PETUA UNTUK MENGELAKKAN SERANGAN GOUT DI BULAN RAMADAN

PETUA UNTUK MENGELAKKAN SERANGAN GOUT DI BULAN RAMADAN

 

“Assalamualaikum. Doktor, tidak lama lagi bulan Ramadhan. Apa petua yang boleh diamalkan semasa berbuka dan bersahur? Dan bolehkah saya ambil protein? Saya diberitahu protein akan meningkatkan asid urik saya. Terima kasih”.

 

Waalaikumussalam.

Apabila menjelang bulan Ramadhan, ramai pesakit yang mengalami masalah sakit sendi terutama sendi kaki, akibat serangan gout.

Ini kerana apabila kita berpuasa, kita tidak cukup minum air ketika waktu sahur dan berbuka. Air kencing menjadi pekat. Asid urik tidak dapat dikeluarkan dari dalam tubuh.

Oleh itu salah satu cara mengurangkan tahap asid urik adalah minum air secukupnya.

Sebagai panduan, berikut adalah ‘jadual’ yang boleh diikuti untuk memastikan anda minum air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas walaupun berpuasa :

  • Selepas azan maghrib
  • Selepas solat maghrib
  • Selepas makan
  • Selepas solat isyak
  • Selepas terawih
  • Sebelum tidur
  • Sebaik bangun sahur
  • Selepas sahur

Jumlah = Lapan gelas

Satu gelas berisi 250ml air kosong

Tidak semua protein yang dimakan mengandungi asid amino purine. Secara amnya makanan bersumber protein seperti daging merah, makanan laut, organ dalaman dan ikan seperti ikan sardin, ikan parang dan ikan bilis mengandungi asid amino tinggi dan wajib dielakkan.

Saya cadangkan puan mengambil protein sihat dari sumber telur, daging ayam (elakkan daging angsa dan itik) dan ikan-ikan kecil seperti ikan selar.

Tambahkan lebih sayur dalam pemakanan seperti sayur-sayuran hijau, tomato, lobak merah dan mentimun. Elakkan sayur-sayuran yang disebut sebagai cruciferous seperti brokoli, bunga kobis, kobis dan asparagus.

Buah-buahan yang digalakkan :

  • Avocado
  • Jambu batu
  • Epal
  • Pear
  • Buah naga
  • Tembikai cina

Air bergas dan makanan yang manis juga menyebabkan tahap asid urik menjadi tinggi. Elakkan minuman yang manis atau diletak gula tambahan termasuk air berkarbonat. Gantikan manisan dengan pemanis natural zero kalori seperti stevia dan monk fruit.

Amalkan pengambilan minyak zaitun pagi dan malam sesudu untuk meredakan keradangan dalam sendi dan tubuh. Minyak zaitun mengandungi folifenol dan antioksidan (hydroxytyrosol) yang tinggi.

Bagi mereka yang kerap diserang gout, pengambilan vitamin C dan E yang bersifat anti-radang dapat membantu mengurangkan serangan gout. Dapatkan dari pemakanan atau suplemen dari farmasi.

Bagi yang merokok, jadikan bulan Ramadhan sebagai latihan untuk berhenti merokok. Ini kerana merokok akan menyebabkan keradangan dan memicu serangan gout.

Pengambilan satu sudu cuka teen yang dicampurkan dalam segelas air 350ml juga membantu merendahkan tahap asid urik dan menghalang serangan gout. Boleh letakkan sedikit madu atau stevia atau kayu manis.

Dr Zubaidi Hj Ahmad

#olivehouse
#HealthDrZubaidi

Leave a Reply

error: Content is protected !!