onychomychosis tidak dirawat, kulit di sekeliling dan di bawah kuku menjadi radang, sakit, berubah warna dan mungkin mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.

Onychomycosis sering menyebabkan pesakit merasa malu atau rendah diri terutamanya apabila ia melibatkan kuku tangan yang lebih terdedah dan senang dilihat dengan mudah oleh umum berbanding kuku kaki.

Secara klinikal, onychomychosis boleh dibahagikan kepada 5 jenis :

1. Distal and lateral subungual onychomycosis (DLSO) – melibatkan bahagian hujung dan tepi kuku

2. Proximal subungual onychomycosis (PSO) – melibatkan kuku di bahagian pangkal

3. Superficial white onychomycosis (SWO) – kuku menjadi keputihan dan rapuh

4. Total dystrophic onychomycosis – keseluruhan kuku rosak

5. Candidal onychomycosis – berlaku di kalangan mereka yang mempunyai pekerjaan yang melibatkan tangan / kuku kerap terendam di dalam air

KOMPLIKASI

Adalah suatu miskonsepsi sekiranya onychomycosis dianggap sebagai masalah kosmetik semata-mata dan tidak perlu dirawat. Onychomycosis memainkan peranan penting untuk menentukan kualiti hidup seseorang pesakit. Komplikasi onychomycosis termasuk ketidakselesaan atau kesakitan, masalah untuk memakai kasut, kesukaran untuk berjalan dan bersenam serta rasa rendah diri di samping berpotensi menjejaskan pekerjaan seseorang pesakit.

Kuku yang dijangkiti kulat menjadi reservoir dan seterusnya berpotensi untuk kulat merebak ke kaki, tangan dan pangkal peha. Onychomycosis juga mengakibatkan suatu bukaan terjadi pada kulit dan ini menjadi punca kemasukan bakteria ke dalam darah dan badan serta boleh mengakibatkan ulser pada kaki serta jangkitan kuman pada kulit dan tisu bawah kulit (cellulitis), jangkitan kepada tulang (osteomyelitis) serta tisu menjadi busuk (gangrene).

Jangkitan kulat adalah suatu penyakit berjangkit dan boleh melibatkan ahli keluarga yang lain.

RAWATAN

Lebih separuh dari pesakit yang disyaki menghidapi onychomycosis, sebenarnya tidak mempunyai sebarang jangkitan kulat tetapi hanya kerosakan kepada kuku yang berpunca dari masalah lain. Oleh sebab itu, adalah amat penting untuk mendapat pengesahan atau konfirmasi diagnosa sebelum rawatan onychomycosis dimulakan. Ini disebabkan sesetengah rawatan onychomychosis boleh menyebabkan kesan samping dan seseorang yang tidak menghidapi onychomychosis tidak seharusnya menerima rawatan tersebut.

Sebelum sebarang rawatan dimulakan, ujian diagnostik akan dilakukan oleh doktor yang merawat dengan menghantar sampel kuku ke makmal untuk diuji kehadiran dan juga mengenalpasti jenis kulat.

Oleh itu pesakit disarankan untuk berjumpa doktor sekiranya terdapat sebarang gejala onychomychosis.

BAGAIMANAKAH ONYCHOMYCOSIS DIRAWAT?

1. Ubat-Ubatan

Kebanyakan ubat-ubatan untuk onychomychosis dalam bentuk sapuan (topical) atau / dan sistemik (ubat makan)

Jenis-jenis ubat yang biasa digunakan untuk rawatan onychomychosis:

a) Ubat sapuan (topical)

• Amorolfine
• Ciclopirox

b) Ubat sistemik (ubat makan)

• Itraconazole
• Terbinafine
• Fluconazole
• Griseofulvin

2. Lain-lain rawatan:

Pembedahan/ Rawatan fotodinamik/ Laser

– Rawatan pembedahan, fotodinamik dan laser tidak disarankan sebagai suatu bentuk rawatan onychomychosis buat masa kini.

PENCEGAHAN

Kulat seringkali terdapat di bilik-bilik hotel, karpet dan gimnasium. Sebagai langkah pencegahan, adalah amat penting untuk sentiasa memakai kasut yang dapat melindungi kuku dari terdedah kepada kulat. Salah satu cara untuk mencegah jangkitan kulat adalah dengan menggunakan bedak yang dapat menyerap peluh (absorbent powder) atau bedak yang mengandungi anti-kulat (antifungal powders) seperti bedak yang mengandungi miconazole atau clotrimazole di dalam kasut dan juga disapukan pada kaki. Pemakaian stoking dari jenis kain kapas yang menyerap peluh juga adalah sangat berguna. Pesakit juga disarankan agar tidak membiarkan kuku tumbuh panjang dan tidak berkongsi alat pemotong kuku dengan ahli keluarga yang lain.

Kasut juga boleh mengandungi kulat. Adalah amat digalakkan agar tidak menggunakan kasut yang telah lama dan lapuk. Sekiranya masih mahu menggunakan kasut-kasut lama, unsur kulat boleh dihapuskan dengan meletakkan ubat gegat di dalam kasut dan membiarkan kasut dan ubat gegat ini di dalam beg plastik yang berikat selama sekurang-kurangnya 3 hari.

Bagi pesakit yang sering membuat rawatan kuku (manicure/pedicure), ini mungkin mendedahkan pesakit kepada pelbagai masalah kuku termasuk onychomycosis. Pesakit dinasihatkan agar mengunjungi pusat-pusat rawatan kuku yang memberikan perkhidmatan yang steril.

#HealthDrZubaidi

Leave a Reply

error: Content is protected !!